amal itu dengan ilmu

Last weekend kami sekeluarga ke KL menemani  suami saya menyelesaikan satu urusan. Sempat solat jumaat di Masjid Negara  dan makan tengahari di gerai berdekatan. Seingat saya ini pengalaman kali kedua saya solat jumaat di KL, kali pertama ketika saya bersama rombongan sekolah melawat  UIA.

Ketika berjalan keluar dari masjid saya menyapa serombongan makcik-makcik bertudung merah yang singgah untuk solat zohor. Dari perjumpaan  UMNO kata mereka.  Beberapa orang menghampiri saya utk bertanya  arah ruang solat untuk wanita. Lucunya, rata-rata terkejut bila mengetahui  saya dah solat jumaat tadi. “ eh pompuan boleh ke sembahyang  jumaat? Sembahyang jumaat tu kan untuk orang lelaki je. Kitaorang memang  tunggu dalam bas sampai org lelaki selesai sembahyang baru nk masuk sembahyang zohor” kata salah seorang dr mereka. “Wanita boleh je solat jumaat, Cuma tidak diwajibkan.  Lagipun saya dah singgah dan berehat  di masjid ni dari jam 12.30 lagi, tu yang sembahyang jumaat terus” saya memberikan jawapan. Ada yg masih ragu-ragu dan tunjuk muka ‘pelik’ dgn jawapan saya. Tak kisah la .. yg penting saya beramal dgn apa yg saya tahu.

Tidak ramai wanita tempatan solat jumaat, sekitar tiga empat orang aja. Selebihnya foreigners. Kami solat di ruang atas dlm hanya  4 saf yg pendek sahaja.  Seusai solat dua anak perempuan saya  tidak putus-putus mengajukan soalan berkaitan  jemaah wanita  yg  dilihat mereka bersolat tanpa stokin. Ini terasa pelik kerana mereka belajar bahawa kaki adalah aurat yg mesti ditutup ketika solat.  Saya pulak  tidaklah terkejut  dan dah biasa melihat wanita solat dgn ‘ kaki  nampak terjulur’ keluar dari jubah mereka. Pemandangan ini biasa ketika di Mekah.

“ mungkin itu cara depa  kak, dah depa belajar hukum solat camtu ” .. saya menjawab pertanyaan anak saya dalam keadaan sebenarnya  hati saya juga pelik dgn suasana ini. Pernah seorang ustaz menjelaskan kepada saya  “Aurat perempuan ni sama je kat mana-mana … perkara ni Allah sebut dgn jelas dlm al quran, pengecualian hanya  muka dan telapak  tangan. Syarat pakaian solat yang diwajibkan bagi seorang wanita ialah kain tudung yang menutupi dari kepala sehingga ke bawah kawasan dada dan pakaian yang dapat menutupi sehingga ke kedua tapak kakinya. Longgar dan tidak nipis.”

 “ kalau  nampak kaki,  solat tu sah ke tak ummi?” si kakak belum berhenti bertanya. “ sudah tentu bagi kita ini tidak sah” Saya jawab dgn harapan syirah lebih faham. “ kalau macam tu, maknanya, depa solat ni tak pernah sah la ummi, maknanya  selama ni tak dapat pahala la ” Insyirah masih belum berpuas hati.

Mmmm, mencabar juga bile berhadapan dgn anak2 yg banyak tanya ni. “ kak, kita beramal dgn apa yg kita belajar. Iaitu amal itu dengan ilmu. Dalam bab amalan solat , soal pahala bukan urusan kita, hanya Allah yg layak memberi  pahala pada sesiapa yg dikehendakiNya. Laksanakan ibadat sepadan dgn ilmu yg kita ada. Ummi pun tak berani nk hukum  solat org lain tu sah atau tidak, ibadat depa dapat pahala atau tidak, kerana mungkin di negara mereka sebegitu lah ilmu solat yg telah di terima maka mereka mengamalkannya. Allah lebih tahu dan berhak ke atas solat mereka.”

 Insyirah mengangguk juga akhirnya. Saya sedikit lega dapat memahamkannya tapi kemudian nya terkejut bila Raihanah pula membuka isu lain. “Tadi hanah nampak ada ada dua org solat kat belakang menghadap ke dinding. Depa tak menghadap ke depan macam orang lain” dari airmuka saya tahu dia bukan bergurau dgn saya. “ ye ke dik, silap tengok kot” saya inginkan kepastian. “ betol ummi, depa solat macam ni “ hanah menunjukkan arah menghadap  solat dua wanita yang dimaksudkannya.  “astaghfirullah” saya terkedu tanpa penjelasan. Teringat bahawa saya pernah mendengar ada golongan  muslim yg menolak bersolat itu mesti menghadap kpd kaabah, kerana berhujah ia seperti menyembah batu atau berhala. “samada mereka ini mungkin jahil atau sesat ” kata hati saya.

Satu ketika saya pernah berbual-bual dengan seorang makcik cleaner di sebuah plaza membeli belah ketika sedang berehat dan menikmati bekalan makan tengaharinya. Bila  azan berkumandang saya mengajaknya ke surau di tingkat dua utk solat zohor. “ mak cik tak sempat solat , masa ni surau selalu penuh. Pukul dua dah nak sambung kerja semula”. Saya rasa hairan dan bertanya “ nanti solat zohornya pukul berapa?” Makcik cleaner itu menjawab bahawa dia akan qada solat zohor selepas solat asar kat rumah. “ setakat ni makcik tak pernah lah tinggal solat zohor tu, letih macamana pun mesti qada lepas sembahyang asar”. Katanya penuh yakin. Saya rasa kesian dgn pemahamannya berkaitan qada solat ni dan cuba memberi penjelasan tentang bila serta bagaimana keadaan  yg diizinkan untuk qada. Mungkin dah terbiasa dgn amalannya selama ini, dia nampak tak selesa dan menutup penjelasan saya dengan kata2 “ susah la kerja macam mkcik ni, waktu rehat pendek. Nak makan lagi.”  Hmmm, hendak seribu daya, tapi kalau dah  tak hendak banyaklah alasannya pula. Bila ilmu tidak dicari dan diperolehi selayaknya, amalan jadi songsanglah sudahnya. Semoga makcik tu beroleh ilmu dan petunjuk satu hari nanti, dan dia boleh kembali benar dalam amalannya.

Saya terkenang pada satu kisah lucu ketika di Tanah suci. Pada satu dinihari sekitar jam 3.00 pagi Saya bersama suami melakukan ibadat tawaf. Tadi siangnya suami bercerita tentang rezekinya mencium hajarul aswad. “ waktu awal pagi jemaah tidak ramai , kalau nk mengucup  hajarul aswad boleh cuba waktu tu” saya rasa teruja. Selesai tujuh pusingan kami tak langsung keluar bahkan meneruskan mengelilingi kaabah dgn jemaah lain. Kami semakin mendekat sehingga sampai ke makam Ibrahim. Seterusnya saya dan suami berjaya memasuki Hijr ismail. Saya bersolat sunat dlm posisi duduk sementara suami membentengi saya. Kemudian kami meneruskan pusingan hingga saya sangat hampir dengan kaabah. Kaki sudah bisa meyentuh bebendul yg mengelilingi kaabah. Di penjuru rukun yamani  di depan saya penuh dgn jemaah wanita yg saya tidak pasti dari negara mana, jadi suami melepaskan tangan saya utk bersama kelompok mereka. Saya bersesak-sesak dlm kelompok tersebut dan melihat mereka berebut-rebut mencium dinding rukun yamani. Ketika muka saya telah sampai ke bulatan dinding rukun yamani,  saya juga turut menciumnya seperti mereka. Kemudiannya saya keluar dari himpitan tersebut kerana merasa sukar dan mustahil utk meneruskan usaha mendekati hajarul aswad…jemaah lelaki terlalu ramai di situ.

Bila bercerita kepada suami, saya diajukan soalan “ pasaipa pi cium rukun yamani, belajaq kat mana?” Suami memandang saya “ hah, tak boleh ke? abis tu depa pakat cium”  saya rasa terkejut. “ ummi, kat mekah ni kita buat amalan apa yg kita belajar dan tahu, jangan ikut-ikut orang” kemudian suami menerangkan di rukun yamani sunnahnya hanyalah menyentuh dgn tangan bukan mencium. Saya beristighfar atas kejahilan sendiri, ia kejadian yg menuntut saya lebih berhati-hati.

ilmu itu laksana pemimpin , dan amal adalah pengikutnya. Dengan ilmu ia menjadi  petunjuk dan pemberi arah amal yang akan dilakukan. Tentulah tidak sama kualiti ibadat org yg berilmu dan ibadat orang yang jahil.Islam sangat menitik beratkan ilmu dan memuliakan orang yg berilmu. Perlengkapkan diri dgn ilmu  dan berusaha menambahnya dari masa ke semasa.

Imam Abdul Wahab al-Sya’rani menambah: Satu ketika daku mendengar guruku Sayyidi Ali al-Khawwas r.’a berkata: Tidak terdapat mana-mana orang berilmu melainkan dia beramal dengan ilmunya selama mana berakal walaupun daripada satu sudut ibadat sahaja. Ini kerana jika dia melaksanakan perintah-perintah syarak dan menjauhi larangan, nescaya dia beramal dengan ilmunya secara yakin jika Allah mengurniakan keikhlasan kepadanya. Sekiranya dia tidak beramal seperti yang telah dinyatakan, lalu dia menyedari dengan ilmunya bahawa dia melanggar perintah Allah lantas bertaubat dan menyesal, nescaya dia telah beramal dengan ilmunya juga. Kerana jika dia tidak berilmu nescaya dia tidak akan menyedari bahawa meninggalkan beramal dengan ilmu ialah maksiat. Oleh itu, ilmu memberi kemanfaatan dalam setiap keadaan. Semua nas yang menyatakan hukuman yang berat bagi mereka yang tidak mengamalkan ilmu disandarkan kepada mereka yang tidak bertaubat.”