Ni ada iklan best !
29 Ogos 08 pada 11:36 am (Ramadhan)
Tags: Add new tag, Poster/Iklan, Ramadhan
~ catatanku (25 ogos 08 ) ~
28 Ogos 08 pada 6:51 am (Catatan)
Berita datang silih berganti. Peristiwa berlaku saling bertimpa. Selain sesuatu yang membahagiakan, kita juga wajar bersedia menerima kesedihan.
Tawa, riang, duka, sengsara, sedih, gembira, bahagia, kecewa semuanya itu adalah nikmat sebuah rasa. Ianya adalah anugerah dari yang Esa. Manusia lebih mengenal penciptanya melalui kepelbagai anugerah rasa.
Sepanjang cuti persekolahan yang lalu, ramai yang melalui detik gembira memasuki alam rumahtangga, berkenduri dan berkumpul bersama sanak saudara, bercuti dan makan angin bersama keluarga, berkursus dan berprogram motivasi membangun minda, malah pelbagai aktiviti lagi dilalui bagi mengisi dan menceriakan suasana.
Namun tak kurang juga rupanya yang sedang bergelumang dengan pedih dan tersiksa. Saya memulakan hari persekolahan dengan dua berita yang menyentap rasa.Sebak dan sedih rasa di dada. Seorang bekas pelajar saya kemalangan dengan sebuah bas dan masih di ICU dalam keadaan kritikal. Ibunya adalah teman saya dan pernah menjadi naqibah usrah kami. Manakala pengasuh anak saya terkena serangan strok sehari sebelum persekolahan bermula. Walaupun keduanya tiada pertalian keluarga dengan saya, tapi mereka ada dan wujud dalam susunan kehidupan saya. Saya tetap terasa sarat menahan sedih dan luluhnya jiwa di atas musibah yang menimpa mereka.
Innalillah wainna ilaihirajiuun…..kita sebagai hamba….dari Allah kita datang dan kepada Allah kita bakal dikembalikan.
Dengan limpahan belas dan kasihMu Tuhan…..kami mengharapkan pertolongan. Kenikmatan yang hilang ini…..Kau selaputilah jiwa kami dengan rasa kesabaran sebagaimana sabarnya para kekasihMu ya Tuhan….kami pasrah dengan rasa keimanan……..
IT’S REALLY A BIG WORK !!
26 Ogos 08 pada 12:31 am (Luahan Rasa)
Perjalanan yang jauh memang memenatkan. Kami sekeluarga bertolak tepat jam 1.30 pagi dan sampai di Kuala Lumpur ketika matahari mula mengukir sinarnya. Warga kota mula sibuk berkenderaan ke tempat kerja. Pagi-pagi lagi udara kota mula dinodai oleh kebisingan dan kekotoran asap dari enjin kenderaan di jalanan. Ahhh…Bukan kotaraya itu yang menjadi destinasi kami, cuma sekadar singgah sebentar di Putra Jaya bagi menyelesaikan satu urusan. Kemudiannya kenderaan saya meluncur ke Pahang sebagaimana yang dirancang. Saya sebenarnya berhasrat menghadiri majlis perkahwinan seorang saudara yang tinggal di Felda Selancar.
Dipendekkan cerita, ketika memasuki perkarangan rumah saudara saya tu…mak oii, ramainya orang…suasana seperti hari kenduri. Mentara sibuk menghidang makanan dan tetamu ada yang masih menikmati hidangan dan ada yang sedang beransur meninggalkan majlis. Di tangan masing-masing ada terdapat bunga telur dan kerepek yang dibungkus rapi……eh ! saya silap tarikh ke ? berdebar jugak kerana seingat saya sepatutnya kenduri adalah keesokan harinya. Lerrr…rupa-rupanya orang kat Selancar ni kenduri kawinnya sampai 3 hari 3 malam. Hari tersebut adalah hari kedua dan esok adalah kemuncaknya. Malam nanti suasana akan lagi meriah. Saya terpandang set karaoke di suatu sudut tidak jauh dari laman rumah berkenaan…hadoiii….memang kompom meriah abis la ni . Ini baru betol-betol punya ‘bekwoh’ atau bigwork. ( istilah kenduri bagi orang kelantan) bekwoh orang selancar sakan sungguh … IT’S REALLY A BIG WORK !
Tak banyak yang dapat saya bantu, tak membantu langsung sebenarnya. Kerjasama penduduk setempat cukup erat dan semuanya sudah siap. Dari pelamin, bunga telur, beg kertas, hiasan di bilik tidur, urusan masak memasak semuanya settle. Dan malam tersebut seperti yang dikhabarkan, sekali lagi tetamu berpusu-pusu menikmati makan malam. Tambahan pula ada majlis tahlil yang berlangsung di khemah kenduri. Saya kekenyangan. Nasi kenduri memang enak sekali lebih-lebih lagi perut saya memang tengah lapar beb !
Malamnya saya tidur awal….disuruh tidur awal kerana mungkin letih dek perjalanan yang jauh. lagipun anak kecil saya demam dan asyik merengek saja. Lampu ditutup tapi bukan senang mata ini hendak ditutup sama. Suara penduduk setempat yang girang berkaraoke menyucuk telinga saya. Irama 60an dan lagu pop 80an bertali-tali berkumandang diiringi hilai tawa beberapa tukang masak lelaki dan perempuan yang bergurau senda….adeh betol-betol di tepi bilik saya. Meriahnya….happy betol depa….berkenduri sakan dalam suasana seronok dan gembira. Tapi saya…..saya….saya ini….ya saya ini akhirnya terlena juga dalam rasa ‘berbalam-balam’ yang saya sendiri tak tahu nak menafsirkannya…..pasaipa yer !
Seawal pagi saya di dapur. Leka melihat beberapa orang kak cik dan mak cik menyiapkan hidangan pengantin.Sesekali saya menjeguk ke tengah laman melihat suasana sibuk menbuat persiapan majlis kemuncak kenduri. Ianya persiapan terakhir untuk menyambut pasangan pengantin yang dijangka tiba awal tengahari nanti. Di pendekkan cerita ..ngeh3…asyik nak pendek cerita jer…malas menaip la ni. Tepat jam 1.15 tengahari, saya tiba-tiba terkejut mendengar paluan kompang diiringi lagu pengantin baru begitu lantang didendangkan. Merdu ke ? no no no…suara sumbang, pitching lari, melodinya ke laut namun orang ramai tetap berlari ke tengah laman termasuk orang dalam rumah ni yang tadinya sedang asyik bersembang. Mereka teruja nak menatap pasangan mempelai yang sedang diarak ke tengah laman….hadoii….hadoii….hadoiiiiii….entah berapa kali hati saya asyik mengaduh, namun tiada siapa yang mendengarnya. Kenapa saya sakit sangat ni…pasaipa yer !
Ketika semuanya tertumpu di kawasan laman rumah, saya didapur menikmati ‘ hidangan pengantin’. sebenarnya lebihan lauk utk makan beradat yang disimpan sedikit dibawah saji. Atas pelawaan kak ton tukang masak tu, saya makan berselera sekali…eerrrkkk! Alhamdulillah …biarkan mereka yang lain berpesta di luar sana tapi saya di dapur ni seronok berpesta dengan makanan yang lazat-lazat sekali. Tanpa perlu saya duduk semeja dengan pengantin, saya sendawa besar dengan hidangan istimewa ayam golek, rendang tok, bawal sos, sayur campur, udang bersalut tepung, jantung masak lemak cili api dan paru berlada….waaaaa banyak tu, apo nak dikato, dah rezeki saya … tolong jangan sesapa pertikaikannya, ngeh3 !
Saya akhirnya ke ruang tamu bersalaman dengan pengantin perempuan setelah selesai segala acara. Selebihnya tak banyak yang nak saya cerita. Pengalaman di tempat orang… pahit di telan manis di kenang. Lain padang lain belalang, lain ulu lain parang, lain dahulu lain sekarang…..agaknya saya berada di lain zaman, macam banyak benar yang saya tak berkenan…ntah, ta’taw….pasaipa yer !
At last kami bertolak pulang pada malamnya setelah bersalaman dan berpelukan. saya pulang dengan banyak buah tangan dan bekalan . Terima Kasih atas pemberian, itu saja yang mampu saya ucapkan sebab terlalu banyak kata-kata yang saya simpan dan tak mampu nak diluahkan .
malu ….
22 Ogos 08 pada 12:08 am (Motivasi)
Malu…. Apa makna malu ni ya ?? saya terpanggil untuk menulis tentang malu bila tiba-tiba tadi saya rasa ‘malu’ rahsia saya diketahui seseorang. Ntah…tak de ler apa sangat pun rahsia saya, cuma identiti saya di sebalik satu nickname yg saya gunakan di sebuah laman forum, sudah ada yang tahu…ngeh3…..hadoiii sukarnya nak menyamar di laman maya ini, semuanya berkemungkinan boleh diselongkar dan dibongkar rupanya…ngeh3….ntah, ta’taw.
Malu….. Apa makna malu ni ya ??
Malu ialah desakan perasaan seseorang supaya menghindarkan perbuatan keji dan melaksanakan perbuatan terpuji. Sumber rasa malu ini sebenarnya adalah dari kehalusan rasa hati dan jiwa yang meyakini bahawa gerak geri sentiasa ada yang memerhatikannya. Jesteru itu bila ada rasa malu, mereka akan menjadi manusia yang berhati-hati dalam bertindak. Malu juga dikaitkan dengan penjagaan maruah diri supaya tidak dipandang keji dan dihina nanti.
Katanya malu terbahagi kepada dua . Pertamanya adalah malu asli, iaitu malu yang menjadi tabiat diri semenjak dilahirkan lagi. Manakala maluyang sejenis lagi ialah malu yang diusahakan melalui pendidikan mengenal Allah dan menginsafi diri sebagai hamba Allah. Kedua-dua jenis malu ini adalah akhlak yang baik dan menjadi perisai dari berbuat mungkar di dunia ini.
Sekiranya dipecahkan, malu manusia terbahagi kepada 3 bahagian :
1) Rasa malu kepada Allah
2) Rasa malu kepada manusia.
3) Rasa malu kepada diri sendiri.
Malu kepada Allah ertinya tunduk dan patuh pada segala perintah Allah samada patuh dalam mengerjakan suruhan ataupun patuh dalam menjauhi larangan. Orang yang memiliki sifat malu kepada Allah akan bersifat taqwa walau di mana jua dia berada. Mereka akan menjaga diri dari engkar kepada Allah sekalipun ketika bersendirian atau berada di tempat yang paling sunyi.
Teringat pada satu kisah seorang gadis yang menolak saranan ibunya supaya mencampurkan air dengan susu yang akan mereka jual nanti. Ibunya marah kerana meyakini tiada siapa yang mengetahui perbuatan mereka termasuk khalifah umar yang pastinya akan marah sekiranya perkara itu diketahuinya. Namun gadis itu dengan yakin menjawab bahawa Allah maha mengetahui sekalipun umar tidak tahu. Perbualan dua beranak itu telah didengari oleh Umar dan akhirnya gadis tersebut dijadikan menantunya.
Orang yang bersifat malu pada Allah akan menjaga keimanannya dalam apa jua situasi, sekalipun menjaga rasa malu itu menyebabkan dia menjadi rugi. Tapi hakikatnya dia tidak lah rugi bahkan dia digantikan keuntungan berlipat ganda di sisi Ilahi. Malu kepada manusia pula ialah seperti malu kepada keluarga, guru, teman-teman, dan ahli masyarakat sekeliling. malu itu tanda adanya iman, sesiapa yang tidak mepunyai perasaan malu biasanya mempunyai tingkah laku yang buruk dan perangai yang jelek. sabda Rasulullah saw ” malu itu tandanya iman, dan iman itu di dalam syurga. Kotor mulut itu dari kekasaran perangai dan kekasaran perangai itu di dalam neraka ” ( riwayat : imam Ahmad )
Islam menitik beratkan perasaan malu sesama manusia supaya dapat lahir rasa hormat menghormati dan kasih mengasihi di antara satu sama lain.
Maksud rasa malu pada diri sendiri ialah keinginan untuk menjaga maruah diri dan menjauhi perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah. Bila perasaan malu pada diri sendiri tidak ada, maka manusia cenderung untuk mengaibkan diri sendiri dengan perbuatan mungkar seperti berzina, menagih dadah, meminum arak, tidak menutup aurat, pergaulan bebas dan sebagainya. Mereka tidak kisah kehilangan maruah dan kehormatan diri. ” sesiapa yang melemparkan pakaian malu dari dirinya dan menjaga maruah diri, tiadalah umpatan orang bagi dirinya” (riwayat : imam Bukhari ).
selain itu terdapat juga malu yang dicela seperti malu berkata benar, malumenyuruh kepada kebaikan dan melarang berbuat kejahata, malu menuntut ilmu dan malu mentaati perintah Allah. Malu sedemikian dicela dan dimurka oleh Allah.
Marilah kita hiasi pribadi dengan rasa malu yang hakiki.
Dosa sang guru kerana mendidik anak muridnya….
15 Ogos 08 pada 3:09 pm (Pendidikan)
Guru diibaratkan sebagai lilin yang menerangi muridnya dengan ilmu. Pengganti ayah dan ibu di dalam kelas.
Guru
membentuk disiplin anak-anak, dilentur agar betul tegaknya apabila
sudah dewasa. Dia mengajar ‘anaknya’ bagaimana cara menyebut, menulis,
membaca. Mengajar agar tahu tegak dan bengkoknya cara solat, cara makan
dan sebagainya. Bukan itu sahaja, bahkan untuk menjadikan anak murid
sebagai seorang manusia yang berguna dan mempunyai cita-cita.
Lihatlah,
yang menjadi pemimpin, menjadi ahli perniagaan semuanya atas jasa
pejuang yang tidak bernama ini. Kerana guru, tidak diajar untuk
menerima balas jasa, tidak inginkan namanya disebut. Cukup dengan ilmu
yang diajar dapat diamal, dihayati. Mudah-mudahan menjadi amal jariah
di kemudian hari.
Fahamkah
ibu ayah yang dahulunya juga pernah diajar oleh gurunya? Anak-anak
perlukan bimbingan dan perhatian di rumah. Bukunya disemak, dilihat
kerja rumahnya, ditanyakan siapa kawan-kawannya.
Malanglah
sang guru, kerana segelintir perbuatan individu ‘guru’ yang tidak
bertanggungjawab, maka semua nodanya di taburkan kepada seluruh insan
yang bergelar guru. Disebut-sebut perbuatan guru memukul anaknya –
adakah mereka tahu benar peribadi anak sendiri? Ditunding-tunding
kesalahan sang guru, padahal mereka lupa. Menyerahkan tanggungjawab,
tidaklah sama dengan melaksanakan tanggungjawab. Tidak sama juga dengan
orang yang hanya pandai memerhatikan dan mengkritik dengan yang duduk
dibangku seorang guru.
Tugas Guru Dijadikan Nilaian
Mereka berkata kerja guru senang, 6 jam sehari, ada hari cuti yang panjang. Boleh makan angin lagi.
Ya,
memang kerja guru senang. Perlu bersengkang mata memikirkan perihal
anak muridnya sahaja, perlu menanda buku, mengikuti kursus, belum
dicampur dengan karenah pentadbiran sekolah, kelas tambahannya, program
sampingan sukan sekolah. Yang sudah berkahwin perlu memikirkan keluarga
mereka sendiri. Tidur malamnya selalu nyenyak. Mudahnya kerja guru..
Dari A hingga ke Z guru mengajar, dari berdiri tegak sehingga memberi salam diasuh agar muridnya menjadi orang yang tahu Islam. Ada
guru yang menyerahkan jiwa raganya di dalam profesion ini, memberi
motivasi dan semangat agar anak didiknya terus berjaya. Yang malas,
yang suka bermain di dalam kelas, yang hanya tahu tidur, masih tergagap
untuk membaca, tidak kenal huruf dan merangkak menyebut perkataan –
disuakan dengan teknik belajar. Tidak lupa sang guru untuk mengingatkan
anak didiknya itu silalah ulangkaji, tunjukkan pada ibu dan ayah mana
yang perlu dibuat dan disemak semula. Tetapi yang lebih difahami –
anaknya mesti mendapat semua A apabila mendapat keputusan peperiksaan.
“Anak aku pintar, bijak” Dan semuanya diakhiri dengan perkataan ‘AKU’
juga.
Sang guru memberi
nasihat “Awak dah belajar solatkan.. kat rumah solat dengan mak ayah
ye..”, lalu dia membalas “mak ayah saya tidak solat cikgu.. nak buat
camane?”. Dan sang guru tergumam.
Sebagai
seorang ayah dan ibu di dalam kelas, ia tidak senang melepaskan anaknya
balik ke rumah tanpa membawa apa-apa yang bermakna di dalam kehidupan.
Lalu diberi peringatan – bahawa hormati ibu dan bapa, cium tangan
mereka, minta maaf kepadanya. Jangan segan untuk meringankan tulang.
Berilah khabar gembira apabila sudah berjaya…
Begitulah…
sang guru tetap juga meneruskan pengajaran dan didikannya dengan sabar,
walaupun saban waktu hatinya menahan kerana herdikan, cacian dan
cemuhan. Dan itulah dosa-dosa guru kerana mendidik anak muridnya..
sumber : http://jarumemas.blogspot.com
hilang…….
10 Ogos 08 pada 5:44 pm (Catatan)
Semuanya bersifat baharu …. tiada satu pun yang kekal abadi. hari ini kau milikku…esok lusa belum tentu. Biarpun kuulit-ulit alunan rasa rinduku, jika ditentukan begitu kau tetap terpisah jua denganku. Apa yang ku tahu, aku seharusnya melupakanmu. Jodoh sudah ternoktah sampai di situ. Untuk selamanya, mungkin kita takkan lagi dapat bertemu ….
amboi-amboi sayu benar bahasa hati saya. Bahasa orang yang berduka. Bahasa orang yang lara dengan perpisahan. Bahasa orang yang sedih kerana kehilangan …. saya kehilangan handfon saya…sedihnya..
Yang patah kan tumbuh, yang hilang kan berganti. Yang tumbuh dan berganti takkan sama yang hilang dari hati. Pun begitu, biarlah yang tumbuh mengganti ini adalah yang lebih baik lagi … bahkan jauh lebih indah untuk di miliki …. kehilangan adalah suatu yang pasti … semakin dirindu dan diingati …. semakin siksa rasa di hati….. alahai, masih tak hilang sedih saya ini …. sekalipun yang hilang sekadar handfon yang baru beberapa bulan menemani diri …adiiissshhh….
Terbang melayang rasanya keseronokan hari saya, hanya kerana saya kehilangan handfon. Ia hadiah sempena hari ibu tempohari… itulah yang agak menyentuh hati . hhmmm…. pemberian dan tanda ingatan dari seorang suami tentulah sangat saya hargai . Dah hilang ni, rasa letih dalam hati….letih sungguh hati hamba ini.
” tak pa lah, dah tak de rezeki … cari lain la nanti “. Pujuknya menenangkan saya. Tak mampu menyambut pujukannya, saya diam saja. “Tak baik dok risau sangat-sangat, redha je la ” , lembut suara suami yang terus cuba memujuk saya. Saya tak menyambut kata-katanya, malahan tetap terdiam juga. Macamana lah agaknya saya dapat luahkan kerisauan saya ini …. memang saya risau.
Kerisauan saya bukan sekadar handfon hijau saya saja itu. Kerisauan saya ialah tentang ‘milik’ saya yang ada di dalamnya. Contact number kawan-kawan saya, nombor telefon anak-anak murid saya , sejumlah sms yang masih saya simpan, beberapa gambar kenangan yang belum saya pindahkan ke dalam komputer dan beberapa perkara lain lagi yang bersifat pribadi yang saya simpan di dalamnya….inilah sebenarnya yg menyedihkan saya, kerana yang ini sukar dicari dan diganti.
ahhh …. sedih sangat ke kisah kehilangan saya ini ??
Bila bercakap soal kehilangan, masing-masing ada kisah ‘kehilangan‘ tersendiri. Insan mengalami kehilangan hampir setiap hari …. disukai mahupun dibenci, dirancang mahupun yang datang dengan sendiri … kehilangan pasti meninggalkan kesan dalam diri. Ada kehilangan yang ditemui kembali dan ada pula kehilangan yang terus pergi tanpa datang-datang lagi….
Mengimbau sejarah kehilangan … bagaimana rasanya kehilangan anak manis seperti Nurin Jazlin dan Sharlene . Bagaimana rasanya kehilangan orang yang disayangi yang sebentar tadi masih di sisi. Bagaimana pula rasanya kehilangan kediaman dan harta benda dalam satu kemusnahan seperti kebakaran, banjir dan bencana alam ? bagaimana juga perasaan seseorang yang kehilangan mana-mana anggota badan dalam satu kemalangan ?…..bagaimana erti rasa ‘kehilangan’ yang sebegini.
Saya terkenang seorang rakan guru yang sekarang sedang berperang dengan kanser usus yang dihidapinya. Selepas beberapa siri rawatan kimo yang telah dijalani, dia sering mengadu rasa rindunya pada dunia keguruan yang sekian lama ditinggalkannya … Ya Allah, pasti dia lebih hebat menghadapi sakitnya rasa ‘kehilangan‘ berbanding saya ini …. namun dia tabah sekali .
Mengingati segalanya ….. yang ada disekeliling saya … terlalu kecil kehilangan yang saya alami … bahkan hampir tiada erti .
Tak patut rasanya reaksi saya seteruk ini ….
Sekarang saya terasa seperti kehilangan kemuliaan diri …. hilang kekayaan hati kerana saya gagal menghidupkan sifat tunduk dan redha dalam hati …
Ya Allah ampunilah saya ini .Saya tidak mahu kehilangan pandangan rahmahMu. Saya tak mahu kehilangan pimpinanMu, kasih sayangMu, petunjukMu dan belas kasihanMu pada saya ini … kerana inilah kehilangan yang hakiki … dan saya takkan mampu kehilangan semua ini.
Remaja….anda tak selamanya muda…
4 Ogos 08 pada 1:58 pm (Motivasi)
Mengapa akak menangis? Seorang fasilitator bertanya kepada seorang kakak yang sudah berumur kira-kira 40an sambil beliau mengesat air matanya dengan tisu. Dia menceritakan bagaimana dia terpaksa menebalkan muka untuk pergi ke setiap rumah peneroka bagi mencukupkan kuota pelajar bagi mengikuti kem smart Exam yang diadakan. Bayaran yang dikenakan hanya rm25 untuk 3 hari 2 malam berbanding dengan kadar biasa rm320 sepanjang tempoh kem yang sama seperti itu di luar. Sambil beliau menyatakan perasaan terkejut melihat ada beberapa peserta yang tidak menghormati seorang ustaz ketika sedang memberikan kuliah subuh. Ada yang bangun tanpa meminta izin dan keluar dengan alasan belum mandi. Remuk benar hatinya melihat keadaan itu..
Mengapa ya?, motivasi sudah semakin banyak diberi, tetapi perilaku tidak juga berubah. Seolah-olah tidak memberi kesan kepada hati. Wang sudah banyak dilaburkan. Air mata sudah banyak kali mengalir keluar bila diceritakan tentang pengorbanan ibu dan ayah. Tetapi solat tetap juga culas..
ALlahu ALlah… adakah kerana hidup sudah terlalu selesa, kehendak mudah dipenuhi menjadikan diri lupa tentang erti kesusahan dan berkorban? Mungkinkah apabila mudah benar segala perkara yang dihajati dapat dinikmati menyebabkan dirimu lupa tentang kewajipan yang perlu dipenuhi?
Wahai remaja, belajarlah bersyukur. Perlukah menunggu malang datang bertimpa-timpa baru diri mahu beringat? Ibu bapamu tidak selalu berada di sisi selamanya untuk terus menyuap dan memberi selama-lamanya. Maka kerana itulah ilmu adalah harta yang paling berharga untuk masa hadapan.
Untuk mendapat kejayaan, bukan hanya dengan petikan jari. Kesenangan yang membaluti dirimu bukanlah hak milik yang perlu dibanggakan sedangkan ia adalah dari susah payah kedua orang tua. Cuba jawab di dalam hati apa yang sudah dibayar buat mengesat peluh ibu dan ayah yang membesarkan engkau selama ini hingga boleh dikenal orang sebagai remaja?
Ingatlah, getah yang ditoreh akan habis juga susunya, kelapa sawit yang dikerah semakin sedikit buahnya. Yang berkekalan dan akan membantu ibu dan ayah sehingga dikuburan adalah anak berilmu yang soleh serta solehah yang selalu mendoakan kesejahteraan menjadi amal jariah kepada mereka berdua.
Terkadang diri ini selalu juga menduga anak murid yang khusyuk mendengar celotehku,..nanti bila ayah dan ibu meninggal dunia siapakah yang akan memandikan mereka? Anda atau orang lain? Siapa pula yang akan mengkafankan mereka? Anda atau berharap pada orang lain?
Siapa pula yang akan menyolatkan mereka untuk memberikan penghormatan terakhir buat kenang-kenangan sebelum berpisah selamanya dari alam fana… Anda atau menunggu orang lain? Dan siapa pula yang akan mengusung mereka di tanah perkuburan, di tempat perpisahan yang kekal abadi.. Anda.. atau masih juga mengharapkan orang lain?..
Anak muridku berkaca juga matanya.. mungkin sedar (kuharapkan mereka benar-benar sedar). Hidup biarlah memberi makna.. agar ada sesuatu yang dapat kau jelaskan dengan yakin di hadapan ALlah nanti, bahawa dirimu sudah berusaha bersungguh-sungguh di dunia ini untuk menjadi seorang Islam yang berkualiti yang dapat membantu diri, keluarga, umat Islam dan agama-Nya ini khususnya..