Nasihat untuk da’ie (2)..

“Jika kamu merujuk kepada sejarah kebangkitan berbagai umat di Barat dan di Timur, dulu dan kini, kamu akan melihat mereka yang berjuang disetiap kebangkitan yang berjaya dan berhasil ,adalah kerana mereka  mempunyai Manhaj yang digariskan yang di atasnya mereka berjuang. Mereka mempunyai hadaf (objektif-objektif) yang kearahnya mereka tuju … tanpa bosan dan futur. … Aku percaya wahai saudara, setiap putaran sejarah dan semua kebangkitan dalam sesebuah ummah berjalan diatas Undang-undang Alam ini, termasuk kebangkitan-kebangkitan agama yang dipimpin oleh para Nabi dan Rasul as. … Aku dapati sifat gopoh tertanam kukuh didalam peribadi kita, cepat terkesan, gelora perasaan dan sebagainya, menjadikan kebangkitan kita sekadar lonjakan perasaan , didesak oleh faktor yang sementara sifatnya, kemudian menyejuk dan padam seolah-olah macam tiada apa-apa berlaku … Wahai Ikhwan, terutama mereka yang bersemangat ingin cepat menang diantara kamu. Dengar dariku  kalimat yang tinggi berkumandang dari atas minbar di Muktamar ini. Sesungguhnya Jalan kamu ini telah digariskan fasa-fasanya, telah diletakkan garis panduannya. Aku tidak akan menyalahi garis-garis panduan yang aku amat meyakini bahawa ia adalah jalan yang paling selamat untuk sampai (ke matlamat). Memang, kekadang ia jalan yang panjang, tetapi tidak ada jalan yang lain. Kehebatan seseorang akan terpancar melalui kesabaran, teguh, bersungguh dan bekerja tanpa henti. Sesiapa dikalangan kamu yang gopoh ingin memetik buah sebelum masak atau memetik bunga sebelum kembang, maka aku sekali-kali tidak bersama dia. Elok sekiranya dia meninggalkan Dakwah ini dan pergi ke perjuangan-perjuangan lain. Sesiapa yang bersabar bersama aku sehingga benih tumbuh, pokok menghijau, buah meranum dan tiba hari memetiknya, maka pahala bagi dia ada disisi Allah. Tidak akan terlepas dari kita dan dia pahala dari 2 kebaikan samada Kemenangan dan Kepimpinan atau Syahid dan Kebahagiaan”.  [Hasan Al-Banna]

Sesungguhnya Agama ini telah tegak hasil jerih payah generasi-generasi terdahulu diatas tunggak-tunggak yang kukuh iaitu Iman kepada Allah, Zuhud dari keseronokan kehidupan yang fana ini dan mengutamakan Negeri yang kekal abadi, pengorbanan dengan darah, ruh, harta dijalan memenangkan Kebenaran, cinta mati di jalan Allah dan kesemua itu melalui petunjuk Al-Quran Al-Kareem. Maka oleh itu, di atas asas-asas ini jugalah kamu mesti mengasaskan kebangkitan kamu. Perbaikilah jiwa-jiwa kamu, fokus betul-betul terhadap Dakwah kamu, pimpinlah umat ke arah Kebaikan. Allah bersama kamu dan sekali-kali Dia tidak mensia-siakan amal kamu.” [Hasan Al-Banna]

nasihat untuk da’ie (1)..

Al Syeikh Maulana Abul Hasan Ali al- Nadwi dalam risalahnya ‘Uridu an atahaddatha ila al ikhwan ( Aku ingin bicara dengan Al Ikhwan Al muslimin ). Beliau ini pernah menasihati Jamaah Al Ikhwan dengan nasihat ini ” wahai Ikwan Muslimin yang mulia ! Sasaran  dakwah ad deen dan tajdid Islami (pembaharuan Islam) itu bukanlah mudah. Bukanlah tujuan dan tumpuannya untuk menukar kerajaan semata. Tidak jua untuk mengubah satu suasana politik kepada suasana politik yang lain. Tidak  untuk menyebarkan pengetahuan dan ilmu, atau menghadapi buta huruf dan kejahilan, atau memerangi pengangguran, atau mengubati kecacatan masyarakat dan akhlak atau seumpamanya seperti yang diperjuangkan oleh para pejuang di Barat dan di Timur. Sebaliknya ia adalah seruan Islam yang merangkumi akidah dan akhlak, amalan dan siasah, ibadah jua kepribadian diri dan masyarakat. Ia meliputi akal dan jiwa, roh dan jasad. Ia bergantung kepada perubahan mendalam dalam hati dan jiwa, akidah dan akal. ia terpancar dari hati sanubari sebelum terbit dari pena, atau helaian buku, atau mimbar syarahan. Ia terlaksana dalam tubuh pendakwah dan kehidupannya sebelum dia menuntut dilaksanakan dalam masyarakat keseluruhannya.

Istimewa dakwah dan kesungguhan para nabi adalah ketulusan mereka dari memikirkan kepentingan kebendaan, hasil yang segera. Mereka tidak mencari dengan dakwah dan jihad mereka melainkan keredhaan Allah. Melaksanakan perintahNya dan menunaikan risalahNya. Akal dan pemikiran mereka tulus daripada amalan untuk dunia, mendapat kedudukan, menghasilkan kekuatan untuk keluarga dan pengikut, memperolehi kerajaan. Bahkan itu semua tidak pernah terlintas di fikiran mereka.

Adapun kerajaan yang tertegak untuk mereka dan kekuatan yang diperolehi pada masa itu hanyalah hadiah daripada  Allah. Ia sebagai jalan untuk sampai kepada matlamat agama, melaksanakan hukum hakamnya, mengubah masyarakat dan mengarahkan kehidupan.

Kata Abul hasan lagi : ” bukan sama sekali kerajaan yang diperolehi itu salah satu dari matlamat mereka. Bukan jua salah satu dari tujuan mereka, tidak jua daripada tajuk perbicaraan  mereka atau salah satu dari mimpi mereka. Hanya ia adalah hasil semulajadi dari kesuburan pokok dan kesungguhan pembajaannya.

Katanya : “wahai tuan-tuan, besar perbezaan antara matlamat yang dituju dan natijah yang muncul. Perbezaan ini akan zahir dalam jiwa yang bekerja untuk itu. Maka yang bertujuan mendapatkan kerajaan akan hilang kesungguhan dan diam apabila tidak memperolehinya. Dia akan berhenti daripada dakwah. Dia juga akan melampau jika berjaya. Bahaya bagi setiap jemaah yang pemikiran mereka dibentuk atas cinta ( mendapatkan) kerajaan (kuasa) dan bekerja untuk itu. Kerana ia akan menyebabkan mereka meninggalkan jihad di jalan dakwah atau telah terpaling dan terseleweng tujuan mereka. Sebabnya, uslub(cara) untuk mendapatkan kerajaan adalah berbeza dengan uslub dakwah. wajib bagi kita membersihkan akal dan jiwa kita semata-mata untuk dakwah. hanya dakwah, khidmat, pengorbanan, mengutamakan saudara muslim, mengeluarkan manusia dari segala kegelapan kepada cahaya, dari jahiliyah kepada Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasannya.

Daripada kekejaman agama-agama yang sesat, sistem-sistem yang zalim, mazhab-mazhab yang tidak menentu, kepada keadilan Islam dan lembayungnya. Faktor yang membawa kita kepada amal dan jihad hanyalah untuk menunaikan perintah Allah dan kemenangan pada hari akhirat, jua kerana apa yang Allah sediakan untuk hamba-hambaNya daripada ganjaran dan pahala. Kemudian faktor lain ialah simpati kepada makhluk, kasihan kepada insan yang terseksa, dan keinginan kepada keselamatan manusia.

Jika pada satu peringkat dakwah atau pada satu-satu masa – ( setelah prinsip-prinsip dakwah dan akidah kukuh dalam jiwa pendakwah) – tujuan dakwah tidak akan tercapai melainkan dengan kerajaan, maka kita akan berusaha untuk mendapatkannya.

Demi kemaslahatan dakwah, dengan jiwa yang luhur dan bersih, benar dan amanah, khusyuk dan tulus, sepertimana kita bersungguh dalam tanggungjawab dan rukun agama, jua ibadat-ibadat yang lain. Tiada beza bagi seorang mukmin antara kerajaan dan ibadat yang lain dengan ikhlas dan betul niatnya. Semua itu dalam redha Allah, kesemua pada jalan Allah. Kesemua ibadat yang mendekatkan diri pada Allah.

““““““““““““““““““““““““““““““““““““““`

tulisan ini adalah yang termuat dalam akhbar Fikrah (20-23 safar 1430) yang lepas. Ia terdapat dalam jawapan temubual penolong pengarang harakahdaily dengan bekas mufti perlis Dr Asri Zainal Abidin. Saya akui kekadang cukup terkesan dengan pandangan kritis beliau dalam beberapa hal termasuk isu politik negara. Agak menarik bila beliau titipkan nasihat dari Abul Hasan ini untuk difahami dan diamati oleh mujahid yang begitu ghairah dan bersemangat sekali bergerak dalam lapangan politik negara. Saya menilai ia mutiara nasihat yang sungguh mahal maka saya simpankan di blog saya ini dengan harapan ia boleh dirujuk dan diulang baca kemudian hari. Yang penting apa saja pandangan dan nasihat yang baik dan berguna, boleh kita renung dan kita resapkan dalam semua kerja buat kita khususnya dilapangan dakwah dan siasah ini. Semoga kita mempunyai pandangan yang jernih dan matlamat yang suci dalam berpolitik, disandarkan di atas aqidah yang benar serta hala tuju dan amal kerja yang diredhai….InsyaAllah

– ummuhanah –

Si Kitol dan Sultan Melaka ….

Pelik sungguh….bukan saja pelik, ianya lucu dan melucukan. Orang yang cuba menggunakan sejarah tapi bersikap berat sebelah nampak seperti buta sejarah.Agaknya sebab itulah berita-berita yang dimuatkan menyebabkan orang ramai rasa mual dan meloya. Itulah akhbar utusan meloya…

Saya menatap satu tulisan dalam akhbar tersebut pada selasa lepas. Konflik politik di Perak masih menjadi sasaran sebagai bahan berita panas yang mereka muatkan. Kecaman, kutukan maupun hentaman yang bertalu-talu terhadap kerajaan Perak pimpinan Nizar yang ‘baru digulingkan’ nampaknya belum reda dan masih ‘hangat di pasaran’. Dalam satu kolum yang sederhana saiznya, saya tertarik pada satu tulisan di bawah topik ‘ melayu usah jadi Si Kitol’. Orang melayu Perak yang berkopiah dan berlitup kepala tapi sanggup berbaring di jalan raya kerana membantah titah sultan Perak dikatakan biadap kerana terpedaya dengan hasutan pembangkang . Mungkin Si Kitol yang dimaksudkan di sini ialah pakatan pembangkang yang ‘menghasut’ rakyat. Si Kitol adalah rakyat yang belot dan memainkan peranan kepada kehancuran Melaka. Si Kitol lah yang berperanan sebagai dajjal menabur fitnah dan memecah belahkan orang melayu mengakibatkan kemusnahan kerajaan Melaka yang dulunya gah di seluruh pelosok dunia. Saya terfikir di sudut manakah situasi ini cuba diperkaitkan. Siapa sebenarnya memecahbelahkan orang melayu ? Siapa sebenarnya si kitol dalam konflik di Perak ini. Watak hitam Si Kitol yang menyuburkan api permusuhan dengan dendam kesumat, fitnah, nafsu dan rasuah ini sebenarnya lebih menepati kerajaan haram yang tertubuh di Perak sekarang. Merekalah ‘Si Kitol’ sebenarnya yang menjual ‘kedaulatan suara rakyat’ demi kepuasan nafsu mereka untuk berkuasa.

Cuma apa yang terbayang pada saya dalam hal kejatuhan Melaka, bukan Si Kitol saja yang jadi puncanya. Sultan Melaka yg pada masa itu sangat lemah dan buta mata hati juga terlebih dahulu patut disalahkan. Kezaliman raja dan pengabaian terhadap rakyat oleh raja itu terlebih dahulu patut dikecam. Baginda tidak tahu menilai yang mana intan yang mana kaca . Raja yang tidak mempercayai kejujuran bendaharanya dengan mudah menerima fitnah tanpa mahu terlebih dahulu untuk usul periksa adalah raja yang tiada keadilan. Raja itu juga  tiada ketelitian apabila menggantikan pembesar-pembesar yang baik di Melaka dengan mereka yang rendah moral mengamalkan rasuah dan menyalahgunakan kuasa  menjadi pembantu baginda adalah punca kemusnahan baginda sendiri.

Bayangkan Raja Melaka langsung tidak peka pada perubahan di Melaka. Baginda leka dengan kemewahan dunia dan banyak ‘berehat’ di istana. Sedangkan di kalangan rakyat Melaka pengamalan Islam mereka semakin lama semakin pudar. Rasuah, fitnah, dendam, permusuhan dan pecah belah semakin menular di kalangan rakyatnya…..suara rakyat yang mencemuh kezaliman baginda langsung tidak diendahkan kerana tenggelam dalam nafsu ‘rajanya’. Akhirnya bila Melaka di ambang kemusnahan barulah baginda Raja sedar bahawa Si Kitol dan Raja Mendeliar telah mendorongnya melakukan banyak kezaliman. Orang yang baik, beriman, jujur dan taat setia seperti bendahara Tun Mutahir telah menjadi mangsa baginda. Baginda mula mengeluh mengatakan sepatutnya baginda teliti dan selidiki dahulu sesuatu perkara sebelum memutuskan apa-apa keputusan darinya. Ketika baginda menangis kesal di atas dosa-dosanya, sudah tidak apa lagi yang boleh baginda ubah. Nasi bukan sahaja menjadi bubur, tetapi turut basi dan tiada dapat dimanfaatkan lagi. Baginda hilang takhta dan kerajaannya. Kedua-duanya sekali.

Tentu sesiapa pun tidak mahu sejarah di Melaka turut berulang di Perak. Sultan Mahmud Shah mengharapkan masa dapat diundur ke belakang agar baginda dapat menebus semula dosa-dosanya. Tapi apa yang berlaku baginda tetap terpaksa belayar ke Kampar melintasi selat Melaka dengan linangan airmata . “ Selamat tinggal Melaka. Negeri yang dulunya makmur kini terjajah akibat kesilapan seorang sultan” kata sultan Mahmud Shah.

Harap segala-galanya belum terlambat di Perak. Alangkah baiknya jika nasihat Bendahara Tepok yang pernah diberikan kepada baginda Sultan Mahmud dapat dijadikan panduan “ kalau kita tersesat di hujung jalan, kita kembali semula ke pangkal jalan”. Dahulukan kepentingan rakyat berbanding kepentingan sendiri wahai raja yang bijaksana. Kembalilah tuanku semula di hati rakyat. Tuanku akan disanjung dan dihormat.

Sahabat Yang Baik Penyelamat Bencana…

puteri-puteri yang dikasihi

puteri-puteri yang dikasihi

Puteri-puteri Islam Sejati! Salam sejahtera diiringi limpah kasihi Ilahi.

Di mana jua kalian berada, sentiasa ibu doakan agar sentiasa beroleh taufiq dan hidayah Allah. Sentiasa terdorong melaksanakan kebaikan  juga terhindar dari melakukan sebarang keburukan. Ibu sangat merindui dan mengasihi kalian dengan kasih sayang Islam,  supaya dengannya kita akan dikumpulkan kembali di yaumil akhir nanti.  Di sana nanti tiada lagi naungan selain naunganNya. Ini berdasarkan maksud sabda Rasulullah s.a.w  “Pada hari kiamat Allah akan berfirman: Di manakah orang-orang yang saling mencintai kerana keagunganKu? Hari ini Aku akan melindungi mereka, sebab hari ini tidak ada perlindungan selain daripada perlindunganKu.” (HR Muslim)

Puteri-puteriku yang sentiasa gigih di jalan kebenaran…,

Dengan izin dan perkenan Allah jua kita masih dipertemukan di dalam siri peringatan bekalan sepanjang hayat . Moga dengannya kita mampu menghimpun bekalan-bekalan yang akan menyelamatkan kita dari sebarang rupa keburukan yang kita khuatiri. Lebih utama yang kita harapkan, bekalan yang dikumpul akan meyampaikan kita kepada segala bentuk kebaikan. Di pertemuan kali ini kita akan dihidangkan dengan bekalan yang mempengaruhi sebahagian besar masa harian kita iaitu Sahabat Yang Baik Penyelamat Bencana”.

Ketahuilah Puteri-puteriku, Setiap diri muslim melalui perjalanan hidup yang berbagai ragam. Tidak berada di dalam suasana yang sama warnanya sepanjang masa. Ada kalanya kita mudah melakukan kebaikan. Ada kalanya kita ditimpa bencana hasutan syaitan dan perdayaan nafsu hingga menyeleweng dari keredhaan Allah. Oleh itu perkara yang berpengaruh kuat dan mampu menarik kita kembali ke jalan kebenaran adalah keteguhan persahabatan di jalan Allah. Disebabkan kekuatan luarbiasa terkandung di dalam persaudaraan Islam, maka perkara pertama yang Ar-Rasul Muhammad s.a.w laksanakan sewaktu berhijrah ke Madinah ialah mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar. Kekuatan yang dimaksudkan adalah anugerah Allah kepada setiap diri muslim yang merasai mereka telah diikat dengan keimanan. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Anfaal ayat 63 bermaksud  “Dan yang mempersatukan hati mereka(orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua kekayaan yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

Puteri-puteri Islam yang bertaqwa,

Kekuatan persaudaraan Islam yang begitu rupa akan mampu memperingatkan kalian sewaktu lemah dan leka. Seandainya kalian ditinggal bersendirian terkapai-kapai tanpa sahabat yang baik, kalian terdedah kepada kehancuran dan kebinasaan. Pada hakikatnya serigala akan menerkam kambing yang terpisah dari kumpulannya. Sudah tentu sahabat yang soleh (baik) tidak akan membiarkan kita bersendirian. Dia akan sentiasa mengingatkan kita kepada kebaikan. Seperkara lagi yang perlu diingat; setiap diri manusia merupakan cermin sahabatnya. Sekiranya sahabat yang kita pilih itu berakhlak mulia, maka kesannya kepada diri kita juga adalah kebaikan belaka. Sebaliknya andainya sahabat yang kita pilih itu berakhlak buruk, maka kita akan terdorong melakukan dosa dan kemungkaran. Ini bertepatan dengan maksud sabda Rasulullah s.a.w; Sesungguhnya sahabat yang soleh itu umpama penjual minyak wangi. Jika kita tidak membeli darinya, tetap kita akan menghidu bau wangi darinya. Sedangkan sahabat yang jahat pula, umpama tukang besi. Walaupun tidak terkena percikan api, tetap kita merasai bahang panas dan terhidu bau busuk darinya”. Dari itu sewajarnya kita perlu menentukan pilihan yang terbaik dalam bersahabat berdasarkan ketinggian iman dan taqwa.

anak-anak usrah

anak-anak usrah

Puteri-puteri Islam sejati!

Renungi secebis kisah dari sirah para sahabat Rasulullah saw  semoga dengannya terlihat jelas fungsi sahabat yang baik. Umar bin Al-Khattab mempunyai sahabat yang rapat dengannya bernama ‘Iyash bin Abi Rabi’ah. ‘Iyash memeluk Islam ketika waktu yang hampir dengan perintah berhijrah ke Madinah. Oleh itu imannya masih tipis ketika itu. Bagaimanapun ‘Iyash cuba menyertai hijrah bersama-sama Umar Al-Khattab. Di pertengahan jalan ibunya menghantar utusan untuk memujuknya pulang dengan ancaman ibunya akan terus-terusan berjemur di tengah panas tanpa beralih ataupun mandi. Hal itu membuat ‘Iyash khuatir dan hatinya berbelah bagi, bimbangkan keselamatan ibunya. Umar cuba memujuknya  “Usahlah terlalu khuatir akan ibumu. Selepas dua hari berjemur, badannya akan kotor dan dia pasti rimas . Tentunya dia akan mandi. Jika dia berjemur seharian di bawah mentari, pasti esok dia akan berteduh”. Disebabkan iman di hatinya masih lemah,  dia berkeras juga ingin pulang menemui ibunya. Umar hanya mampu memperingatkannya,  Wahai ‘Iyash, jika engkau pulang, pasti ditimpa bala’ dan cobaan”. Namun sahabat yang baik tidak tergamak membiarkan sahabatnya ditimpa kesusahan. Umar telah melakukan sesuatu yang dapat mengingatkan ‘Iyash walau dia tidak berada bersamanya. Disebabkan ‘Iyash tidak mempunyai unta, diberikanya untanya kepada ‘Iyash,Ambillah untaku ini. Semoga dengannya kau akan mengingatiku dan kembali bersama-samaku”. Sebaik-baik ‘Iyash pulang kepada keluarganya, dia telah dipukul dan disiksa. Hampir saja dia berjaya dipujuk meninggalkan Islam. Terlihat saja dia kepada unta Umar, ‘Iyash ingat kembali kepada iman dan Islam. Di situlah kekuatan erti persahabatan yang terjalin. Sahabat yang baik mampu menyelamatkannya dari bencana kufur.

Puteri-puteriku yang diharapkan membawa kebaikan kepada insan lain,

Bilamana kalian telah berjaya beroleh sahabat sejati berteraskan iman dan taqwa, perlulah diberi perhatian terhadap langkah-langkah yang menyuburkan ikatan ukhwah tersebut; * mengasihi saudara seIslam semata-mata kerana Allah * mengucapkan salam bila bertemu * sentiasa menziarahi terutama ketika sakit * sentiasa saling mendoakan * menolong ketika kesempitan * memenuhi jemputan * memberi ucapan tahniah dan takziah * saling memberi hadiah * tidak memutuskan silaturrahim dan memulaukan * bertolak ansur dan saling memaafkan * bermanis muka semasa bertemu * sentiasa jujur dan ikhlas inginkan kebaikan sesama saudara seIslam.

Puteri-puteri Islam Sejati!

Pada hakikatnya, persahabatan yang baik memerlukan perhatian dari kita untuk mengawalnya dari dirosakan oleh gejala-gejala liar sepetimana maksud sabda Rasulullah saw  “Janganlah kamu saling putus-memutus hubungan, janganlah kamu saling berpaling tadah, janganlah kamu saling benci-membenci, janganlah kamu saling berhasad dengki. Dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Dan tidaklah halal bagi seorang muslim berpaling dari saudaranya lebih dari tiga hari”. (HR Bukhari dan Muslim)

Wassalam.

Ummu Anas. Ibu yang sentiasa mendokan ketaqwaan kalian.

sumber : usrahkeluarga.blogspot.com

Palestine di hati (3)…

Antara nikmat terbesar yang Allah kurniakan kepada kita rakyat Malaysia ialah nikmat keamanan dari bencana peperangan dan nikmat kemewahan kebendaan. Ini perlulah kita syukuri dan dikongsi kenikmatan yang diperolehi ini dengan golongan lain yang kurang bernasib baik. Jika niat menolong itu diatur atas satu niat yang ikhlas murni kerana Allah, maka Allah pasti menolong kita kembali.

Rasulullah saw bersabda “ Allah akan menolong hambaNya selagi hamba tersebut menolong saudaranya ( riwayat muslim ). Dalam satu hadis yang lain pula Baginda saw menyebut “ sesiapa yang tidak mempedulikan nasib kaum muslimin, dia bukanlah dari kalangan mereka” (riwayat Baihaqi)

Kepedulian kita terhadap nasib sesama muslim menjadi tanda bahawa kita tergolong di kalangan muslim juga. Malah kedudukan hadis ini memberi gambaran bahawa muslimnya kita ini masih boleh dipertikaikan sekiranya mengambil sikap tidak mempedulikan apa-apa musibah yang menimpa saudara seislam walau di mana mereka berada. Maka zahirkanlah sikap kepedulian kita terhadap saudara muslim di Palestine. Selain doa, apa saja bentuk usaha bagi meringankan beban rakyat palestin dan usaha menentang kekejaman Israel hendaklah kita laksanakan . Biarpun kelihatan kecil, kita berdoa semoga usaha ini menjadi titik tolak kepada satu jihad besar yang mampu kita realisasikan terhadap Israel laknatullah suatu hari nanti ..InsyaAllah.

dsc000442

Program Malam Amal Palestin telah diadakan pada 6 Febuari 2009 yang lalu bertempat di lapangan letak kereta sekolah kami. Ia adalah anjuran PIBG , PPAI dengan kerjasama JIM Sg. Petani. Sebenarnya program amal untuk Palestin telah kami jadikan sebagai program tahunan. Tahun ini adalah kali ketiga program seumpamanya diadakan bertujuan untuk menarik rasa keprihatinan warga sekolah terhadap nasib saudara di Palestin khususnya di Gaza. Pihak sekolah telah melancarkan Kempen Boikot Barangan Israel dan pelancaran Tabung Derma Palestin pada Januari lepas. Setakat ini hasil kutipan derma telah disalurkan ke Gaza menerusi pertubuhan kebajikan AMAN Palestin.

Saya bersyukur kerana para pelajar, waris serta kakitangan sekolah menunjukkan respon yang baik terhadap kempen kutipan derma ini. Saya diberitahu oleh Lajnah Kebajikan Sekolah bahawa tabung derma bergerak ke kelas-kelas, tabung yang diletakkan di kantin sekolah dan juga di pejabat telah mendapat sambutan sangat baik dengan derma yang datang mencurah-curah. Malah para pelajar juga digalakkan mewujudkan tabung Palestin di rumah masing-masing dalam usaha mendorong pelajar menginfak wang untuk membantu saudara kita di Palestin. Untuk Malam Amal tersebut, kami berjaya mengumpul sebanyak RM5800 menerusi sumbangan dari para pengunjung dan sehingga 10 Febuari lalu derma yang terus mencurah menjadikan angka telah meningkat kepada hampir RM10,000…Alhamdulillah.

Program Malam Amal Palestine dimulakan seawal jam 6.30 petang. Pada malamnya kami mengadakan solat maghrib dan isya’ berjemaah dan disusuli dengan solat hajat. Kemudian kami dipersembahkan dengan alunan nasyid intifadah Palestin dari pelajar sekolah menengah. Program diteruskan dengan tayangan multimedia Palestin oleh Dr Roslan, seorang pensyarah USM yang aktif menjalankan aktiviti penerangan isu Palestin kepada masyarakat di sini. Program juga turut diisi dengan ceramah oleh seorang pelajar UUM (rakyat Palestin) dengan diterjemah oleh Ustaz Amri Nason. Pertunjukan pantomen ‘Kenapa Kamu Diam’ telah menjadi persembahan penutup pada malam itu.

dsc00047

Terdapat juga gerai jualan makanan dan minuman yang turut memeriahkan aktiviti pada malam tersebut dan telah  mendapat sambutan paling menggalakkan. Selain gerai makanan , pengunjung juga boleh mengunjungi  gerai cenderamata Palestin yang menjual sticker, button, book mark, buku dan T-shirt. Hasil kutipan sewa tapak gerai telah disumbangkan untuk mengisi Tabung Derma Palestin. Saya berdoa usaha murni semua pihak yang terlibat menjayakan program ini mendapat ganjaran keberkatan dan pahala dari Allah swt. Semoga ia bukan bermula di sini dan berakhir di sini….selagi Al Aqsa dan tanah suci yang diberkati itu masih dicengkam Israel dan yahudi zionis, selagi itulah api jihad untuk Palestin menyala di hati kita semua bahkan akan terus bersemarak menunggu saatnya membakar Israel laknatullah itu….Allahuakbar !

Episod sebuah perjuangan…..

Kaum muslimin sentiasa diberitahu tentang betapa sukarnya beriman kepada Allah dan beramal dengan ajaranNya, kerana terdapat halangan dan tekanan golongan yang menentang usaha itu. Kaum muslimin juga dihidangkan dengan sejarah betapa golongan yang mengangkat keadilan dan meletaknya dibahu masing-masing akan menjadi golongan yang akan ditentang habis-habisan. Golongan yang memperjuangkan keadilan dan kesejahteraan umat manusia dan golongan yang ingin membawa Islam ke persada politik negara dgn menumpaskan sekular akan ditentang dan diperangi oleh pemerintah yang mendokong gerakan penindasan.Kerana keadilan hanya akan memutuskan golongan pemerintah yang haloba ini dari kelazatan dunia.Maka dengan itu mereka sanggup melakukan apa saja bagi menggagalkan misi membawa keadilan kepada rakyat.Sebelum mendapat pertolongan Allah, ummat Islam akan diuji dengan tribulasi dan kesulitan dalam menghadapi tentangan taghut dan musuh-musuh Allah. Semoga para pejuang di jalan Allah tetap sabar dan teguh menghadapi ujian ini sekalipun hati tak henti-henti bermunajat meminta para penzalim ini dilenyapkan.

Demikian apabila Allah menghendaki nescaya Allah akan membinasakan mereka tetapi Allah hendak menguji sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain
( muhammad : 4)

Saya menulis entri ini ketika majlis angkat sumpah menteri besar Perak yang baru sedang berlangsung. Memang sungguh hodoh apa yang berlaku di Perak. Kehodohan yang tidak mungkin dapat disembunyikan. Saya rasa inilah UMNO yang saya kenal dari dulu hingga sekarang. Merka ditentang oleh kawan dan lawan kerana memiliki rupa paras perjuangan yang hodoh. Tiada perubahan dari mereka sekalipun rakyat sudah ‘mengajar’ mereka dalam beberapa siri pilihanraya yang lalu. Mereka masih ada hati bermain politik kotor sekalipun ketika keadaan rakyat semakin sempit dan terhimpit ekoran ekonomi yang gawat. Agenda membela nasib rakyat mereka kesampingkan dengan menuangkan pelaburan kewangan yang besar demi melayan keghairahan mereka bermain politik. Maka dengan politik yang hodoh ini mereka hidangkan untuk rakyat sebagai membalas dendam kerana rakyat menolak mereka. Sungguh hodoh kerana mereka cuba membuktikan bahawa suara rakyat di kertas undi menjadi tidak berdaya bila berhadapan dengan kezaliman mereka.

Saya bukan pandai sangat berpolitik. Malah membaca perkembangan politik semasa tanahair juga kadang-kadang saya sukar menafsirkannya. Tapi saya sangat benci dengan kehodohan politik UMNO. Mereka bukan saja bergelumang dengan politik kesukuan dan bangsa, bahkan mereka parti politik yang haloba dengan habuan dunia sekalipun mengambilnya mereka terpaksa memijak perut rakyat yang sedia susah dan miskin. Memang mereka penindas golongan lemah, melanyak sistem keadilan yang mereka sendiri cipta dan menghalalkan cara-cara yang jijik dalam mencapai matlamat politik mereka. Sungguh hati saya tidak boleh redha membiarkan kuasa kepimpinan negara terus di pegang dan dimonopoli oleh golongan ini. Mereka mesti ditumbangkan dan rakyat harus dibebaskan dari kuasa kepimpinan yang menjulang panji-panji syaitan. Mereka ini khianat dan bercita-cita melaksanakan kezaliman kepada rakyat. Saya yakin Umno akan lebih dimalukan . Rakyat yang mual dengan permainan kotor mereka pasti akan memuntahkan segala kepincangan dan penyelewengan yang mereka suapkan untuk rakyat ini ke muka mereka kembali.

Namun dari satu sudut yang lain, saya merasa shukur ketika cuba meneropong hikmah ujian ini. Selain membuktikan UMNO masih belum insaf dan masih hodoh amalan politik mereka, ia memberi kesempatan kepada parti politik Islam untuk melakukan diagnosis terhadap perjalanan perjuangan mereka setakat ini.

Imam Hasan Al Banna dalam bukunya ‘ 3 Bingkisan Risalah Dakwah’ menggambarkan jemaah maupun ummah dalam hal kelemahan dan kekuatan, muda dan tuanya, sihat dan sakitnya diibarat sama keadaannya dengan tubuh badan manusia. Terkadang mereka dilihat sihat, kuat dan sangat bertenaga tapi disatu ketika yang lain mereka nampak lemah dan tak berdaya digugat dan diratah penyakit. Mereka akan menangis dan merintih menahan ujian kesakitan sehinggalah rahmat Allah muncul mendatangkan pakar yang mahir dan bijak, mengetahui di mana tempat penyakit itu, pandai mengesan dan mengenali serta dengan ikhlas memberikan rawatan. Kemudian setelah betul rawatannya pesakit dilihat kembali kepada kekuatan asal dan pulih seperti sedia kala.

Kita mengharapkan inilah parti politik Islam kita kini. Mungkin kita sedang menahan kesakitan kerana penyakit, tetapi penawar pasti menjelma untuk memulihkan kita semula dan kita lebih sihat dan lebih kuat setelah mendapat rawatan yang lebih baik.

Hinanya manusia kerana perjuangan yang batil. Keyakinan kita, asas perjuangan itu mestilah akidah yang sejahtera dan iman yang benar-benar mantap. Rantai perjuangan ini kalau turut disambung oleh mereka yang tidak merasa kelazatan makanan Islam, tidak disuluhi nur Al-Quran maka mereka akan bangkit sebagai pengkhianat dan cuba memutuskan kekuatan kita. Dengan itu kita kena berhati-hati dgn golongan ini.

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadikan orang-orang yang luar kalanganmu sebagai teman kepercayaanmu, kerana mereka tidak henti-henti akan menyusahkan kamu. Mereka mengharapkan kehancuranmu. Sungguh, telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang tersembunyi di hati mereka lebih jahat. Sungguh telah kami terangkan kepadamu ayat-ayat kami, jika kamu mengerti
( Al-Imran :118 )

Sesuatu yang perlu dimiliki oleh golongan yang memperjuangkan pemartabatan agamanya ialah sikap tidak putus asa. Kita tidak putus asa di atas apa yang berlaku ke atas kita. Dan kita mengharapkan ia tetap bernilai kebaikan dalam apa jua maksud samada yang tersurat maupun yang tersirat. Kita percaya bahawa tidak ada yang menghalang kita dan kejayaan selain dari perasaan putus asa. Bila harapan kuat dalam jiwa InsyaAllah kita akan mencapai kemenangan dan kebaikan. Oleh itu kita tidak akan putus asa dan putus asa tidak akan pernah menembusi pintu hati kita.

Suasana sekeliling seperti sedang meniupkan harapan sekalipun ada yang membayangkan sesuatu yang buruk terhadap harapan ini. Dan kita membiarkan mereka kekal dengan sangkaannya. Kita bekerja dan berusaha untuk melepaskan rantai penjajahan yang berat yang lama ditinggalkan membelenggu kita, jua menghambat pergi kepimpinan yang membelakangkan agama yang bersikap semakin memperkemaskan rantai penjajahan ini. Kita percaya rantai yang berat ini tidak akan merantai kita sepanjang masa, zaman akan berputar dan Allah akan merubah dari satu keadaan kepada keadaan yang lain. Orang-orang yang terpesona tidak akan selamanya terpesona. Kesedaran dan petunjuk akan mengiringi kesesatan, ketenangan akan membuntuti kegawatan, dan kebatilan pasti akan ditumpaskan oleh kebenaran. Maka kita akan terus bekerja untuknya dan menyerahkan perkara yang lepas dan yang akan datang kepada Allah yang maha tinggi kekuasaanNya.

Sesunggunya Firaun telah bermaharaja lela di bumi, menjadikan penduduknya berpecah belah, menindas golongan dari mereka, menyembelih anak-anak lelaki mereka dan membiarkan perempuan-perempuan mereka hidup. Sesungguhnya Firaun termasuk golongan orang yang melakukan kebinasaan. Dan kami ingin memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi dan kami jadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi bumi dan kami teguhkan kedudukan mereka di bumi dan kami perlihatkan kepada Firaun dan Haman beserta tenteranya apa yang sering mereka khuatirkan dari mereka itu.             (Al-Qasas : 1- 6)

Lihatlah kebatilan yang kejam, malah dibanggakan kerana kekuatannya, diyakini kebesaran sehingga lupa pada kebenaran dan hak . Apabila mereka ini merasa senang hati dan gembira dgn apa yang ada padanya lalu Allah menelungkupkan mereka dgn kekuasaaNya. Tiada yang dapat menghalang iradah Allah untuk memberi kemenangan kepada golongan yang ditindas dan dizalimi.

Jadi janganlah menutupi semangat juang kita dengan bersedih dan tersangat bersusah hati. Jalan perjuangan yang dilalui oleh mujahidin Islam dari semua zaman dan tempat penuh dgn dugaan, cabaran serta kesulitan. Sudah menjadi tabiaat pergerakan Islam bahawa ujian itu adalah menjadi sunnah Allah dan fenomena umum dalam kerja jihad umat Islam. Semua ini memerlukan kesabran dan ketahanan iman.Ujian menjadi ukuran mengenal pejuang yang ikhlas. Ujian juga tapisan utk menyaring para pejuang yang paling layak berjuang menegakkan agama Allah. Maka kalau kita faham, kita pasti redha dengan proses penyaringan ini . Islam digerakkan oleh mujahid yang ikhlas dan tinggi ketakwaannya. ia bukan di kuatkan dengan nombor atau jumlah pejuang yang besar tetapi mempunyai nilai yang kosong.

Dalam kerja atau dakwah kita ada pihak yang menyokong dan ada yg menentang, ada yang memandangnya positif dan ada yang memandang negetif, ada yang merasa selaras dgn pandangan mereka dan ada yg merasakan kita bersalahan dgn pandangan mereka . Ada yang mencemuh kita keras dan ada yang mengata kita ni terlalu lembut. jadi kita perlu melatih diri ini menanggung kesemua perkara tersebut kerana apa pun cemuhan yang diterima, kita menyimpan keyakinan bahawa suatu masa kita pasti sampai ke matlamat-matlamat kita kerana bergeraknya kita ini adalah ke arah dasar-dasar keadilan di dunia, menyebarkan nilai-nilai kebaikan serta menentang kezaliman dan kemungkaran. Dengan nilai takut pada Allah yang ada dalam jiwa, kita menyusun kerja yang terus menerus untuk mencabar keangkuhan dan tindakan melampau golongan taghut……. Allahuakhbar