raya

Syawal di minggu kedua,  ada yg masih beraya ke? peliiizz…. raya yg sebenar  satu hari je ya…. pada 1 syawal maksud saya . Yang sebulan syawal dengan tradisi rumah terbuka tu hanya adat je ya 🙂
…. 8 hari saya di negeri Cik Siti Wan Kembang bagi menyambut Aidilfitri dan syawal tahun ni. Raya yang telah menyediakan peluang utk saya panjangkan silaturrahim dengan program kunjungan ke rumah saudara mara dan handai taulan. Pertanyaan yg kerap ditanya bila bersua . “dok mana sekarang?…kerja apa?….. anak berapa? bila balik sini?…bila nak balik sana?… tak cam la, mahani dah gemuk sekarang …..ARRGGGGHHHH.
Seperti biasa …..Kota Bharu sinonim dengan ‘jam teruk’ …. ehem ehem saya ulangi  “jam teruk’  bukan ‘jem jeruk’. Macam ni lah setiap musim raya tiba, terperangkap dalam kesesakan kenderaan di jalanraya. Tapi orang kelantan ni  hebat,  tidak pernah serik dan macam  ‘dah imune’ terperangkap di jalanraya. Agenda beraya ke rumah sanak saudara berjalan seperti biasa walau berjam-jam terpaksa berpanas di jalanraya. Kesian melihat kenderaan yg rosak penghawa dinginnya. Berkipas-kipas penumpang di dalamnya.
Kunjungan ke rumah saudara mara buat saya rasa bahagia. Selain berkesempatan bersua dengan handai taulan yg sekian lama tak berjumpa saya tak lepas peluang berjamu selera. Antara yg buat saya teruja ialah hidangan Kuzi Kambing yg saya nikmati di rumah sepupu. Hidangan ini muncul di Kelantan pada musim raya atau masa kenduri aqiqah saja….jadi ia nostalgia,  itu yg mahal sebenarnya. Saya tidak tahu kenapa masakan itu dinamakan Gulai Kuzi. Bunyinya macam masakan Jepun, tapi orang jepun makan gulai ke?? atau mungkin pencipta resepinya bernama Tengku Fauzi, maka singkatan resepinya jadi KuZi … kui kui kui…

ni la gambar KuZi Kambing….. sketoi !

Pelbagai juadah terhidang di meja, sebolehnya saya cuba rasa kesemuanya, walaupun sekadar ‘tek kat mulut’ saje. Jika dipelawa tuan rumah, saya fikir  kita tetap kena ‘jamah’ juga…. walaupun perut dah rasa full. Bukan kerana pelahap terhadap makanan, tapi menghormati dan menggembirakan hati tuan rumah yg sudah bersusah payah menyediakan makanan.Orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa, tapi kalau orang dah terlebih tak paham-paham bahasa, kita piiiraah kan saja…kuang kuang kuang ….

Sebaiknya puji sikit lah hidangan mereka, biarpun kita rasa masakan dari tangan kita lebih sedap sebenarnya….ngeeeihhhh. Saya diminta menyediakan kuah laksa Penang ketika kenduri rumah terbuka anak saudara saya di Pasir Mas . Seperiuk besar saya sediakan. Berbanding kuah laksa kelantan yg ditempah olehnya, kuah laksa penang saya lebih menjadi tumpuan, waktu tengahari dah boleh basuh periuk…waaahhh kembangnya saya rasa. 😀
Suami dan anak2 lelaki sempat solat subuh dan bertakbir di surau depan rumah kami di Tanah Merah. Kami kemudiannya bersiap utk bersolat sunat Aidilfitri di Pasir Mas. Saya tidak menyediakan juadah apa2 utk pagi raya kerana berhasrat bersarapan di rumah kakak saya saja. Maklumlah tak cukup senjata nak bersilat di dapur istana hinggap kami tu. Blender tak de…periuk tak de…. rempah ratus semuanya tak de, dapur pun baru dibeli sehari sebelum raya. Namun awal pagi raya tu, pintu rumah sudah diketuk jiran dan kami mendapat sepinggan ketupat bersama sambal bilis. “ Aiik!!….ketupat dgn sambal bilis? Gulai daging tak de ke?” tanya Syamil. “ tu kat  kedah chik ….ni kelantan lain pula. Tak baik banyak songel dgn rezeki, Makan je, syukur ada jiran yg ingat kat kita tau .” Kata saya. “ kalau raya umah tok kita kan best…ketupat tok sedaaap” kata Raihanah pula. “ raya haji kita raya umah tok mah ya…Insyaallah ”. Janji saya pada Raihanah, peminat setia ketupat mertua saya. Sedih 😦  … pinggan jiran saya balas dengan biskut raya yg  saya bawa dari sungai petani, tu pun biskut raya yg saya beli kat sekolah sebelum cuti . Tentu saya lebih berbesar hati jika dapat  sediakan balasan dari air tangan sendiri. Hmmmm tak pa la …mungkin lain kali,  InsyaAllah.
Tak putus jemputan menghadiri rumah terbuka. Ada yg tak sempat utk saya penuhi kerana jadual  ‘ziarah’  yg padat. Sementelah dua majlis pertunangan anak sedara terpaksa saya hadiri. Anak kakak saya bertunang dgn orang Bachok dan anak saudara suami saya juga turut bertunang dgn orang Bachok…. “mmm nampaknya Kedah ngan Kelantan makin dekat la bang nooo” kata saya pd suami. Waaah meriahnya. Kedua-dua anak sedara merancang bernikah pada cuti sekolah bulan Mac nanti…..berat jugak ni…. mana satu agaknya yg sempat saya pergi  ni 😀
Raya ni  tak bergambar…. huhuhu, sejak camera hilang beberapa bulan yg lalu , sampai sekarang belum berganti  ” baba dah tak nak beli, dah dua kali beli camera hangpa tak jaga ” kata suami pada anak2. “ jangan Ba,kena beli jugak,  kesian master chef kita …. tak boleh nak ambik gambar masakan dia”  muaz memerli saya. ” tak paa….ummi dah ambik gamba daah…guna handfon jerr ” kata saya penuh sayu . Huhuhu…hati sedih sebenarnya, tak dapat le ambik gambar pakai baju raya woka woka yg glamer tu … hahahaha…

satu2nya gambar raya yg saya ada…ihsan dari cucu saudara…masa kami ziarah ustaz Muhammad Daud Iraqi.

Sebelum kembali ke kedah, sekali lagi saya ke rumah mak di Pasir Pekan. Hebat mak saya. Dalam usia lebih sembilan puluh tahun dia berpuasa penuh Ramadhan dan tak miss sahur. Ketika ramai warga emas seusianya sudah dihinggap penyakit nyanyuk, emak masih boleh solat secara duduk, dan masih boleh membaca quran,  … Alhamdulillah. Saya kucup tangan mak yg sudah penuh dgn kedut2 tua,  memeluk dan mencium pipi sejuknya seraya berbisik  sesuatu ke telinga mak, kemudian saya terisak-isak memeluk mak. Mak juga turut menitis airmata dan meninggalkan pesan utk saya ” mak syukur tengok che nie sekarang,  mak dok doa sokmo-sokmo utk che nie,  jaga anak tu baik-baik … dok baik-baik laki bini , jangan sombong dgn orang, ingat harta benda semua hak Allah bukan hak kita, walau kita dah senang jangan sombong dgn orang. Sembahyang jangan tinggal . Dengan adik beradik jangan berpecah belah, kalau mak dah tak de pun che nie kena balik la sini … kat sini pun semua anak beranak che nie juga, bukan orang lain”. Saya hanya mengangguk dan tersedu. Airmata tumpah di celahan kedut pipi mak yang kelihatan semakin uzur di mamah usia. Semoga Allah merahmati dan memberkati hidup mak saya dunia dan akhirat, amiin.

Anak2 gembira mengumpul duit raya . Semingga beraya Raihanah dan Insyirah masing2  dah mengumpul hampir dua ratus ringgit. “ waah banyaknya duit raya hanah…nanti  ummi nak pinjam sikit boleh tak ?”  terliur tengok duit rayanya… 😀  ” boleeeh, tapi kita kena gi Giant ” kata Raihanah. ” wokeeyyy…boleeeh” …. saya tersengeih.

Saya habiskan hampir kesemua cuti sempena Aidilfitri di negeri Kelantan. Kesian anak2 murid dan teman2 yg berkirim sms nak datang beraya ke rumah tapi saya tak ada. ….. jangan merajuk ya sayang, jemputlah ke rumah di Tikam Batu bila-bila masa saja …tapi elok kalau boleh ‘hello’ saya dulu,, sempatlah  nak kemas mana-mana yg ‘berkubang’ ataupun masak laksa maupun mee udang sebagai hidangan … cheewaah…

Album dari Ramadhan ke Aidilfitri

Tarbiyyah Ramadhan......Raihanah paling sikit berpuasa yakni 2 hari sahaja dan Muaz, satu2nya ahli keluarga yg dpt khatam Al-Quran Ramadhan kali ini 😀

hasil seni dan 'kerastangan' saya ketika Ramadhan...keh ...keh..keh

Persiapan Raya kali ni kami tak top up apa-apa utk hiasan dalaman rumah, touch up sikit je bagi nampak bersih dan kemas..

Keluarga besar Tok Mah, semoga Allah eratkan silaturahim dan ikatan kekeluargaan antara kami semua.

Raya kali ni semua 5 anak mak dan keluarga masing2 beraya di kampung...mak memang nampak happy walaupun kesihatannya sedikit terjejas ketika Ramadhan tempohari.

menantu2 perempuan mak dalam 'pakaian raya kedua' hi hi hi ....dan anak cucu yg gembira berkumpul pada hari raya...

Aidilfitri masih indah buat saya…

Masih berada dalam syawal. Hujung minggu masih kedapatan teman-teman yg mengadakan kenduri rumah terbuka. Hari ini, Rohaya jiran depan rumah saya menjemput ke majlis rumah terbukanya, dan hari ni juga sekumpulan banin tingkatan 5 datang beraya di rumah saya. Selepas saya  jamu depa dengan spaghetti bolognese, saya kasi le  duit raya singgit sorang sebagai buah tangan 😀

Rumah saya  sentiasa terbuka utk sesiapa saja teman-teman yg berhajat bertamu ke rumah saya. Cumanya jika kedatangan dimaklum awal, insyaAllah saya masakkan sesuatu sebagai hidangan menyambut tetamu,  namun jika datang mengejut…..kuih-kuih raya dan kerepek masih ada untuk dinikmati bersama kopi atau teh kosong dari saya 😀  Apa pun, raya pertama tempohari saya masak spaghetti. Spaghetti digemari keluarga saya berbanding mee biasa, sebab itu laksa johor lebih saya suka jika dibandingkan dgn laksa kelantan atau laksa utara.

Alhamdulillah, semasa minggu pertama syawal  ada juga kawan2, jiran tetangga, keluarga dan anak2 murid yg bertandang ke rumah saya. Saya sendiri sedayanya tidak menghampakan jemputan rumah terbuka dari teman2 sekalipun awal syawal tempohari keadaan kesihatan ahli keluarga saya terganggu sedikit. Paling manis ialah ketika menghadiri gathering HIUTM Kedah di Kuala Ketil. Biarpun yg hadir itu kesemuanya senior suami saya , tapi saya dapat rasa keseronokan bertemu sahabat2 lama.

Suami saya demam pada raya kedua dan berlarutan lebih seminggu lamanya, selain batuk dan selsema, dia lenguh badan , lemah dan tidak lalu makan. Ubat ditelan cuma mampu bertahan beberapa jam. namun cukuplah untuk memenuhi undangan teman-teman. Si kecil Raihanah pula demam campak seminggu sebelum raya. Nak tergelak rasanya bila hanah asyik merengek lahirkan kerisauan jika bintik campaknya  akan buat dia tak cantik bila raya nanti…..” hissh kat muka tu tak banyak sangat la hanah, pakai bedak tak nampak la nanti” saya pujuk juga walaupun rasa lemas kecik-kecik  dah pandai nak ‘kontrol ayu’. Memang pun  masa raya tempohari, dia yg paling bergaya dan raya sakan. kalau depan kamera tu tahu saja nak posing gaya  menyenget atau senyum kembang.

Anak saya Muhammad Syamil juga demam campak sehingga terpaksa dikuarantin ketika menduduki UPSR. Termasuk yg dijangkiti demam campak ini ialah Insyirah dan dia jika tidak dapat ke sekolah. Seminggu saya terpaksa berulang alik dari rumah ke sekolah setiap ada masa selang. Campak yg berjangkit-jangkit ni buat saya keletihan. Demam dan gatal-gatal jadi lebih kuat sebelah malam menyebabkan mereka tak dapat lena dengan aman.  Namun dalam keletihan ini, saya bersyukur kerana kesihatan saya masih baik untuk tetap berkhidmat dan menguruskan ahli keluarga yg tidak sihat.

Aidilfitri datang membawa ibrahnya yg tersendiri. Saya menyimpan cerita duka utk sambutan Aidilfitri tahun ini. Airmata tidak mampu melindungi kesedihan di hati saya. Biarpun sudah berusaha, saya tidak mampu menyekanya dari menitis mengiringi luka di hati saya. Allah telah susun kelukaan ini menjadi bahagian saya ketika saya seharusnya gembira menikmati suasana raya. Hikmah pasti ada, saya yakin Allah tidak datangkan kepada saya untuk merasa luka ini secara sia-sia, Cukuplah ia menjadi kenangan di hati dan pengajaran bahawa kehidupan ini sentiasa diintai ujian utk menilai iman yg dimiliki. Sebaik melangkah keluar dari Ramadhan, Allah sediakan ‘sedikit ruang’ untuk kita koreksi diri “benarkah Ramadhan telah mendidik diri ini …benarkah Ramadhan telah ikhlas dihayati sehingga melahirkan diri yg solid nilai taqwanya pada Ilahi”. Allahlah penilai diri saya ini dan pemimpin kepada hati. Andai benar wujud keegoan, sombong dan keras hati saya ini…semoga Allah lah yg meruntuh dan meleburkannya.

Salam Aidilfitri semoga Allah menerima segala amal ibadat sepanjang Ramadhan yang lalu. Penerimaan Allah inilah yang memberi makna pada sambutan hari raya kita. Kita keluar dari Ramadhan dengan pengampunan dari dosa-dosa dan Allah kekalkan kita sebagai hamba yg terus istiqamah dalam melaksanakan ketaatan kepadaNya. Anas Bin malik mengatakan bahawa  maksud hari raya yang hakiki bagi mukmin ialah hari yang dilaluinya pada hari itu tanpa ada dosa yg dilakukan. Dinyatakan lagi antara lain makna hari raya yg hakiki ialah hari ketika dicabut nyawa seseorang itu sedang ia dlm keadaan beriman kepada Allah. Hari raya hakiki bagi kita juga ialah hari di mana kita berjaya melintasi titian mustaqim dan hari dimana kita dipimpin memasuki syurga Allah yg kita akan abadi di dalamnya. Dan sememangnyalah kemuncak kepada raya yang hakiki ialah hari ketika kita dapat bertemu dengan Allah swt.

Sebagaimana Ramadhan yg pergi, 1 Syawal juga telah berlalu dan  hari raya mengengsot meninggalkan kita lagi. Biarkan masa berjalan mengikut fitrahnya. Sedang kita teruskanlah hidup mencari pahala dan redha Allah. Marilah kita suburkan hari-hari kita dengan kebajikan,  dan kita tidak merasa lelah atau berhenti berusaha serta beramal kepada Allah. Kita lakukannya untuk hari raya kita …. untuk saatnya kita benar-benar menikmati ‘raya yang hakiki’ yg Allah sediakan utk kita nanti. InsyaAllah

Aidilfitri yang semakin menampakkan seri….

Ramadhan tinggal beberapa hari yang masih bersisa untuk kita tempuhi. kalau diizinkan umur dan kesempatan, minggu hadapan kita akan menyambut hari kemenangan yang mungkin jatuh pada hari selasa atau hari rabu. Sayunya kerana sinar Ramadhan semakin berlalu pergi demi mengizinkan kilauan  syawal menjengahkan serinya yg tersendiri …… itulah fitrah alam yang ditadbir Ilahi….dihamparkanNya utk hamba-hamba yang dikasihi.

Di hari-hari terakhir Ramadhan ini saya kira ramai yang makin sibuk dengan urusan persiapan menyambut Aidilfitri . Seboleh-bolehnya lebaran ini ingin disambut dalam suasana yang paling ceria. Memang beruntung bagi sesiapa yang memiliki kekayaan harta benda, kerana segala keperluan untuk memeriahkan sambutan hari raya pasti bisa direncana, disusun, dan dipenuhi agar menepati citarasa dan selera. Bermula dari urusan mengecat rumah dan bertukar langsir yang pelbagai warna, membeli pakaian yang cantik dan bergaya sehinggalah kepada urusan juadah pembuka selera iaitu aneka kek dan biskut  raya pelbagai nama. Semuanya diusahakan untuk menyambut hari raya yang bakal menampakkan seri cahayanya tak lama lagi. Namun rasanya lebih beruntung bagi sesiapa yang memiliki kekayaan jiwa seorang hamba. sudah pasti baki ramadhan yang masih bersisa beberapa hari ini disibukkan dengan menggandakan lagi aktiviti taqarrub kepada Ilahi ….

Aidilfitri yang bakal menjelma nanti menandakan berakhirnya Ramadhan yang sangat mulia ini. Persiapan diri adalah perlu ada untuk melangkah keluar dari Ramadhan. Penting untuk kita usahakan diri agar kita bukan sekadar menjadi insan Ramadhani….tapi kita adalah insan Rabbani yg akan sentiasa mempetingkatkan kualiti diri sebagai hamba di sisi Ilahi … apa saja yang baik yang telah  kita lalui dan lakukan sepanjang di madrasah Ramadhan ini  harap dapat diteruskan utk hari-hari yang seterusnya…InsyaAllah.

Marilah kita sama-sama memastikan sambutan syawal kita  berbeza dari org biasa …. sebagai insan yang Allah pilih mempunyai ilmu dan kefahaman agama, maka kita hendaklah memahami syawal ini dari sudut saranan dan amalan agama kita. Kesampingkan adat-adat  yang bertentangan yang boleh meletakkan kita dalam situasi salah di sisi agama. Tingkatkan  ilmu dan pengetahuan untuk menghasilkan amal ibadat yang sohih dan sejahtera. Perbanyakkan takbir, tahmid dan istighfar di malam raya. Hidupkan malam raya dengan qiamullai dan merayu pengampunan dari Allah. Dalam keghairahan kita mempersiapkan diri menghadapi hari raya yakni hari kemenangan bagi kita semua,  jangan sampai  kita lupa pada apa yang dilakukan oleh baginda Rasul dan para sahabat ketika di penghujung Ramadhan, di malam hari raya, dan ketika sambutan hari raya ….harap kita semua dapat menyoroti dan menghayati amalan baginda bukan saja dalam menjalani Ramadhan malah ketika menghadapi syawal juga …. InsyaAllah.

Mudah-mudahan  syawal ini penuh keberkatan dan kebaikan untuk kita semua

Salam Aidilfitri dan salam kemaafan dari saya untuk semua yang mungkin singgah dan membaca.