Hari esok Untuk Islam

Setelah kejatuhan empayar Islam Othmaniah, kita telah melihat beberapa siri penindasan dan kekejaman yang telah menimpa umat Islam sehingga hari ini. Umat Islam seolah-olah telah hilang taringnya yang tidak mampu melawan kekuatan musuh. Islam telah kehilangan rijal-rijal yang akan kembali membawa kegemilangan Islam. Pukulan hebat dan penangkapan serta penyembelihan berlaku pada umat Islam apabila umat Islam mula bangun cuba untuk menegakkan Islam kembali. Umat Islam seolah-olahnya kehilangan pedoman dan panduan apabila melihat kekuatan musuh yang begitu hebat.


Ramai di kalangan muslimin menyangkakan bahawa pada akhir zaman nanti akan berlakunya al fitan dan kerosakan di muka bumi. Mereka menyangka bahawa kekufuran beleluasa, kejahatan menguasai alam. Islam berada di dalam kemunduran dan penegak kebenaran dihina dan ditindas.

Sebenarnya ini merupakan satu tasawwur yang silap yang seharusnya diperbaiki. Kegelapan yang menimpa umat Islam kini tidak akan selama-lamanya. Fajar Islam akan menyinsing tidak lama lagi. Jahiliyah pasti akan runtuh di bawah kekuatan Islam. Islam akan sekali lagi menjadi pentadbir alam ini. Maka muslimin seharusnya merasa yakin dan tidak berputus asa dengan janji Allah bahawa Islam akan muncul mentadbir alam ini walaupun orang kafir cuba untuk menghapuskannya. Firman Allah Taala.” Mereka cuba untuk memadam cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya Nya walaupun orang kafir tidak menyukai” (at Taubah: 32)

Sebenarnya sikap berputus asa dan keluh kesah terhadap suasana yang menimpa umat Islam kini merupakan sikap yang sepatutnya dikikis. Umat Islam seharusnya merasa optimis dengan kejayaan yang bakal dihadapi oleh Islam pada suatu hari nanti.

Apabila kita melihat sirah perjuangan Rasulullah s.a.w, Rasulullah sering memberikan khabar gembira kepada sahabat tentang kemenangan-kemenangan yang bakal diperolehi oleh muslimin. Di dalam peristiwa hijrah, semasa Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, baginda telah berjanji kepada Suraqah yang telah cuba untuk membunuh Nabi dengan menghadiahkan kalung Kisra raja Parsi kepada Suraqah. Walaupun pada masa itu Islam masih lagi diperingkat awal, namun Rasulullah mampu menjanjikan bahawa Islam akan mengalahkan kerajaan Parsi.

Begitu juga semasa di dalam peperangan al Ahzab, ketika mana Rasulullah cuba memecahkan batu untuk menggali Parit. Rasulullah telah menyatakan kepada para sahabat bahawa Islam akan menawan kota-kota Yaman, Rom dan Parsi. Sedangkan pada ketika ini umat Islam sedang berada di dalam kegetiran berhadapan dengan jumlah musuh yang begitu ramai, tetapi Rasulullah s.a.w. mampu menjanjikan kepada para sahabat tentang kemenangan yang bakal diperolehi oleh mereka.

Dengan keyakinan inilah para sahabat berjuang bersungguh-sungguh untuk menyebarkan Islam di muka bumi ini dan seterusnya melaksanakan janji-janji yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada mereka.

Fajar menyinsing

Tanda-tanda awal telah kita lihat pada hari ini bahawa fajar Islam akan kembali bersinar tidak lama lagi. Kita melihat kebangkitan Islam telah mula bersinar di seluruh pelosok dunia. Umat Islam telah mula kembali kepercayaan mereka terhadap Islam. Dan musuh-musuh Islam telah mula bimbang dan khuatir dengan kebangkitan ini dengan menyebarkan dakyah bahawa

golongan-golongan ini merupakan ‘terrorist’ dan ‘fundamentalist’.

Kuasa-kuasa besar dunia semakin hari semakin hilang kekuatannya. Keruntuhan kerajaan Komunis Soviet Union dan kerajaan-kerajaan komunis yang lain merupakan satu petanda bahawa kekuasaan kekuatan musuh tidak akan selama-lamanya. Amerika Syarikat pada ketika ini telah mengalami masalah dalaman negara yang begitu teruk. Golongan remajanya yang bakal menjadi teraju kepemimpinan negara telah mengalami keruntuhan moral yang amat dahsyat. Amerika Syarikat yang mendabik dada kekuatan mereka sebenarnya merupakan negara yang menunggu saat-saat kehancuran seperti mana runtuhnya kerajaan komunis.

Ini merupakan bibit-bibit awal bahawa fajar Islam akan mula menyinsing dan akan menjadi penguasa alam ini. Kesedaran Islam telah mula tercerna di dalam hati-hati umat Islam. Pemuda-pemuda Islam di seluruh pelosok alam telah mula melaungkan slogan Islam. Kebangkitan Islam telah berlaku kepada umat Islam dalam bentuk fikri, akhlak, ekonomi dan jihad. Maka kita yakin bahawa Allah pasti akan bersama-sama mereka dalam menegakkan Dinul Islam ini.

Kekuatan yang dimiliki oleh Muslimin.

Sesungguhnya Muslimin mempunyai kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Penegakan Daulah Islam yang pertama di Madinah telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati umat Islam. Gerakan dan cara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah menjadi panduan kepada Muslimin hari ini untuk menegakkan Islam kembali. Perlu diyakini bahawa marhalah dakwah dan cara yang dilakukan oleh Rasulullah itu merupakan ‘Rabbani Taujih’ (panduan dari Allah) yang diberikan kepada Rasulullah sehingga Islam tertegak dengan megahnya dimuka bumi ini. Maka dengan bekalan pengalaman ini, muslimin mengatur langkah dalam menegakkan Islam kembali di muka bumi ini.

Selain daripada itu, muslimin mempunyai kekuatan yang tidak boleh dipandang lekeh oleh manusia. Kita boleh simpulkan bahawa muslimin mempunyai tiga unsur kekuatan yang mampu menggugat kekuatan musuh.

Pertama: Kekuatan kuantiti.

Islam pada hari ini mempunyai bilangan penganut yang hampir suku penduduk dunia yang tersebar di seluruh benua di dunia. Sesungguhnya jumlah yang ramai ini merupakan antara aset utama dalam menegakkan Islam. Ianya merupakan satu nikmat yang seharusnya di syukuri. Sepertimana firman Allah swt “Ingatlah, ketika kamu masih sedikit, kemudian kamu telah menjadi banyak…”(Al A’araf: 86).

Jamaluddin Al Afghani pernah berkata kepada rakyat India: “Jika sekiranya bilangan kamu yang berjuta-juta ini semuanya menjadi lalat, nescaya kamu mampu untuk menghancurkan telinga Inggeris.”

Kedua: Hasil Bumi.

Muslimin pada hari ini menetap di negara-negara yang amat kaya dengan hasil buminya. Negara yang yang kaya dengan minyak dan bahan galian yang lain serta tanah yang subur untuk pertanian. Semuanya ini merupakan kepunyaan muslimin.

Ketiga: Manhaj Rabbani.

Inilah kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Muslimin menyeru manusia kepada satu sistem yang mampu membawa keadilan dan kebahagiaan kepada alam sejagat. Sistem ciptaan manusia yang wujud pada hari ini sebenar telah membawa kepada kerosakan dan kesengsaraan kepada manusia. Manusia yang berfikir tidak akan sekali-kali menolak sistem Allah ini.

Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa kelemahan umat Islam ini tidak akan selama-lama. Islam sekali lagi akan mencapai kejayaan dan menjadi pentadbir alam ini.

Sikap kita

Kita sebagai pejuang agama Allah ini seharusnya mempunyai sikap yang optimis dengan kejayaan yang bakal di hadapi oleh Islam. Kita tidak seharusnya bersifat putus asa dan keluh kesah dengan suasana dan penindasan musuh terhadap umat Islam. Malah kita yakin dengan janji-janji Allah bahawa Allah akan memenangkan agamanya walaupun dihalang oleh orang-orang kafir.

Dengan keyakinan ini bukan bermakna kita akan berdiam diri dan berpeluk tubuh dengan menunggunya kemenangan yang dijanjikan oleh Allah. Tetapi dengan keyakinan ini, seharusnya kita mempergandakan amalan dan usaha kita dalam menegakkan agama Allah ini.

Janganlah umat mengimpikan kemenangan muslimin terhadap Yahudi sedangkan umat masih lagi berpecah belah, berselisihan dan pergaduhan. Janganlah umat berangan-angan dengan kemenangan sedangkan umat masih lagi bermalasan dan tidak bersungguh-sungguh.

Mustahil kemenangan diberikan kepada orang yang bermalasan dalam berhadapan dengan musuh yang berjuang bersungguh-sungguh menghancurkan Islam. Mustahil kemenangan diberikan kepada umat yang hanya meluangkan cebisan waktu untuk Islam dalam berhadapan dengan musuh yang meluangkan sepenuh waktu untuk meruntuhkan Islam. Maka cepat atau lewatnya kemenangan Islam adalah di bahu kita bersama yang akan dipersoalkan oleh Allah Ta’ala nanti.

Dan ingatlah kata-kata Saidina Umar kepada sahabatnya: ” Impikanlah” Seorang pemuda berkata: ” Aku mengimpikan jika sekiranya negeri ini dipenuhi dengan emas lalu aku infakkan pada jalan Allah.” Saidina Omar berkata lagi: “Impikanlah”. Seorang pemuda berkata: “Aku mengimpikan jika negeri ini dipenuhi dengan batu permata lalu aku infakkan pada jalan Allah.” Omar berkata lagi: “Impikanlah”. Mereka berkata: “Kami tidak tahu apa yang hendak dikatakan wahai Amirul Mukminin” Omar pun berkata: “Tetapi aku mengimpikan rijal seperti Abu Ubaidah bin al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim, hamba Abu Huzaifah. Lalu aku meminta pertolongan dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah”.

Itulah sebenarnya modal utama untuk kembali memerintah dunia. Seorang pemuda lebih berharga dan bernilai dari seluruh isi dunia. Maka pemuda inilah yang akan berjuang sehingga tertegaknya Dinul Islam ini. Wallahu A’alam.

http://abupas.blogspot.com/2008/10/hari-esok-untuk-islam.html

Yang dirasa dalam PERASA ..

Saya  telah menghadiri satu kursus motivasi pada 20, 21 dan 22 disember yang lepas di Pendang Lake Resort. Lokasinya lebih kurang 40 minit perjalanan dari Sg Petani. Kursus dinamakan PERASA iaitu Pembimbing Rakan Sekerja . Pihak urusetia menamakannya sebagai ‘ program titian kasih’ dan kami pula menyebutnya sebagai  kursus team building.  Namun apa saja nama yang diberikan terhadap program tersebut, objektif yang ingin dicapai  tetap sama iaitu untuk meningkatkan semangat kerjasama antara staf, memantapkan organisasi dan menjalin hubungan kerja yang positif bagi mencapai misi dan visi PPAI. .. hmm lebih kurang camtu lah yang diberitahu kepada kami semua …

Sepanjang perjalanan suasana jadi bising dan ceria dengan usik mengusik berlaku antara teman-teman saya. Ada teman yang melahirkan rasa lega mendapat title bujang sementara dgn meninggalkan suami dan lapan orang anaknya. Ada yang bercerita sudah siap masakkan makanan utk familinya bagi tempoh 3 hari peninggalannya. Dan ada juga yang menunjukkan ‘kain pelikat suami’ yang dibawa bersama sebagai penawar rindu sepanjang tempoh kursus tersebut. Katanya ‘ maap noo, yang ni aku tak leh nak  tinggai, hangpa jangan dok kata apa kat aku , buat-buat paham la no”.

Saya cuma mengekek ketawa melihat telatah member. Sesekali  saya tumpang menakalkan diri menokok usikan terutama kepada safiza yang baru mendirikan rumahtangga…ngeiih ! sori ye piza. Rata-rata member saya melahirkan rasa seronok berpeluang ‘melenggang kangkung’ ke program kursus ini dan melupakan sekejap kesibukan urusan rumahtangga serta tugas sebagai isteri dan ibu. Namun saya rasa mereka ni semuanya eksen je lebih, tak tahan daulat sebenarnya. Saya perhatikan bila ada saja masa luang pasti kedapatan kawan-kawan yang menekan hanfon menghubungi suami dan anak masing-masing. Saya sendiri entah berapa kali menghantar sms dan membuat panggilan kepada suami dan anak-anak. Saya rasa sekiranya bisa mendapat khabar dan mendengar suara, itu sudah cukup melegakan. lagipun saya ingin mereka faham bahawa mereka sentiasa dalam ingatan saya walau saya jauh dari sisi mereka …. abang, terima kasih membantu memudahkan urusan ummi dan menjaga anak-anak sepanjang ummi berkursus, semoga Allah juga memudahkan segala urusan abang nanti. Pengorbanan abang amat ummi syukuri dan sangat hargai.

Semua staf lelaki dan  wanita ditempatkan di dua dorm yang berasingan. lama tak tidur di katil double decker saya memilih katil atas sebagai tempat beradu dan melayan mimpi. Berat sungguh rasanya ketika memanjat tangga katil yang kecil itu, dulu tak seberat ini rasanya. Terketar-ketar saya melawan rasa gayat sehingga bergegar katil saya. Orang bawah mengadu seram kerana katanya terasa seperti sebuah ‘gempa bumi’ sedang berlaku..kah kah kah…nasib lah yer..

Dari posisi atas tu saya seronok melihat gelagat kawan-kawan menyelesaikan urusan pribadi mereka sebelum melelapkan mata. Ada yang sibuk menggosok pakaian, ada yang membelai wajah dgn kosmetik rawatan kulit muka, ada yang tekun membaca Al-Quran, ada yang melumur minyak angin dan mengurut tapak kaki , malah ada juga yang senaman ringan membetulkan urat-urat yang tegang….hmmmm macam-macam le depa ni …

Malam pertama di situ sukar sungguh melelapkan mata. Jam 2.30 pagi saya masih ‘hidup’ sekalipun mata telah rapat saya pejamkan. Dalam kesunyian malam banyak alunan suara yang singgah dicuping telinga saya. Suara nyamuk yang merempit di telinga, suara dengkuran keletihan teman-teman , suara terbelahak angin yang ‘dibuangkan, bunyi keriuk-keriuk katil besi bila ada yang mengubah posisi tidur semuanya begitu jelas menyusuk masuk ke telinga saya….alamak! teruk la camni. Saya kena tidur cukup lantaran esok sudah pasti banyak aktiviti yang menanti….teruk la saya nanti kalau camni. Dalam kegelisahan kerana sukar mematikan diri saya akhirnya terlelap juga bila akhirnya alarm handfon mengejutkan saya utk aktiviti qiamullail pada jam 4.30 pagi … okey la tu, dapat juga rasa nikmat ‘tertidur’ sebentar…

Memang lumrah, program motivasi selalunya menyeronokkan. Ia diisi dengan aktiviti lucu, seronok,  agak keanakan tetapi mempunyai makna dan pengajaran yg tersirat. Semua kakitangan turut terlibat, bermula dari tukang kebun sehinggalah pengetua sekolah. Itu yang menariknya bila sesuatu program dihadiri oleh peserta pelbagai pangkat, berbeza bidang kerja dan lapisan usia. Aktiviti berkumpulan  yang kami lakukan kelihatan lebih kreatif dan lucu sekali. Sayangnya saya tertinggal digital camera saya manakala hanfon saya pulak buat hal tak boleh nak snap gambo….rugi betol. kalau tidak tentu saya akan rakamkan aksi kami para muallimah ” bertomoi sakan ” cuba memecahkan belon lawan yang diikat dikaki. Begitu juga lakonan majlis pertunangan dari setiap kumpulan dimana saya menjadi ibu pihak lelaki dan pak pin tukang kebun sebagai ayah. kami menyambut rombongan peminangan dari pihak perempuan. Luarbiasa sekali dan saya terhingut-hingut menahan ketawa bila muallimah Durrah sebagai nenek tetiba buat kecoh dalam majlis yang agak klasik tu.

Saya rasa banyak yang singgah dihati saya sepanjang program tersebut. Saya terasa seperti sedang bergelut dengan pelbagai sentimen dan emosi. Hanya Allah yang tahu tentang bebanan hati. Ketika teman-teman meyampaikan tazkirah selepas subuh dan ketika program qiamullail kami, jiwa saya terasa kecil sekali. Memahami bahawa segala laku perbuatan dan kewajipan kita akan dipersoalkan oleh Allah nanti, ketakutan seperti menggigit tangkai hati. Banyak kesalahan , penyelewengan dan pengabaian yang telah saya lakukan. Tanggungjawab tidak saya pikul dengan sempurna, bahkan saya sering mengeluh kerana bebanan yg terpaksa ditanggung secara fizikal dan mental. Mungkin Allah sedang memandang saya dengan kemarahan ..Astaghfirullah. .. Ya Allah ampunkan saya..

Ucapan dari Tuan Pengerusi Lembaga Tadbir Sekolah ketika majlis perasmian terasa begitu besar ertinya. Katanya kita perlu sentiasa menyemat rasa bersyukur kerana Allah memilih kita memikul amanah pendidikan, jesteru pendidikan Islam satu-satunya benteng pertahanan akidah umat Islam. Pendidikan adalah asas kepada segala sistem kehidupan manusia. Pendidikan yang pincang akan melahirkan generasi yang materialistik yang sanggup menjual agamanya untuk merebut keuntungan dunia. Sistem kehidupan ibarat suatu tanaman sedangkan pendidikan dan keilmuan itu diumpamakan seperti akar. Jika akarnya kuat dan utuh, maka segala yang dihasilkan termasuk daun, batang, bunga dan buah akan berkembang subur dan memiliki kualiti pohon yang terbaik.

Sekarang ini kita betul-betul berada di pengakhiran zaman dan di ambang kemusnahan peradaban manusia. Gejala maksiat dan kejahatan berleluasa walaupun di kalangan umat Islam sendiri. Dashatnya bila muslim sendiri sudah kabur pandangan dalam menyusuri jalan kehidupan yang ditinggalkan oleh baginda Rasul dan para sahabat, lantaran pencabulan ke atas pendidikan Islam yang sebenar. Penjajahan menjadikan sistem pendidikan kita dalam keadaan buta dan keliru. Generasi ‘ profit oriented’ yang dihasilkan oleh pendidikan sekular ini,yakni  sistem pendidikan yang mendasarkan pada landasan materialistik  semata  membuatkan para produksi pendidikan kita bukanlah orang yang dibutuhkan oleh umat untuk menyelamatkan umat. Bahkan mereka mungkin produksi  pendidikan yang menjadi beban , mengkorupsi hak rakyat, dan menjadi pemimpin  yang menginjak-injak nasib rakyat pimpinannya dengan kezaliman dan penindasan.

Kita mengharapkan menjadi orang yang memandang jauh akan ancaman ini,  dan mengharapkan menjadi golongan yang dipilih Allah untuk membantu agamanya melalui pendidikan. Marilah sama-sama kita renungkan firman Allah swt ini ” wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia kan menolong dan menetapkan kedudukanmu ” – muhammad : 7

Semoga hasrat utk memperkasakan pendidikan Islam menjadi impian yang mampu digapai. Kita seterusnya mampu melahirkan ulama’, umara’, azkiya’ dan aghniya’ yang akan meneruskan rantai perjuangan mendaulatkan syariat Allah secara menyeluruh dimukabumi ini.

Saya tinggalkan lokasi kursus dengan suatu harapan yang cuba saya pasakkan jauh di sudut hati. Saya tidak ada kekuatan melainkan apa yang Allah izinkan untuk saya miliki. Saya berdoa Allah sentiasa memimpin saya, memberi ketabahan jiwa, mengampunkan segala dosa dan mengirimkan sahabat-sahabat yang membantu menguatkan saya. Saya mengharapkan Allah mengekalkan saya berada di dalam perjuangan agamaNya….amin.

gambaran kehidupan sahabat….

Sesiapa yang ingin mencontohi seseorang, maka ambillah contoh daripada mereka yang telah mati. Kerana orang yang masih hidup belum terjamin kesudahannya “
Saya menjamah beberapa kisah sekumpulan manusia agung yang pernah melalui realiti hidup bersama kekasih Allah yakni Rasulullah saw. Mereka ini adalah manusia yang sangat beruntung, ummah yang terbaik, digelar generasi Al-Quran yang unik. Mereka unik kerana generasi merekalah paling unggul dan yang satu-satunya, bahkan tidak ada lagi generasi yang lebih baik dari mereka selepasnya.
Sahabat Rasulullah umpama bintang-bintang di langit. Mereka simbol keindahan dan menjadi petunjuk dalam kegelapan. Sekiranya rajin menyusuri sejarah kehidupan para sahabat, kita pasti menemukan keajaiban dalam hal sikap dan kepribadian mereka yang mungkin tidak tergambarkan oleh kita. Tapi itulah realitinya.
Kisah kehebatan iman mereka terhadap Allah dan rasulnya bukan cerita khayalan atau gambaran ilusi yang sengaja direka. Ia adalah realiti dan penuh pengajaran untuk dikutip sebagai madu penawar bagi penyakit jiwa yang kosong.
Memang benarlah, kisah sahabat yang sarat dengan cerita iman dan perjuangan, mampu membangunkan kembali jiwa yang letih dan longlai. Ia juga melahirkan rasa insaf tentang kecilnya dugaan yang ditempuh jika kita cuba nisbahkan dengan ujian utk para sahabat dulukala. Ia mampu menyedarkan kita bahawa ujian adalah untuk mendekatkan kita kepada Allah dan kembali berpegang teguh pada taliNya. Kisah mereka penuh motivasi bahawa yang dinamakan perjuangan itu bukan dalam suasana tenang dan senang lenang.
Buku 65 Gambaran Kehidupan Sahabat oleh Dr. Abdul Rahman Ra’at Al-Basha telah saya soroti ketika masa lapang petang tadi. Sambil menemani puteri kecil saya tidur saya membaca beberapa kisah yang sungguh hebat bahkan boleh menggetarkan jiwa. Cukup tersentuh dengan getirnya perjalanan Salman Al-Farisi dalam mencari agamaNya. Malah saya terpalit rasa sayu yang amat sangat menyelami kehebatan perasaan beliau ketika pertama kali bertemu dan memeluk baginda Rasul…masyaAllah.
Buku ini menjadi sebahagian dari teks usrah di sekolah dan saya memiliki jilid 1 dan 2. Memang indah dan mengujakan kisah-kisah sahabat yang termuat di dalamnya.
Mungkin anda pernah mendengar nama Abu Sufyan bin al-harits. Beliau mempunyai perkaitan yang sangat rapat dengan baginda Rasulullah saw. Bapanya, al-Harits adalah saudara kandung kepada Abdullah bin Abdul Mutalib, yakni bapa nabi. Maka beliau adalah sepupu nabi, dilahirkan pada zaman yang sama dan membesar dalam satu keluarga. Rakan sepermainan yang sangat rapat dgn baginda bahkan keduanya disusui oleh Halimah as sa’diyah.
Abu Sufyan dikatakan ahli keluarga yang paling mirip dengan nabi. Memiliki hubungan serapat itu sepatutnya beliau menjadi orang paling cepat dan paling hadapan beriman pada Rasulullah saw. Namun sejarah tidak pula dilakarkan sebegitu.Tatkala baginda rasul zahirkan dakwahnya, api kebencian dan kemarahan Abu Sufyan telah menukarkan persaudaraan dan persahabatan kepada permusuhan. Beliau memerangi Rasululah dan muslimin, mengenakan siksaan, mencela dan menghina Rasulullah dalam syairnya. Jika ada saja ruang untuk mengenakan Rasulullah dan muslimin, beliau pasti melakukannya.
Permusuhan terhadap nabi selama 20 tahun itu diisi dengan segala bentuk kejahatan dari Abu Sufyan demi menggagalkan dakwah baginda.Kejahatan dan keburukan Abu sufyan terhadap nabi memang sangat hebat dan diketahui umum. Namun begitu, kesudahan hidup manusia tiada siapa yang mampu menelahnya. Tidak lama sebelum pembukaan kota mekah, beliau telah memilih utk meninggalkan kehidupan kufurnya dan beriman kepada Allah dan Rasulnya. Biarpun diawal pengislamannya dikisahkan baginda telah berpaling muka darinya lantaran terguris dengan sikap buruknya terhadap dakwah baginda, namun akhirnya baginda kembali meredhainya, dan Abu Sufyan telah mengecapi penerimaan baik dari Rasulullah sejak peristiwa peperangan Hunain.
Abu Sufyan telah menghabiskan sisa hidupnya menyesali detik hitam ketika jahiliah dan menghabiskan siang malamnya dengan al-Quran. Beliau tidak mampu mengangkat muka memandang Rasul lantaran malu dengan dosanya dulu, sedangkan sejak pengislamannya, dia langsung tidak terlibat dengan kesalahan.Bahkan baginda Rasulullah saw pernah berkata ” Abu Sufyan bin Al-harits adalah penghulu pemuda syurga…”…
MasyaAllah, lihatlah bagaimana cahaya islam meyelamatkan Abu Sufyan, malah cahaya Islam juga telah menyelamatkan beberapa lagi manusia yang dulunya begitu hebat menentang perjuangan islam. Bukan calang-calang penentangan yang dikenakan oleh mereka. Siksaan kejam, kezaliman, penghinaan dan pembunuhan yang dilakukan kepada muslimin biar bagaimana dashat sekalipun tetapi akhirnya cahaya islam telah dapat meyelamatkan mereka. Kisah Washi dan Hindun yang berpakat membunuh saidina Hamzah, kisah Ikrimah Bin Abu Jahal yang hebat memerangi nabi , kisah Khalid Al-Walid dan beberapa kisah individu lain lagi yang mempunyai sejarah hitam memerangi muslimin dan dakwah nabi, namun akhirnya Islam telah memuliakan kesudahan hidup mereka didunia ini. Mereka tetap dijanjikan syurga dengan keimanan mereka itu.

Inilah yang dikatakan keindahan hidayah Allah dan diberikan kepada siapa saja yang diinginiNya. Cahaya Rasulullah telah meyelamatkan mereka dari api neraka. Mereka akhirnya beriman kepada Allah di atas jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Hati manusia mungkin lebih keras dari batu, tetapi cahaya Allah pasti mampu mencairkannya. Ketika cahaya Allah sampai tiada manusia yang mampu menahannya. Sejahat mana pun manusia dan sekuat mana pun penentangan mereka terhadap agama Allah, namun jika Allah berkehendakkan kebaikan ke atas mereka, nescaya Allah akan meyempurnakan cahaya iman itu kepada mereka.
Semoga kita menjadi pilihan Allah untuk disempurnakan keimanan dan mampu melihat kehidupan ini dengan lebih bermakna. ..Amin

Salah Siapa ?

Pahit sungguh sebuah kenyataan, berat sungguh mata ini memandang, dalam kehairanan saya tercari-cari jawapan MENGAPA INI BERLAKU ?

Saya akui saya jarang berada dinegeri sendiri yakni kelantan…. selepas menamatkan tingkatan 5, saya banyak merantau di negeri orang. Bila berkerja dan berumahtangga, saya juga memilih menetap diperantauan. Kesempatan yg cuma datang sekali-sekala utk berkunjung pulang, tentulah saya lebih peka dan cepat terkesan emosinya dgn perubahan … sedih, perubahan di kampung saya sangat ketara saya rasakan. Bahkan perubahan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu ‘mengganggu’ ketenangan hati saya. Sungguh pun saya melihat banyak kebaikan, tapi ada juga keburukan yang saya kira tidak boleh dipandang ringan, kerana ianya sungguh menyedihkan…

Saya letih dengan kesedihan, saya penat betul dengan kehampaan…
tapi sekadar mencela dan menyebut-nyebut kekurangan tidak mendatangkan apa-apa pulangan, siapalah yang dapat menjawab segala kemusykilan saya …. saya benar-benar tidak faham MENGAPA INI BERLAKU ?

negeri saya indah dipuji orang….
keunikan rakyatnya sering saja diperkatakan…

suasana politiknya diintai kawan dan lawan… keperbezaan negeri dan rakyatnya sentiasa dinantikan, tapi mengapa pula sehebat itu ujian utk negeriku Kelantan…ketika pemimpin negeri berusaha keras membawa Islam ke negeri bertuah itu, rupanya ramai remajanya telah hilang pedoman. Saya menilainya satu kerugian, bahkan satu ancaman terhadap cita-cita perjuangan Islam. Entah siapa yang harus di persalahkan.

Saya tiada niat membuka keaiban … tapi kecewa saya tiada keruan, dan saya tertanya di mana silapnya sehingga beberapa remaja yang saja lihat dan jumpa seperti ‘tiada asuhan’… bukankah negeri saya tersohor negeri yang cintakan Islam dan inginkan kehidupan Islamnya terpancar pada seluruh rakyatnya. Apa sudah jadi dengan remaja saya ?…..tiadakah pembelaan untuk mereka ?…mana perginya orang-orang tua yang sepatutnya memainkan peranan ? Mengapa dibiarkan mereka punah ranah gara-gara ketagihan pil kuda. Bukankah mereka generasi yang bakal mewarisi perjuangan kita….kepada golongan inikah yang kelaknya hendak diserahkan ‘nasib’ negara ??

Mereka menjadi kumpulan yang jauh dari masjid. Tiada langsung aspirasi memperjuangkan agama di hati mereka.Penampilan mereka yang menyakitkan mata, mereka berbual perkara-perkara yang kosong dan lagha, keadaan mereka yang longlai, menghabiskan masa bermotosikal, melepak di mana-mana saja mereka suka, bahkan saya mendengar ada diantara mereka yang menjadi agen ‘menjual nombor ekor’ sesama mereka…astaghfirullah, apa sudah jadi pada remaja negeri serambi Mekah….sedihnya saya.

Ketika di kampung, saya mendengar cerita tentang ‘ gejala pengambilan pil kuda’ yang berleluasa di negeri saya. Di mana-mana tempat dikatakan pasti ada cerita remaja dan pil kuda. Seorang tua di kampung saya mengatakan betapa ramainya remaja Kelantan terjebak dengan ketagihan pil kuda. Entahlah, katanya pil ini diperbuat dari tulang manusia yg dibakar, kesannya bukan saja mengkhayalkan, bahkan boleh mengakibatkan gila atau hilang kewarasan. Boleh bertindak ganas dan luar kawalan. dari cerita seorang ahli keluarga pula , saya mendapat tahu kebanyakan remaja ditempat saya mengambil pil kuda. faktor pengaruh kawan-kawan dan mudah mendapatkan bekalan menjadi penyumbang kepada masalah ini.Soalnya kenapa boleh jadi semudah itu ?


Sedihnya hati saya, orang-orang yang dekat dengan saya pun ada yang terlibat sama. Di kampung pengambilan pil kuda di kalangan remaja dah jadi perkara biasa. Ibu bapa masing-masing boleh bercerita tentang kelakuan tidak siuman anak-anak mereka bila mengambil pil kuda. Sedihnya….anak-anak remaja dikampung saya , yang sewaktu kecilnya dulu begitu comel bermain-main dihalaman rumah saya, ada diantara mereka yang pernah saya usik, saya dukung, cium dan saya manja-manjakan….sekarang rosak gara-gara pil kuda. Saya mendengar mereka mudah mendapatkan bekalan pil kuda semudah mendapat bekalan gula-gula….heran, sebegini mudah ke ?

Sebetulnya saya agak keliru dengan kerana dulunya saya pernah mendengar tentang pil kuda adalah utk kegunaan tenaga batin lelaki. Baru sekarang saya tahu ia disukai remaja untuk tujuan mengkhayalkan diri. Saya tidak tahu adakah itu dari jenis pil yang sama. Cuma saya rasa aneh betol dunia ini, kerana manusia berkecenderungan membinasakan diri sendiri, mereka gemarkan sesuatu yang mencabar kewarasan akal mereka dan memudaratkan manusia lainnya, alangkah dashatnya.

Siapa yang hendak dipersalahkan tentang nasib remaja ini. Adakah mereka telah dibesarkan dalam suasana yang cuai sehingga mereka tiada jati diri lagi. Apalah yang diharapkan pada nilai ‘agama’ dalam diri remaja ini kalau kebanyakan masa yang mereka ada dihabiskan dengan cara yang rugi. Usia remaja adalah usia yang paling ideal untuk dibentuk dan dimanfaatkan potensi diri mereka. Rasulullah membentuk jiwa sahabat diusia remaja. Keremajaan mereka dihabiskan dengan jihad dan dakwah. Mereka memikul beban memperjuangkan Islam dalam usia yang sangat mentah. Tapi ternyata ruh dan jiwa mereka dewasa melebihi usia. Mereka memikul beban risalah islam dengan penuh amanah.Mengambil contoh Ali bin Abi Talib, Zaid Bin Harithah, Talhah Bin Ubaidullah, Zubair Bin Awwam, Salman Al farisi bahkan banyak lagi contoh remaja yang telah melakar sejarah memperjuangkan Islam. Bacalah sejarah, kita akan tahu bagaiman remaja ini memperkuatkan Islam dengan ruh jihad di hati mereka.

Saya kira memang tepat bila dikatakan golongan remajalah yang menjadi tonggak kepada kekuatan perjuangan Islam, kerana sejarah menjelaskan begitu. Rasulullah sandarkan pada golongan remaja untuk menentang taghut di Mekah dan membina ummah.Tapi kita hari ini, dengan remaja yang ‘longlai dan hanyut’ ini, yang lebih bahagia memilih kehidupan kosong dalam fantasi dan dunia khayal mereka, apakah yang boleh kita pertaruhkan ? apakah yang boleh kita sandarkan ? apakah masa depan  agama ini boleh diharapkan kepada generasi sebegini ?..alangkah dasyatnya ujian yang bakal ditempuhi. Semoga Allah memberikan jalan kepada para remaja kita dan memperkuatkan mereka kembali diatas agama ini .


Dicipta oleh saintis Jerman semasa perang  dunia kedua untuk dibekalkan kepada tentera Nazi di medan peperangan . Dikeluarkan oleh Negara China, Myanmar dan Thailand

Berbentuk pil vitamin, berwarna merah bata,biru,hijau,putih & kebanyakannya  tertulis huruf WY

Digunakan secara menelan, menyedut dan suntikan, gatal apabila terkena kulit. Pil Kuda juga dikenali sebagai Moody Pil.

Kesan Pil Kuda

  • Boleh menyebabkan gila jika diambil sebiji sehari selama sebulan
  • Boleh bertindak ganas/agresif apabila tercabar
  • Kesan halusinasi iaitu melihat dan mendengar benda yang tak wujud
  • Penagih merasakan seakan ada ulat merayap dibawah kulit
  • Cepat merangsang otak serta merosakkan sel otak