Sunnah Di AidilFitri

Sempena Aidil Fitri ini marilah kita melihat kembali beberapa petunjuk Seerah mengenainya. Setelah Nabi saw berhijrah ke Madinah, Baginda saw mendapati penduduknya menjadikan 2 hari tertentu sebagai hari kebesaran, lalu bertanya, “Hari apa ini?”. Mereka menjawab, “Kami bergembira di dalamnya sejak zaman Jahiliyah lagi”. Lalu Nabi saw bersabda, “Sesungguhnya Allah telah mengantikan 2 hari tersebut bagi kamu dengan 2 hari yang lebih baik iaitu Hari (Raya Aidil) Adha dan Hari (Raya Aidil) Fitri” (riwayat Abu Daud).

Di Hari Raya, Nabi saw pergi ke tempat solat melalui satu jalan dan kembali dengan melalui jalan yang lain (riwayat Abu Daud dari Ibnu Umar). Berkata Ummu Atiyah ra bermaksud, “Rasulullah saw mengarahkan kami (para wanita) agar mengajak keluar (bersama ke tempat solat Raya) para wanita yang haid agar menyaksikan kebaikan (pada hari tersebut) dan doa orang-orang Islam”“wanita yang haid berada di tempat yang berasingan dari tempat solat” (riwayat Abu Daud). Ada wanita yang mengadu tidak memiliki pakaian yang sempurna, lalu Ummu Atiyah meminta dikalangan adik beradiknya agar membantu meminjamkan pakaian. Semua wanita diminta keluar tanpa alasan. Oleh itu membancuh sirap, memasang langsir, menyusun juadah dsb di pagi Raya janganlah sehingga seseorang wanita itu tidak ke tempat solat Hari Raya dan menikmati kelebihan-kelebihannya.

Solat Hari Raya Rasulullah saw dan para Sahabat ra adalah merupakan perhimpunan agung tahunan yang mengumpulkan semua penduduk termasuk semua wanita dan kanak-kanak tanpa kecuali. Ia hari kegembiraan bersama. Wanita haid juga diminta ke tempat perhimpunan. Jika saiz masjid terhad, maka dibuat di padang yang lapang, seperti di zaman Nabi saw. Dengan ini kesemua mereka dapat menyaksikan kebesaran Dakwah ini dan kebaikan untuk penganutnya. Doa diaminkan bersama oleh semua. Abu Hurairah ra ada meriwayatkan bahawa pernah berlaku hujan, maka Nabi saw dan para Sahabat ra bersolat Raya di dalam masjid (riwayat Abu Daud).

Nabi saw bersolat Raya tanpa azan, qamat, sunnah qabliah maupun sunnah bakdiah. Baginda saw bertakbir sebanyak 7 kali di rakaat pertama dan 5 kali di rakaat kedua dalam solat Aidil Fitri. Abu Waqid Al-Laithy ra berkata, “Nabi saw membaca  Qaaf Wal Quranum Majid dan Iqtarabatis sa’ah wan Syaqqal Qamar“.

Oleh kerana ia suatu perhimpunan tahunan terbesar, suara Nabi saw terhad, maka selepas berkhutbah Nabi saw mengajak Bilal bin Rabah pergi ketempat kaum Muslimat dan memberikan kata-kata nasihat kepada mereka pula. Diakhirnya Nabi saw mengajak kaum wanita bersedekah sempena Hari Raya, lalu mereka berlumba-lumba bersedekah dengan wang dan perhiasan yang dipakai dengan diletakkan di kain yang dihampar oleh Bilal. Kemudian sedeqah tersebut dibahagikan kepada faqir miskin di situ. Alangkah gembiranya mereka dapat bersedeqah di hadapan Rasulullah di hari Raya. Alangkah gembiranya faqir miskin di situ yang menerimanya untuk dibawa pulang seperti kanak-kanak Malaysia mendapat Duit Raya.

Fenomena positif Hari Raya di Malaysia diantaranya ialah ziarah menziarahi dan maaf bermaafan sesama sanak saudara dan masyarakat. Anak-anak pulang kekampung menziarahi ibu bapa dan saudara mara mengeratkan lagi Silaturahim. Menziarahi tanah perkuburan, asalkan dengan cara yang makthur (adab yag ditunjukkan oleh Rasulullah saw) mengingatkan kita kefanaan dunia dan kepalsuan godaannya. Menghiasi rumah dengan sederhana, membuat rumah terbuka, mencari dan menghubungi waris, sahabat handai dan teman lama dan apa sahaja yang boleh mengeratkan Ukhuwwah Islamiah (kasih sayang sesama Islam) ketika dan menjelang Hari Raya adalah sangat dialukan. Bagi pelajar dan mereka yang berada di luar negara, menziarahi dan berkenalan dengan saudara seIslam dari bangsa-bangsa yang lain seperti Arab, Indo-Paki, Bosnia dsb merupakan salah satu hikmah Hari Raya yang utama.

Fenomena negatif di Malaysia yang boleh diperbaiki lagi termasuk rancangan tv, samada nyanyian artis, tarian atau drama oleh mereka yang mendedahkan aurat, bergaul bebas apatah lagi ditontoni ramai, pembaziran dalam membuat persiapan terlalu berlebihan dalam membakar bunga api, membeli pakaian, perhiasan dsb dengan mencurahkan wang bukan kepada umat Islam. Syawal datang selepas Ramadan. Matlamat Ramadan adalah taqwa (surah Al-Baqarah). Adapun menutup tirai Ramadan dengan Syawal bersama-sama bentuk-bentuk yang bertentangan dengan taqwa, jelas mensia-siakan hikmah puasa, tarawih dan tilawah sepanjang Ramadan. Nabi saw bersabda bermaksud, “Jibril datang kepada aku dan berkata (berdoa), jauhlah (dari rahmat Allah) orang yang sempat beramal di bulan Ramadan, tetapi dosanya tidak diampunkan. Aku (Nabi saw) berkata Ameen (perkenankanlah)” (Hadis).

Semoga Allah swt menanam ketaqwaan dan kegembiraan kepada kita dan umat Islam sempena Aidil Fitri ini dan menunjukkan jalan PetunjukNya. Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

~ Ustaz Halim.~

Aidilfitri yang semakin menampakkan seri….

Ramadhan tinggal beberapa hari yang masih bersisa untuk kita tempuhi. kalau diizinkan umur dan kesempatan, minggu hadapan kita akan menyambut hari kemenangan yang mungkin jatuh pada hari selasa atau hari rabu. Sayunya kerana sinar Ramadhan semakin berlalu pergi demi mengizinkan kilauan  syawal menjengahkan serinya yg tersendiri …… itulah fitrah alam yang ditadbir Ilahi….dihamparkanNya utk hamba-hamba yang dikasihi.

Di hari-hari terakhir Ramadhan ini saya kira ramai yang makin sibuk dengan urusan persiapan menyambut Aidilfitri . Seboleh-bolehnya lebaran ini ingin disambut dalam suasana yang paling ceria. Memang beruntung bagi sesiapa yang memiliki kekayaan harta benda, kerana segala keperluan untuk memeriahkan sambutan hari raya pasti bisa direncana, disusun, dan dipenuhi agar menepati citarasa dan selera. Bermula dari urusan mengecat rumah dan bertukar langsir yang pelbagai warna, membeli pakaian yang cantik dan bergaya sehinggalah kepada urusan juadah pembuka selera iaitu aneka kek dan biskut  raya pelbagai nama. Semuanya diusahakan untuk menyambut hari raya yang bakal menampakkan seri cahayanya tak lama lagi. Namun rasanya lebih beruntung bagi sesiapa yang memiliki kekayaan jiwa seorang hamba. sudah pasti baki ramadhan yang masih bersisa beberapa hari ini disibukkan dengan menggandakan lagi aktiviti taqarrub kepada Ilahi ….

Aidilfitri yang bakal menjelma nanti menandakan berakhirnya Ramadhan yang sangat mulia ini. Persiapan diri adalah perlu ada untuk melangkah keluar dari Ramadhan. Penting untuk kita usahakan diri agar kita bukan sekadar menjadi insan Ramadhani….tapi kita adalah insan Rabbani yg akan sentiasa mempetingkatkan kualiti diri sebagai hamba di sisi Ilahi … apa saja yang baik yang telah  kita lalui dan lakukan sepanjang di madrasah Ramadhan ini  harap dapat diteruskan utk hari-hari yang seterusnya…InsyaAllah.

Marilah kita sama-sama memastikan sambutan syawal kita  berbeza dari org biasa …. sebagai insan yang Allah pilih mempunyai ilmu dan kefahaman agama, maka kita hendaklah memahami syawal ini dari sudut saranan dan amalan agama kita. Kesampingkan adat-adat  yang bertentangan yang boleh meletakkan kita dalam situasi salah di sisi agama. Tingkatkan  ilmu dan pengetahuan untuk menghasilkan amal ibadat yang sohih dan sejahtera. Perbanyakkan takbir, tahmid dan istighfar di malam raya. Hidupkan malam raya dengan qiamullai dan merayu pengampunan dari Allah. Dalam keghairahan kita mempersiapkan diri menghadapi hari raya yakni hari kemenangan bagi kita semua,  jangan sampai  kita lupa pada apa yang dilakukan oleh baginda Rasul dan para sahabat ketika di penghujung Ramadhan, di malam hari raya, dan ketika sambutan hari raya ….harap kita semua dapat menyoroti dan menghayati amalan baginda bukan saja dalam menjalani Ramadhan malah ketika menghadapi syawal juga …. InsyaAllah.

Mudah-mudahan  syawal ini penuh keberkatan dan kebaikan untuk kita semua

Salam Aidilfitri dan salam kemaafan dari saya untuk semua yang mungkin singgah dan membaca.

Ramadhan…..

Daun jingga berguguran itu,

Adalah saksi betapa penjiwa soleh,

Merungkai segala kehendak ammarah,

Bergelut.. meronta… mendidik jiwa,

Terluluh lantak  nafsu pendosa,

Suci umpama seri anak kecil,

Yang lahir dari rahim si ibu.

Hening syahdu subuh…

Menyinsinglah fajar Redha…

Terhiaslah hari seawal pagi,

Dengan permata zikruLLah,

Serta bait-bait indah KalamuLLah.

Angin dingin beku..sejuk menerjah,

Adalah bukti betapa sang mukhlis,

Mengatur langkah-langkah zuhud,

Mundar-mandir hari ke hari,

Pergi dan pulang dengan tekad,

Menyahut seru Illahi.

Sepi malam gelap..pekat gelita itu,

Menyimpan erat satu rahsia,

Berdamping satu dengan satu…berlutut, tangan menadah..

Khusyu’ Tawaddu’,

Tangis hamba memohon ampunan,

Dari Yang Esa.

Wahai hati…..

Berjanjilah dengan Ramadhan,

Segala rahmah & maghfirah yang terperah dari-mu,

Bukan kerja sia-sia, bukan jua hiasan sementara…

Biar tersemai, kukuh..ampuh di lubuk sanubari,

Buat menempuh hari-hari mendatang.

Andai jiwa tidak lagi ketemu-mu…

Salam rindu teramat aku buat-mu….

Semoga lelah ku di malam-malam-mu,

Bisa sahaja buat aku tersenyum bila bersua tuhan…

Rabbul Alamin….

~ anas50210 ~


puisi …. hatiku disentuh lagi …..

Ahlan Wasahlan ya Ramadhan …..

~ catatanku 1 ramadhan 1429H ~

Terima Kasih ya Tuhan…kerana mengabulkan doa dan mempertemukan lagi diriku dengan Ramadhan ~~~~~~~

Terasa nikmat…pagi pertama menjejak kaki di madrasah Ramadhan. Sahur yang serba sederhana dan utk kesekian kalinya saya tempuhi semula perjuangan ‘waktu sahur’ mengejutkan anak-anak ketika lena mereka begitu asyik dan nyenyak sekali. Saya kira ini kesukaran yang paling mencabar kesabaran. Apatah lagi menggoda mereka menjamah makanan bukanlah satu tugas yang senang. Kuasa ‘pujuk rayu ‘ saya mesti tip top dan kesabaran jua mesti tahap maksimun…kalau tidak, saya akan gagal melatih mereka dan mereka juga gagal melatih diri sendiri.

Sekalipun bukan kewajipan bagi anak-anak berpuasa…tapi alhamdulillah, mereka anak-anak kecil yang cukup teruja utk turut berlapar dan dahaga setiapkali ramadhan tiba. Tinggal lagi saya mesti tabah ‘memotivasikan mereka’.

Banyak tazkirah tentang ramadhan yang saya jumpa….di mana-mana sahaja, dalam bentuk lisan, bentuk  tulisan maupun visual di monitor tv dan komputer. Carilah saja…kita pasti mudah mendapatkannya.

ramadhan yang ditunggu…bahkan sangat dirindu…

Berkali-kali kita berpeluang memasuki Ramadhan…. apakah mungkin Ramadhan kali ini adalah yang paling baik mampu kita jalani ??mungkin tiada ramadhan lagi utk kita selepas ini Huh

Paling menyentuh dan menggerunkan hati  bila membaca sepotong hadis dari baginda Rasulullah saw

” celaka bagi seseorang, apabila masuk ramadhan lalu ramadhan meninggalkan dia dan Allah tidak mengampunkan dosanya “...

masyaAllah, bulan yang Allah janjikan rahmat yang banyak dan pengampunan dari segala kesalahan. Malang jika  berterusan tidak menginsafi dosa-dosa dan tidak pula mendapat ampun dari Allah…..sangat rugi kalau gagal memahami anugerah ‘ramadhan’ ini.

Salam Ramadhan utk semua … semoga mendapat pimpinan Allah.