“Semuanya kehendak Allah, akak terima saja. Kalau ditentukan akak akan sembuh akak bersyukur. Tapi kalau Dia tentukan sampai di sini saja kehidupan akak ..pun akak redha.” kata-kata yang diucapkannya masih terngiang di telinga saya. Saya masih terbayangkan pandangannya yang sayu dan lemah sekali ketika menuturkan kata-kata ini kepada saya beberapa hari yang lalu.”cuma kalau akak ada apa-apa kesalahan pada enti, akak minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki, minta tolong doakan Allah jadikan akak sabar menghadapi semua ini sehingga ke akhir” satu persatu dia menyusun kata kepada saya sedangkan nafasnya turun naik kepenatan menahan sakit kanser ususnya. Dalam situasinya yang lemah serta rasa keterpaksaan menjalani rawatan kimo yang tidak dapat dia elakkan, dia masih cuba berbicara dengan saya dan berkali-kali memohon maaf sekiranya saya tidak selesa dengan bau najis dan darah yang mengalir dari rongga dibahagian abdomennya.
Tangannya saya genggam dan kucup dalam deraian airmata yang tumpah tanpa dapat saya tahan.. Tiada sepatah pun perkataan yang mampu keluar dari bibir saya bagi membalasi kata-katanya yang menyentuh hati, hanya kepala yang saya gelengkan sebagai menjawab bahawa dia tiada kesalahan apa-apa terhadap saya dan dia tidak perlu memohon maaf dengan saya.
Saya tidak tahu apa yang boleh saya tuturkan bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh sahabat saya ini. Sepertinya tiada lagi perkataan ….tiada lagi perkataan yang muncul difikiran saya bagi dilafazkan untuk memberi kekuatan kepadanya.Dia kelihatan sungguh menderita kesakitan. Sebelum ini ketika menziarahinya di rumah maupun di hospital saya sering menasihatinya bersabar dan sentiasa menyebut nama Allah.Tapi ziarah saya kali ini saya hanya mampu membisu dan berkali-kali mengucup tangannya yang saya genggam erat itu, sedang airmata ini terus mengalir laju. Tidak layak rasanya untuk saya memintanya ‘bersabar’ kerana jelas dia memang sedang mempertahankan kesabaran dengan segala kudrat yang ada padanya. Dia memang sangat sabar dan seandainya saya ditempatnya, tidak pasti saya beupaya untuk setabah maupun sesabar dirinya.Maka Jesteru itu, saya jadinya ‘terdiam’ sahaja. Cuma sewaktu mencium pipinya untuk meminta diri, saya sempat berbisik “kak, Allah ada dan sangat dekat dengan kita “.
Beberapa kali saya dan teman-teman yang lain berkesempatan menziarahi sahabat kami ini. Rakan guru yang Allah uji dengan ujian kanser usus yang dideritainya lebih setahun yang lalu. Dari seorang yang ceria dan cukup aktif di sekolah, dia sekarang semakin kurus, cengkung dan pucat dimamah kuman kanser yang tiada mengenal belas dan kasihan. Kami sekadar mampu berdoa dan bermohon pada Allah agar beliau sabar mengharungi segalanya dan InsyaAllah akan pulih semula.
Semalam bila saya menziarahinya untuk kesekian kali, dia lebih ceria dan agak manja. Dia meminta seorang dari kami menyuapkan kuetiaw goreng untuknya. Kami ada juga melarang kerana bimbang akan mendatang mudarat padanya, tapi dia merengek memintanya juga. Dalam derai tawa melihat gelagatnya, hasratnya itu kami tunaikan jua. Terasa lucu pula bila saya berseloroh ‘mempelawanya’ aiskerim, terus dia bulatkan matanya dan merengek ‘nak, nak…nak jugak”...katanya. Terpaksalah saya turun mendapatkan aiskerim untuknya. Kami sebenarnya senang bila dia meminta ‘untuk makan’ dan sebolehnya cuba memenuhi keinginannya.Ini kerana badannya kurus benar kerana selera yang hilang dek penangan kimoterapi yang cukup ‘menyiksakan’. Saya seronok melihat dia berselera menikmati aiskerim biarpun hati sangat sebak melihat apa saja yang masuk ke dalam mulutnya, sebentar kemudiannya akan meleleh keluar semula dari rongga luka di tepi pusatnya. Yang sangat pilu dan menyedihkan kami semua, bahagian perutnya melecet teruk kesan dari cecair darah dan najis yang sentiasa merembes keluar.
Pujian harus diberikan kepada pelajar banat yang setakat ini bergilir-gilir menjaganya di hospital. Semuanya susunan Allah, saya terharu dengan kebaktian yang ditunjukkan oleh sue, solehah, khaulah, wan nur, syuhada dan teman-teman mereka yang lain. Layanan yang mereka tunjukkan pada guru yang terlantar uzur sangat-sangat menyentuh hati. Tanpa merasa jijik atau mengeluh letih, mereka kelihatan sabar menguruskan guru yang sudah banyak kehilangan keupayaan diri. Hampir setahun lebih sahabat kami ini keluar masuk hospital beliau dijaga oleh anak-anak murid yang sentiasa melapangkan diri untuk mengurus guru mereka yang sakit. Ya Allah, kau rahmatilah murid-murid kami ini dan balasilah kebaktian mereka kepada kami dengan balasn syurgamu. Jadikanlah mereka pelajar kami yang sentiasa mendapar rahmat dan petunjuk dariMu.
Ya Allah, tabahkanlah hati sahabat kami yang mendapat musibahMu ini. Kau mudahkanlah baginya melalui detik getir menanggung peritnya kesakitan duniawi. Kurniakanlah kepadanya nikmatMu yang tidak terperi sekiranya ditakdir dia mengadapmu nanti. Ya Allah, Engkaulah yang memiliki alam ini dan kesemua isinya . Engkaulah yang memiliki kami dan menentukan setiap inci kejadian dalam kehidupan kami, kepadaMu kami bakal kembali, maka jadikanlah kami orang-orang yang berserah diri dan mendapat keampunan.