sekadar lakonan….

Sibuk ?…eh sibuk sangat ke saya ? mana ada orang tak sibuk kat dunia ni sebab di dunia memang tempat orang sibuk. Tempat berehat dan sunyi dari sibuk hanyalah di akhirat saja yakni di syurga….itu adalah sebaik-baik tempat istirehat dan bersuka ria.

Saya berhasrat nak menyapu ‘sawang’ di laman blog saya ni dan kembali menyerikannya dgn tulisan saya pada november nanti…hmmm memandangkan november bakal menjengah beberapa hari saja lagi…tak pa le saya ‘masuk ofis’ awal sikit. Ada yg nak dikongsi di sini. Sebenarnya tulisan ini adalah hasil dari lontaran pandangan saya dgn seseorang di sebuah laman forum.Elok juga saya ‘tempek’ pandangan saya itu di sini.

Saya mula menyedari trend drama TV dan filem masa kini menunjukkan kecenderungan kepada cerita berunsurkan agama atau bercorak Islamik. Watak pelakon wanita bertudung dan lelaki yang soleh dengan akhlak yang mulus sekali telah dipaparkan untuk dijadikan bahan tontonan kepada peminat drama. Bukan saja drama tempatan, bahkan drama dari seberang juga turut membawa ‘warna’ yg sama. Maka kedengaranlah suara pujian di sana sini kerana ini dikatakan sebagai perkembangan yang baik dalam dunia drama dan artis lakonan masakini.

saya pula tak tenteram hati. Seperti juga drama komedi lawak bodoh, filem seram dan tahyul, cerita merempit motosikal, saya merasakan drama Islamik juga sekadar memenuhi trend semasa dan sekadar mencari untung semata-mata. Ia sebenarnya langsung tidak berpijak di alam nyata.Jika drama Islamik ini diakui mereka ini sebagai sebahagian cara mempromosikan agama, maka drama-drama ini bolehlah dikatakan sebagai program promosi agama yang tak mungkin akan berjaya.

Memang ‘hebat ‘cerita-cerita di tv ni mentarbiyyah masyarakat. Artis seksi pun sanggup menutup aurat walaupun hanya sekejap semata-mata nak ‘hidupkan’ watak. Bila dah habis acting nanti mereka akan kembali kepada kehidupan dedah aurat dan selamba aje buat maksiat. Inilah dashatnya bila agama dijual murah…..ia sekadar jadi bahan lakonan dan penipuan golongan yang memakai topeng agama di depan lensa kamera tetapi jelas dalam kehidupan biasa bermaksiat pada Allah. Baik drama tempatan atau drama dari seberang semuanya sekadar ‘berbohong’ dan tidak mampu mendidik org awam.

Biarpun begitu banyak drama /filem berunsur agama ditayangkan kepada org awam namun ia tetap tidak mampu membawa perubahan atau benar-benar menginsafkan kerana ‘pendakwahnya’ sendiri tiada kesedaran untuk kembali kepada Islam.

sesungguhnya….agama dan menghidupkan agama dalam diri itu bukanlah lakonan !

Artis dan pelakon ni……mereka diupah dan dibayar untuk memakai tudung, menjadi ustaz, menutup aurat, berakhlak baik dan melaksanakan kepatuhan pada Allah. Amal baik yang mereka laksanakan sekadar memenuhi tuntutan cerita atau drama yang mereka lakonkan. Semuanya atas faktor bayaran dan habuan…sedangkan mereka pendusta dalam amalan baik mereka. Zahirnya saja bertopengkan amalan soleh dan mulia sedangkan hakikatnya mereka banyak melakukan nifa’ dan dosa terhadap Allah.

Cuba bayangkan artis yang berlakon dalam pakaian yang bertudung litup, menghiasi diri dengan sahsiah muslimah yang solehah, mempamerkan cara hidup yang baik tetapi di dada-dada akhbar dengan bangganya mereka mangaku bahawa ‘itu sekadar lakonan sahaja sedang hakikatnya mereka tidak begitu.Bahkan mereka turut bangga mengakui pemakaian tudung mereka hanya karana lakonan sedangkan dlm kehidupan seharian mereka lebih selesa mendedahkan tubuh badan.” Alangkah bodohnya kita mengagumi artis yang sebegini. Mereka menjadikan kemuliaan ajaran Islam hanya layak sebagai lakonan sahaja. Maka kita terpesona dengan lakonan mereka dan mengaku terkesan dengan dakwah mereka. Mana mungkin orang yang tidak melaksanakan kebaikan mampu menarik org lain berbuat kebaikan.

Saya disinis sekiranya seorang penagih dadah datang memberikan nasihat takkan kita kena tolak semata-mata kerana dia tu penagih dadah. Sepatutnya nasihatnya diterima, soal siapa dia dan apa latar belakangnya itu lain cerita…hmmm macam betol je pendapat ini.

Namun bagi saya, sama ada penagih dadah atau artis dedah…kedua-duanya jelas bermaksiat kepada Allah dan menyimpang jauh dari kehendak Islam.

Tentu saja mereka ini boleh turut berdakwah atau menasihati masyarakat kepada kebaikan, jesteru kebaikan itu sebenarnya berasal dari agama. Hak memperkatakan dan menunjukkan kebaikan adalah hak semua orang dan hak kita semua.Tapi soalnya di manakah ‘kefahaman dan penghayatan’? Bayangkan seorang penagih dadah yang lalok datang menasihati kita supaya menjauhi dadah. Atau artis wanita yang seksi menjolok mata selamba je menyeru kita supaya menutup aurat…

Adakah ianya munasabah ?
Adakah anda rasa ia sebahagian dari cara berdakwah ?
Adakah anda rasa ia mampu mentarbiyyah ?
Seandainya kita diizinkan untuk mengajak orang lain berbuat kebaikan sedangkan diri sendiri kita dorongkan kepada maksiat, maka apa ertinya amaran Allah dalam surah as saff “ wahai orang-orang yang beriman, mengapakah kamu memperkatakan sesuatu yang tidak kamu perbuat ? Amat besar kemurkaan Allah jika kamu memperkatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan”

Pendapat saya ditempelak kerana selaku penonton kononnya kita sepatutnya pilih yang baik dan tolak yg tidak baik. Menurutnya, Hasan al-Basri pernah ditanya, “Siapa yang mendidik dirimu hingga menjadi baik?” Hasan Al Bashri mengatakan, “ Diriku sendiri.” “Bagaimana begitu?” tanya orang itu kepadanya. Ia mengatakan, “Jika aku melihat kebaikan yang dilakukan orang lain. Aku akan menirunya. Jika aku melihat keburukannya. Aku berusaha menjauhi perilakunya itu”.

Pada saya, inilah kebenarannya. Hasan Al Basri mengaku akan meniru kebaikan yang dilakukan orang lain, bukan kebaikan yang dilakonkan orang lain..
saya tidak menyalahkan ‘kebaikan’ yang disampaikan tapi saya salahkan ‘bagaimana’ kebaikan itu disampaikan.

Memang boleh artis ni nak menunjukkan contoh-contoh yg baik , tapi penghayatannya di mana jika ia sekadar lakonan tanpa penerusan dalam kehidupan harian ? tidakkan kita rasakan artis yang kita sokong lakonan baik mereka ini telah mempersendakan syiar dan amalan islam ? mereka melakonkan nilai-nilai baik untuk diambil pengiktibaran tapi mereka sendiri tidak pula mengambil iktibar. Mereka yakinkan masyarakat bahawa yang baik itu mendatangkan kebaikan tetapi mereka sendiri hidup dalam kejahatan.

Kalau semua penonton pandai memilih nilai baik ditiru dan nilai buruk untuk ditolak, Alhamdulillah. Tapi alangkah malangnya bagi penonton yang agak ‘longgar’ dan tidak mampu nak mengasingkan mana yang batil dan mana yang benar kerana yang batil dan benar itu bersatu di dalam satu acuan.

“katakanlah, tidak sama yang buruk dan yang baik walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu berjaya ( al maidah : 100)

Makanya pada saya ini, tidak salah melakonkan kebaikan. Yang salah menjadikan kebaikan sebagai lakonan.Sebagai artis beragama islam, aktiviti ‘keartisan’ mereka juga harus berjalan di atas prinsip2 agama yang murni ini supaya mereka juga menjadi muslim yang baik dan menjadi contoh kepada orang lain.

Sebagai penonton , kita juga kena hati-hati …
jadilah mukmin yang halus meneliti, jangan kita mudah tertipu dan aksi lakonan yang nampak suci murni….namun ‘hakikatnya’ lompong dan kosong tak berisi, bahkan disisi Allah ia tetap dikeji.