Kenapa Anda Berdakwah

Satu persoalan yang ‘muncul’ oleh tetamu blog saya di dalam komennya tgh hari tadi membuatkan saya ‘terhenyak’ dan serius berfikir. Saya berkira-kira adakah pemahaman saya ttg dakwah sebelum ini silap, atau ada maksud lain yg lebih dalam lagi tentang apakah sebenarnya yg dikatakan dakwah. Didorong keinginan untuk memastikan apa yg difahami selama ini tidaklah silap, ia telah membawa saya kepada tulisan Abusaif ini. Meminati kebanyakan tulisan beliau terutama gaya bahasa dan pendekatan ilmunya yg memenuhi kehendak dakwah kontemporari, saya kira jumpaan saya ini agak baik juga. Ia mungkin tidaklah secara terperinci membawa saya kepada maksud yg sepatutnya sampai kpd saya, namun ia melegakan dan mendatangkan sedikit keyakinan bahawa apa yg saya fahami tidaklah bersalahan dgn apa yg Abusaif fahami…maka saya jadikan ianya entri utk kali ini.

Tulisan sekitar tahun 2007, cuma saya baru direzekikan membacanya hari ini. Ia adalah satu tulisan respon kepada pertanyaan warga kampus tentang dakwah, tentang jamaah, dan tentang kaedah memilih badan yang ingin disertai.

maka tulisannya dimulakan dengan membuka persoalan MENGAPA MAHU BERDAKWAH? Soalan ini dijawab dahulu sebelum memikir kpd kepada soal organisasi dan jamaah.

Abusaif menulis,
ada orang mengambil keputusan untuk berdakwah, kerana persekitarannya penuh kerosakan dan maksiat. Pengikut aliran Nafsu Nafsi semakin tinggi, mengatasi pendukung Salafi Khalafi. Ketika segelintir rancak berbincang tentang kaedah melahirkan da’ie, siswi melahirkan anak luar nikah lebih meninggi. Sesuatu mesti dilakukan, lantas keputusan diambil, saya mesti berdakwah.

Salahkah pemikiran seperti ini? Tentu tidak salah, tetapi ada kekurangannya di situ…

Ada segelintir yang mengambil keputusan untuk berdakwah kerana hasil ilmu dan pengetahuannya, dia mendapat tahu bahawa dakwah itu wajib. Kewajipan dakwah itu sangat rasional. Fathi Yakan di dalam bukunya Apa Erti Saya Menganut Islam menegaskan tiga sudut yang membawa kepada kewajipan dakwah. Himpunan ayat al-Quran dan al-Hadith tentang kewajipan dakwah, sudah pun dihadam di dalam pelbagai siri usrah dan seminar. Dakwah itu wajib, maka ia mesti dilaksanakan.

Apakah salah berpemikiran sebegini? Tentu sekali pemikiran ini adalah pemikiran yang lurus dan benar tentang dakwah. Tetapi di sana ada sesuatu yang kurang. Kurang itu mungkin tidak muncul semasa kita di kampus. Ia datang kemudian…

Sama ada kita mengambil keputusan untuk berdakwah kerana persekitaran, atau kerana sedar akan kewajipan dakwah, kedua-dua motif dakwah ini letaknya di luar. Ia datang dari luar ke dalam diri. Apabila ia datang dari luar ke dalam, kita bergerak di medan dakwah hasil dorongan luar diri.

“Apa nak jadi dengan masyarakat di kampus kita, kalau kita tidak berdakwah”, pesan seorang naqib kepada anak buahnya.

“Takkanlah aku nak malas-malas dan mengabaikan dakwah. Ini bukan cakap naqib aku, tapi Allah yang cakap, Nabi yang cakap”, monolog seorang siswa yang baru menerima panggilan telefon memanggilnya hadir ke mesyuarat Program Minggu Dakwah tidak lama lagi.

Ya, mata melihat kemungkaran. Otak tunduk kepada rasional dalil wajib dakwah. Tetapi sudahkah HATI merasainya?

TAHU DAN MAHU

Jika kita berdakwah kerana keyakinan akal terhadap hujah dan dalil, akal kita menawarkan TAHU. Apabila kita duduk dalam ‘dunia akal ‘di kampus, ia sudah cukup untuk membantu diri kita terjun ke medan dakwah. Dunia realiti bukan dunia akal. Ia bukan dunia tahu, dunia kita adalah dunia MAHU.

Sudah berkali-kali saya cuba buktikan, bahawa manusia tidak bertindak hanya berasaskan apa yang dirinya TAHU. Manusia bertindak berasaskan apa yang dia MAHU, dan mahu itu adalah soal hati.

Bagaimanakah apa yang kita TAHU tentang dakwah itu boleh dikesan telah terserap ke dalam hati menjadi MAHU? Jawapannya tidak sukar, pada jalan dakwah itu kita mendapat KEPUASAN hidup.

Bekas peserta kursus saya (rujuk artikel Apa Tajuk Bab 1 Dakwah Anda), mengatakan bahawa beliau bersyukur dapat hadir ke kursus tersebut dan merasa rugi di pihak kawan-kawannya yang tidak hadir. Dalam keadaan baju masih dedah sana sini, dan lidah masih bertindik, beliau berkata, “saya mahu sampaikan apa yang saya dapat dalam kursus ini kepada kawan-kawan saya!”

Tidakkah beliau sudah menerima konsep dakwah? Hatinya sudah mahu, sebelum akalnya tahu…

ANALOGI 3 PEKERJA

Analogikan sahaja kepada 3 pekerja. Pekerja pertama merampus-rampus dan merungut semasa mengecat dinding kerana tertekan dengan kerjanya itu. Pekerja kedua lebih tenang dan gembira mengecat dinding kerana dia tahu, kerjanya itulah nanti yang bakal menjadi gaji. Bekerja untuk menerima imbuhan. Manakala pekerja ketiga sangat gembira dan mendapat kepuasan kerja, sebelum gaji diterima, kerana padanya perbuatan mengecat dinding bukan sekadar sebahagian kerja menyiapkan bangunan, tetapi beliau menganggap dirinya sebagai sebahagian dari kebahagiaan keluarga yang bakal duduk di rumah itu. Bukan hanya cat, tetapi yang disalut pada rumah itu adalah sebuah harapan agar ahli rumah itu nanti bahagia.

Anda pendakwah kategori mana?

Semasa berdepan dengan mesyuarat dan tekanan kerja dakwah, adakah anda merampus dan merungut-rungut? Bandingkan sahaja diri seperti ini dengan pengecat pertama. Buat sesuatu kerana terpaksa, tiada matlamat, dan penuh rungutan.

Atau anda gembira dengan dakwah di kampus? Gembira kerana penglibatan anda bakal dikira di dalam jam kredit, dan boleh dimasukkan di dalam resume? Setiap kali di awal program, nama anda akan dialu-alukan oleh penceramah? Dapat berdamping dengan orang besar-besar yang datang? Dapat kawan?

Macam-macam kita boleh dapat melalui kerja dakwah. Hati gembira apabila berdakwah untuk MENERIMA.

Dakwah kategori ini, tarafnya hanya sekadar ko kurikulum. Aktiviti persatuan. Makna dakwah yang dilakukannya kepada sebuah kehidupan, tidak begitu difikirkan. Semasa miskin jam kredit dan semasa baru berkenalan dengan ‘pengaruh’, mungkin dorongan berdakwah untuk menerima sudah cukup kuat untuk mengajak kita turun ke medan dakwah.

Tetapi jika anda berdakwah di kategori ketiga, anda berdakwah untuk mencari makna hidup. Dakwah bukan semata-mata untuk menerima pengiktirafan kampus, tetapi dakwah anda adalah untuk memberikan makna kepada diri dan rakan. Setelah diri merasa begitu bertuah terpilih menerima sentuhan Iman, terasa dalam diri untuk berkongsi tuah itu dengan saudara yang lain.

Dakwah anda bukan hanya untuk kejayaan diri, tetapi juga untuk kejayaan orang lain. Bukan hanya berjaya mengubah cara fikir, cara pakai dan cara cakap, tetapi berjaya mengubah erti hidup dan bertemu jalan menuju Syurga!

Akhirnya pendakwah ketiga, berdakwah kerana pada dakwah itulah dia bertemu kepuasan hidup. Pada dakwah itulah dia memberi makna kepada hidup. Keinginan untuk berdakwah, adalah kerana kemanisan iman dan penghargaan yang tinggi terhadap hidayah Tuhan, yang melimpah ruah di dalam hati, sebelum datang soal wajib dakwah dan panggilan dakwah terhadap kerosakan bi’ah (persekitaran).

Dakwah ini adalah dakwah dalam ke luar. Bukan lagi dakwah luar ke dalam. Dakwah ini adalah dakwah untuk memberi, bukan sekadar menghitung terima.

Kenapa soal ini penting?

DUNIA KERJAYA DAN RUMAHTANGGA

Apabila adik-adik di kampus terjun ke medan kerjaya dan berumahtangga, mereka yang dahulunya aktif berdakwah akan kecundang satu demi satu.
Mereka kecundang bukan kerana fikiran telah berubah.

Dulu saya yakin dakwah itu wajib, tetapi kini di alam kerja dan rumahtangga, saya berjumpa dengan wajib yang lebih besar dan tinggi. Tidak ramai yang ‘gugur’ kerana berfikir begini.

Mereka kecundang bukan kerana suasana persekitaran sudah kekurangan maksiat dan sebab dakwah. Malah maksiat makin banyak, makin menggila. Tetapi lagi banyak maksiat bertebaran, makin kurang pendakwah yang bertahan.

Gugurnya da’ie dari jalan dakwah bukan kerana itu semua.

Gugur itu hanya kerana 5 huruf yang sakti.

S.I.B.U.K.

Ya, jika sibuk dijadikan alasan, tidak akan ada sesiapa pun yang berani membantah. Jika dahulu kita sendiri, kini sudah bersuami atau beristeri. Anak-anak bakal menyusul. Dulu satu ibu dan satu bapa, satu keluarga dan satu saudara mara. Kini semua berganda dua. Hujung minggu hanya sehari atau dua.

Tanpa disedari, sudah setahun tidak berusrah. Sudah setahun tidak berceramah, sudah setahun bercuti dari dakwah. Salahkah bercuti dari dakwah? Akal mungkin berkata ya, tetapi hati sedap menikmatinya.

Jika dahulu, makna hidup dicari pada kawan yang mad’u dan diri yang da’ie, tetapi kini makna hidup beralih pada kerjaya, pada rumah tangga, pada semua selain dakwah.

BAGAIMANA MENGATASINYA?

Bagaimanakah kita boleh selamat dan terkecuali dari fenomena warisan ini?

Saya( Abusaif) sendiri masih bertarung, selagi nyawa dikandung tubuh.

“Tetapi saya percaya, saya berdakwah bukan untuk menerima, tetapi kerana mahu memberi. Dan pada memberi itu, saya meng’erti’kan hidup, lantas terasa berbaloi mengorbankan Sabtu dan Ahad demi Sabtu dan Ahad, meninggalkan anak sendiri untuk bertemu anak orang lain, demi erti hidup yang pada MEMBERI.

Kerana itulah saya masih terus bertahan, walaupun dalam seribu kepayahan.”

“Kenapa mahu berdakwah?”, tanyalah kepada diri.
*****************************************************
makanya pada saya ini, sekalipun tidaklah di atas nama tanzim mana-mana harakah, saya ada keinginan ‘memberi’ dari dorongan ‘hati’ …bukankah saya masih seorang da’ie ??…ada yg menafi ??…sampainya hati…

untung ada sekolah, kalau tidak…

Sudah lebih dua minggu saya fulltime di rumah. Kesempatan bercuti dari rutin tugasan sbg pendidik telah saya gunakan untuk menikmati masa paling berharga di rumah. Paling berharga mungkin kerana ‘masa’ itulah yang sering saya dambakan tatkala sesekali diganggu dgn rasa letih dan jemu dgn tugasan sekolah. Paling berharga mungkin kerana saya menikmati sepuas-puasnya masa saya sebagai isteri, ibu , dan melunasi hak saya ke atas rumahtangga….

sepertimana di sekolah, di rumah turut menuntut curahan tenaga saya yang banyak juga. Dalam hiruk-pikuk ‘perang’ saya dgn anak-anak, serta tercungap-cungap nafas lelah saya menjadi ‘bibik’ di rumah , tiadalah kiranya saya ini di katakan menikmati ‘cuti’ dalam ertikata yang sebenarnya. Cumanya mungkinlah peluang fulltime bertugas di rumah sekalipun untuk tempoh dua atau tiga minggu lebih saja, ia ternyata telah memberikan kesan keseronokkan dan kepuasan di hati isteri berkerjaya seperti saya. Ini kerana urusan rumahtangga menjadi lebih tersusun dan dapat diurus dengan lebih baik berbanding ketika musim sekolah. …

Namun yang ‘tak syoknya’ fulltime di rumah tidaklah lama. Episod ‘kembali bertugas’ sudah pun mengambil gilirannya. Seperti tahun-tahun sebelumnya, dua minggu sebelum sesi persekolahan dibuka semula , kami pasti dikerah untuk menghadiri kursus ini dan itu, mesyuarat guru, gotong royong di sekolah, urusan pendaftaran pelajar dan sebagainya. …. adoiii, hancur cuti saya….hancur juga hati saya….

sedihnya dah nak masuk bekerja semula. Alangkah bestnya kalau cuti sekolah lebih lama atau kerajaan menetapkan setahun kita bersekolah kemudian setahun berikutnya cuti pula, kemudian begitulah seterusnya… 😀 😀 …
hmm ini adalah luahan ‘pekerja malas dan tidak bersemangat’ seperti saya, dan tidak semestinya menggambarkan luahan rasa kesemua guru di sekolah saya…. ngeh3x

kenapa kadang-kadang kita jadi guru yang tak bersemangat utk mengajar ??.. Itu kerana kita lupa pada Allah. Kita lupa tugas kita di sekolah adalah kerana dakwah dan jihad kita di jalan Allah. Maka bila tidak ada Allah dalam tujuan kita, kita jadi manusia yg cepat putus asa, kecewa dan mengharapkan ganjaran dunia, tidak nampak Allah dalam kerja kita maka semangat kita tidak mampu berdiri di atas asas yg sepatutnya ” kata Kak Min, pensyarah IPSAH dalam sesi kuliahnya petang tadi. “amat penting untuk kita dapat menyedari betapa bahayanya penurunan semangat dan kesungguhan kita terhadap tugas pendidikan di sekolah. Kita kemudiannya mesti segera mencari penawarnya agar tidak terus terperangkap dalam krisis semangat ini.” sambung kak min lagi. “Bahaya kerana ia akan menatijahkan anak didik yang terbantut perkembangan keilmuannya dan pendidik yang sambil lewa dlm tugasnya” kata Kak Min.

Saya merenung jauh kata-kata kak min dan terasa panasnya pipi saya terkena bisanya tamparan kata-kata kak min ini. “pendidik mempunyai kaitan dengan konsep murabbi, muallim dan muaddib.
Muallim akan mengaitkan didikan dengan hikmah yakni ilmu. Bukan semua data, maklumat serta fakta dikatakan ‘bernilai ilmu’. Konsep ilmu itu ialah sesuatu yang berhubung terus dengan Allah serta tidak bertentangan dgn sumber asal yakni Quran dan sunnah.Murabbi akan menghubungkan didikan itu dengan Allah ketika mendidik sambil membawa pendekatan Rabbani, yakni menjadikan Allah sebagai sumber rujukan”
Terang Kak Min mengingatkan kami lagi. “muaddib pula menghubungkan pendidikan sebagai proses memperadabkan insan. Muaddib harus mempunyai kualiti ilmu dan tahu sumber ilmu yang dinukilkan agar dapat menggunakan nilai dari Al-quran dan sunnah sebagai jalan dlm memperadabkan pelajar mereka”.kak min bersungguh-sungguh mengingatkan kami semua.

Saya jadinya begitu ‘terasa’ dgn penyampaian dari kak min tadi….kerana yang sedang merasa tak bersemangat itu adalah saya sebenarnya. Semangat saya yang merosot ini harus saya pulihkan segera dgn mengatasi kesedihan saya kerana terpaksa kembali bertugas semula…patutnya saya ceria dan penuh teruja. Medan pendidikan menawarkan pahala yang tak terkira besarnya. Seharusnya dengan rasa syukur saya imbas semula keberuntungan takdir Allah utk saya kerana mencampakkan saya di sini untuk menggalas tugas yang mulia ini…. kenapa saya kadang-kadang ‘terputus’ dari keinsafan ini ?? ya Allah…

Saya mungkin menangung pasang surut dalam hal semangat saya, tetapi saya tak boleh dengan mudah menokhtahkan perjuangan saya hanya kerana kurang semangat atau letih bekerja…. jesteru inilah medan dakwah dari Allah untuk saya.Medan yang terbaik sebenarnya. Dan amatlah rugi jika saya rabun dalam menatapnya. Bukankah ini peluang untuk saya mulia di hadapan Allah ?

kita ini mulia kerana memperjuangkan Islam, bukannya Islam itu mulia kerana perjuangan kita.

untung ada sekolah….jika tidak, dimanakah agaknya saya akan berjihad dan berdakwah ???…syukur Alhamdulillah…

mek ja ( shaliza)

Tak mampu menahan airmata, saya terkejut dan tak tertanggung rasa sebak di dada . Mek ja dah tak ada rupanya.

Ketika menyusuri teman-teman lama melalui facebook saya, baru saya ketahui seorang teman sekampus dulu sudah tiga tahun pergi meninggalkan kami semua. Dalam usia muda dia pergi membawa bersama bayi 6 bulan yg dikandungnya…

Ya Allah…ya Allah…mek ja sudah tak ada rupanya … dia sudah mendahului saya bertemu Allah yang esa. Dia yang cantik dan ceria itu rupanya sudah tidak ada. “sudah tiga tahun, sakit kanser paru-paru, mengandung 6 bulan. Syurgalah tempatnya. Saya tak de contact no awak masa tu ” . Mek zu meninggalkan mesej di facebook saya.

Gentarnya hati saya ….. bila berita kehilangan kawan-kawan datang menjengah saya . Selain mek ja entah siapa lagi yang sudah tidak bersama kita semua di dunia yg fana. oh Ja, Mek ja…mek ja….masa tamrin masak gulai di letak gula. Bila di tegur ‘pelik’ oleh kawan-kawan yg lainnya ,selamba katanya, tak dok gula mano nok sedapnyo, tok sedap weh masin sajo…. saya pasti rindu padanya. Sikap rilex dan selambanya pasti menujah kenangan sesiapa saja yg pernah bersahabat dengannya.

Ya Allah, rahmatilah ke atas roh sahabatku ini. Muliakan dia dengan keampunanMu. Balasinya dengan nikmatMu. Berkati segala kebaikannya semasa didunia dan maafi segala kelemahannya. Dengan sifat belasMu, redhailah ke atasnya dan berilah ketabahan kepada ahli keluarganya.

Giliran siapa pula ??..dunia adalah lokasi sementara perjalanan hidup seorang manusia.Tiada siapa yang abadi didunia, jasad akan binasa dan roh akan datang juga kepada penciptanya. Dalam keadaan gembira atau tidak suka, kematian adalah tulisan Allah untuk semua manusia.

Dan Kami tidak menjadikan hidup abadi bagi seorang manusia sebelum engkau (Muhammad), maka jika engkau wafat apakah mereka akan kekal ? Setiap yang bernyawa akan merasa mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami ” Al-Anbiya’ 34-35

Ya Allah, ampunilah kami….pimpinlah perjalanan kami dengan petunjukMu, pandangi kami dengan rahmatMu, muliakan kami dengan keteguhan iman dan taqwa kepadaMu, jadikanlah kami orang-orang yang mengambil pelajaran dari sebuah kematian

walimatul urus

Musim cuti sekolah juga adalah musim orang menikah. Musim majlis orang menikah ni menjadikan hujung minggu saya lebih meriah . Berderet jemputan makan percuma dgn menu nasi minyak dan lauk pauk yang beranika namanya…ditambah pula pencuci mulutnya dengan hidangan bubur kacang atau pun laksa .Mau tak kenyang ternganga kita dibuatnya….pastu dikirim pula beg kertas yang sarat berisi kuih kerepek yg siap dipack dan telur rebus yg digantung kat bunga… fuhh hebatnya kenduri kawin kat Malaysia. Tetamu yang hadir memang seronok tak terkira. 😀

antara kad undangan kenduri kawin yang saya terima sepanjang cuti sekolah...masyaAllah

Mengadakan kenduri kahwin itu sunat, bertujuan memaklumkan kepada orang ramai tentang sebuah perkahwinan.Tetamu yang hadir menjadi saksi bahawa pasangan tersebut telah diperakui sah sebagai suami isteri. Jesteru memenuhi jemputan walimatul urus ini adalah wajib.

Selain mengembirakan pasangan pengantin, menghadiri majlis perkahwinan juga adalah ruang dan peluang yang baik untuk berkunjungan dan bertemu mengeratkan silaturrahim. Biasanya di majlis perkahwinan kita juga sering berkesempatan bertemu saudara mara serta rakan baru dan lama.Tentu seronok dapat bersalam, berpelukan dan saling bertanya khabar.

Pun begitu, dalam menganjurkan majlis perkahwinan ini hendaklah diperhatikan agar ia benar-benar menepati inspirasi tuntutan ajaran Islam. Majlis yang dianjurkan itu hendaklah menitik-beratkan persoalan halal haram serta menjaga pantang larang agama. Semua pantang larang itu dijaga bagi menjamin keberkatan dan rahmat Allah SWT. Mudah-mudahan majlis yang dianjurkan itu benar-benar meraih pahala yang banyak dan melimpahkan keberkatan kepada pasangan yang baru dinikahkan serta ahli keluarga mereka.

Antara garis panduan yang sangat wajar diutamakan ialah :

Mengadakan majlis yang sederhana, tidak membawa kepada pembaziran sehingga terpaksa berhutang atau bergolok gadai. Sebaiknya mengikut kemampuan . Apa yang penting ia tetap perlu dilakukan walau hanya dengan seekor kambing sahaja . Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya ‘Buatlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.

Mengadakan dengan niat yg ikhlas kerana Allah supaya ia menjadi ibadah dan mendapat pahala .Tidak menimbulkan sifat riyak dan bangga diri dan ingin menunjuk-nunjuk.

Tidak mengandungi unsur-unsur maksiat seperti percampuran antara lelaki perempuan, bersalaman antara jemputan lelaki dan perempuan yang bukan mahram, tidak menutup aurat dengan sempurna serta wujud hiburan yang melalaikan dalam majlis berkenaan. Jika terdapat perkara maksiat dalam majlis kenduri tersebut , maka gugur kewajiban kita dari menghadirinya.

Tiada majlis persandingan atau majlis mempertontonkan pengantin khususnya pengantin perempuan kepada orang ramai. Majlis persandingan merupakan cetusan daripada ajaran agama Hindu dan amalannya menyimpang dari kehendak agama Islam.

Tidak mengandungi unsur-unsur maksiat dan khurafat seperti mengadakan upacara tepung tawar untuk menolak bala. Penggunaan beras kunyit semasa upacara persandingan untuk memberi semangat kepada pengantin.Ia adalah syirik jika dilakukan dengan tujuan menambah semangat dan menghalau roh jahat.

Berandam: Perbuatan andaman yang berbentuk “li tadlis” mengabui/merubah kecantikan yang sebenar adalah haram. “Allah melaknat wanita yang mencucuk tangan dan menaruh warna (tattoo) dan yang meminta berbuat demikian; wanita-wanita yang menghilangkan bulu kening di muka, wanita yang mengikir gigi dan menjarangkannya supaya kelihatan cantik yang merubah kejadian Allah.”( HR Muslim-Muslim dari Abdullah Ibn Mas’ud )

Berhias untuk dipamerkan (tabarruj): Berhias dengan tujuan untuk dipamerkan kepada orang ramai adalah dilarang. Firman Allah (maksudnya), “Janganlah kamu bertabarruj seperti kelakuan orang zaman jahiliah dahulu.” (Al-Ahzab: 33).

Jemputan hendaklah terdiri drp semua lapisan masyarakat tidak terkhusus hanya satu golongan sahaja.Nabi Muhammad s.a.w. bersabda maksudnya “Makanan yang paling buruk adalah makanan walimah apabila orang yang perlu makan (si miskin) tidak diundang malah orang yang tidak perlu (orang kaya) diundang.” riwayat Muslim daripada Abu Hurairah.

Perkahwinan adalah saat paling bahagia bagi pasangan yang bersetuju untuk hidup bersama. Ia detik bersejarah yang akan dikenang dalam senyum kegembiraan setiap kali terpalit kenangan tentangnya. Majlis perkahwinan juga menjadi tanda kegembiraan pasangan pengantin yang turut dikongsi dengan keluarga dan orang ramai. Namun jagalah keberkatan majlis ini agar ia berlangsung atas keredhan Ilahi. Semoga semua pihak turut terpalit keberkatan dan rahmat dari majlis yang dianjurkan nanti.

mudahnya ke neraka

Di dalam khutbah wuquf di Arafah yang saya dengar secara langsung dari Masjid Nimrah tengahari tadi, antara perkara yang ditekankan oleh khatib ialah bahaya menggunakan media baru untuk menyebarkan berita yang masih belum pasti kebenarannya ke pengetahuan umum. Khatib menyebut bahawa antara media yang kerap digunakan ialah internet.

Penyebaran sesuatu berita tanpa menyelidik terlebih dahulu kebenaran perkara tersebut adalah satu fenomena yang semakin menjadi-jadi pada masa ini. Akan tetapi, ianya bukan suatu perkara baru. Semasa zaman Rasulullah dan para sahabat, fenomena ini biasanya dijuarai oleh munafiqin di Madinah pimpinan Abdullah bin Ubai bin Salul. Sekiranya membaca keseluruhan tafsir surah al-Taubah, kita akan dapat potret gambaran yang jelas kerja-kerja kumpulan munafiqin dalam merosakkan imej Rasulullah dengan menyebarkan berita yang belum disahkan kebenarannya.

Zaman sekarang, penyebaran maklumat seupama ini berlaku pantas dengan berkembangnya pelbagai aplikasi internet seperti website, weblog dan Facebook serta laman interaksi sosial yang lain.

Zaman dahulu, penyebaran itu berlaku secara lisan. Proses sebegini biasanya lambat, akan tetapi dipercepatkan dengan hawa nafsu manusia yang suka melapor dan mendengar berita sensasi, apatah lagi yang membabitkan aib orang lain.

Kalau tidak percaya, bagi mereka yang mempunyai blog, cuba masukkan entri dengan tajuk yang panas seperti wanita melayu berbogel, sejadah sujud, ulamak rasuah atau ahli parlimen berkhalwat, nescaya blog anda akan panas dengan hit yang tinggi.

Ada sesetengah manusia suka menyebarkan berita dengan segera kerana sengaja ingin memburukkan imej orang lain. Lantas, terjebaklah mereka dengan pelbagai jenis dosa seperti mengumpat, memfitnah, mengadu domba dan seumpamanya. Tidak kurang juga, untuk menambahkan lagi rencah dan perisa, maka ditokok tambah berita yang sedia ada, lalu berlakulah pembohongan.

Ada yang membuat kerja sebegini kerana mereka merasakan perbuatan itu amatlah makruf. Rasa terhormat dan mulia dengan tindakan mereka itu, lalu diprojekkan diri mereka dengan imej yang baik dan intelek, dengan menyatakan contohnya Saidina Umar yang ditegur dengan wanita dengan amaran pedangnya secara terbuka. Di dalam Islam, kita dilarang menyapu ‘habuk di bawah karpet’. Di dalam Islam, perlu ada check and balance. Di dalam Islam, perlu ada amar makruf dan nahi munkar. Maka, absahlah kerja-kerja mereka.

Walau apa pun juga pegangan kita di dalam fenomena hebah-hebah ini, satu perkara yang dipersetujui oleh semua, akan tetapi bukan semua menginsafinya, iaitulah apa jua yang kita ucapkan dan kita tulis, akan dicatat oleh Allah SWT sebagai bahan bukti mahkamah akhirat kelak. Firman Allah dalam surah Qaf ayat 18:

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلاَّ لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (merekodnya).

Al-Quran sebenarnya telah menyentuh akan fenomena ini. Berfirman Allah SWT di dalam surah al-Nisa’ ayat 83:

وَإِذَا جَآءَهُمْ أَمْرٌ مِّنَ ٱلأَمْنِ أَوِ ٱلْخَوْفِ أَذَاعُواْ بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى ٱلرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُوْلِي ٱلأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ ٱلَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ وَلَوْلاَ فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لاَتَّبَعْتُمُ ٱلشَّيْطَانَ إِلاَّ قَلِيل

Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu)

Di dalam semua kitab tafsir muktabar, diperjelaskan bahawa ayat ini menceritakan akan perihal manusia ketika mendengar berita yang menyenangkan atau kurang menyenangkan. Dalam konteks ketika penurunan wahyu ini, perkara yang menyenangkan (الامن) itu diterangkan sebagai berita kemenangan tentera Muhammad, sementara berita yang tidak menyenangkan (الخوف) itu merujuk kepada berita kekalahan umat Islam.

Ketika tibanya khabar angin seumpama itu, maka orang munafiq hakiki, dan juga mukmin yang terpalit dengan sifat al-nifaq akan bersegera untuk menghebahkannya kepada orang lain tanpa langsung ada sikap untuk memeriksa kebenarannya. Tujuannya, pelbagai. Diterangkan dalam kitab tafsir, sebahagiannya bertujuan untuk menunjukkan dirinya sebagai manusia hebat kerana sering mendapat berita dan maklumat terkini lagi sensasi.

Selain itu, ada juga yang menghebahkannya untuk tujuan memburukkan imej Rasulullah, contohnya semasa peristiwa khabar ifki. Ada yang bertujuan untuk melemahkan psikologi umat Islam yang lain. Ada yang bertujuan untuk mempermainkan emosi Rasulullah. Dan tidak kurang juga yang melakukannya sebagai perang saraf untuk melemahkan semangat umat Islam ketika itu.

Watak yang memainkan kisah itu semasa zaman Rasulullah dan juga para sahabat adalah ramai. Yang termasyhur ialah Abdullah bin Ubai bin Salul. Walaupun dalam satu riwayat disebut bahawa jenazah beliau disembahyangi dan dikafankan dengan jubah Rasulullah (kerana politik pintar nabi dan juga rasa hormat kepada permintaan anak beliau yang Muslim) sehingga membangkitkan bantahan Umar, akan tetapi Rasulullah berkata yang jubah baginda tidak dapat menghalang perbuatan Abdullah bin Ubai yang ketika hidupnya suka menjadi tukang hebah dan wartawan sensasi, daripada dibaham api neraka. Di dalam ayat di atas, kumpulan ini disifatkan sebagai mereka yang mengikut jejak langkah syaitan.

Itu kumpulan pertama, yang apabila dapat berita atau khabar angin, terus menghebahkannya kepada massa. Akan tetapi, di sana ada kumpulan kedua, yang mana ketika didatangi dengan maklumat sama ada yang sejuk atau yang panas, maka sikap mereka ialah merujuk kepada Allah, Rasul, dan juga orang-orang yang berautoriti di kalangan mereka. Ulil amri saya terjemahkan sebagai orang yang berautoriti, supaya kita tidak sempit memahaminya sebagai semata-mata pemimpin negara sahaja. Ia boleh jadi sebagai naqib, pengerusi persatuan, bapa, cikgu dan seumpamanya, bergantung kepada siapa kita dan bentuk berita dan maklumat yang sampai. Ini kerana orang-oang yang berautoritilah mampu untuk memberikan pengesahan dan penjelasan sebenar terhadap maklumat tersebut.

Akan tetapi, Allah memberitahu kita bahawa kumpulan kedua ini hanyalah sedikit sahaja. Mereka ini ialah golongan minoriti di dalam masyarakat. Justeru, golongan minoriti seumpama ini biasanya sukar untuk memperbetulkan yang salah dan meluruskan yang bengkok.

Menjadi mangsa fitnah atau berita mengenai diri dihebah tanpa kebenaran di media baru, adalah satu perkara yang perju dijangka oleh para pendakwah. Pun demikian, sehebat mana sekalipun pendakwah itu, perasaan kecil di dalam hatinya akan tersentuh juga apabila berhadapan dengan fitnah seumpama ini. Apatah lagi sekiranya fitnah itu datang daripada orang-orang yang hampir dengannya, seperti sahabat karib, pembantu peribadi dan juga rakan setugas.

Sama seperti semua orang, saya juga pernah mengharungi fitnah seumpama ini. Memang sedih juga sekiranya fitnah ini datang daripada orang-orang yang berada di sekeliling kita. Kadang-kadang gaya percakapan kita disalahertikan lantara perbezaan budaya bahkan dialek, lalu dihebahkanlah ‘kebiadaban’ kita. Lantas disimpanlah perasaan benci yang membuak-buak selama bertahun-tahun tak berkesudahan. Pantang nampak , habis dibelasahnya.

Pantang bersuara, walaupun menerusi institusi musyawarah, habis dibantahnya dengan fitnah yang ditokok-tambah. Nak nampak baik, maka dihiasilah dengan al-Quran dan al-Hadith. Lalu ditaburlah onar serta duri dalam perjalanan dan pergerakan kita. Memang jijik juga kadang-kadang, apatah lagi saya pernah mendengar rakaman langsung sesetengah sahabat karib yang melakukan pembohongan terang-terangan ke atas diri saya untuk kepentingan serta kepuasan dirinya.

Sekiranya kita berhadapan dengan fitnah seumpama ini, jalan terbaik yang perlu kita ambil ialah bersabar sahaja. Walaupun kadang-kadang sampai tahap dituduh sebagai munafiq, atau ada ciri-ciri orang munafiq, biarlah si tukang fitnah ini memuaskan hati dan melepaskan geramnya. Dalam bersabar, perlu rasa simpati dengan mereka kerana begitu mudah mendapat dosa.

Kita akan jadi mulia sekiranya kita terus memberikan kemaafan kepada mereka, dan walaupun tanpa sebab, kita memohon ampun kepada mereka. Dalam kehidupan berdakwah, kita perlu kenal siapa musuh kita. Perlu menghalusi apa kerja kita. Bukanlah rakan-rakan sekeliling kita itu perlu dijadikan musuh. Dan bukanlah membalas kesilapan kawan dengan kejahatan yang lain itu merupakan kerja kita. Musuh kita ramai di luar sana, dan kerja kita juga amat banyak belum terlaksana.

Tukang penyebar fitnah seumpama ini, sekiranya mereka betul-betul musuh dan munafiq hakiki, maka itu adalah kerja mereka. Berhadapan dengan mereka perlu meniru politik pintar nabi ketika berhadapan dengan munafiq di Madinah. Tetapi sekiranya ia datang daripada orang dalam dan orang sekeliling yang terdiri daripada orang-orang Mukmin, maka mereka perlu insaf dan sedar. Dalam perbahasa mengenain beriman kepada Rasul, bukankah kita sepatutnya beri’tiqad bahawa hanya Rasulullah sahaja insan yang ma’sum dan sempurna?

Ini bermakna yang manusia lain, walaupun bertaraf presiden, perdana menteri, ustaz atau tuan guru, tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Apabila rakan muslimnya melakukan kesilapan, maka kita perlu bersedia untuk menerimanya dan memaafkannya. Itu tanda iman. Kalau betul-betul salah dan munkar, maka tegurlah dengan cara yang sepatutnya, berhadapan atau melalui orang-orang yang berautoriti seperti dalam firman Allah dan sabda Nabi. Sekiranya kita terus marah, lalu menghebahkannya kepada massa, itu merupakan tanda yang iman kita terhadap ketidakma’suman orang lain selain Rasulullah, sedikit bermasalah, lantaran kita menonjolkan sendiri sikap kita untuk tidak menerima kesilapan manusia biasa.

Bagi yang diuji dengan fenomena hebah dan fitnah ini, antara cara yang turut dicadangkan oleh nabi Muhammad SAW ialah duduk diam sahaja. Ini berdasarkan sepotong hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim seperti berikut:

انها ستكون فتنة القاعد فيها خير من القائم و القائم خير من الماشي و الماشي خير من الساعي

Sesungguhnya akan terjadi fitnah, orang yang duduk (diam) adalah lebih baik daripada yang berdiri. Orang yang berdiri adalah lebih baik daripada orang yang berjalan. Dan orang yang berjalan adalah lebih baik daripada orang yang berlari.

Ketika berlakunya gejala fitnah, khususnya selepas pembunuhan Saidina Uthman, ramai para sahabat yang mengambil sikap berdiam diri sahaja tanpa menyebelahi mana-mana pihak bagi mengelakkan diri daripada terjebak dalam gejala fitnah. Ini termasulah Zubair bin al-Awwam serta Abdullah bin Khabab. Ini merupakan tindakan yang betul.

Dalam masa yang sama, ada juga yang terpaksa mengharungi dan berhadapan dengan fitnah tersebut, seperti yang dilakukan oleh Saidina al-Hasan. Tindakan beliau bukannya salah, kerana beliau tidak membalas fitnah dengan fitnah, akan tetapi dengan hikmah, walaupun akhirnya diri beliau yang terpaksa menjadi korban.

Sekiranya kita menjadi mangsa fitnah, lalu kita membalas dendam dengan melakukan fitnah yang serupa, percayalah bahawa tindakan itu adalah satu kesilapan besar dan tidak langsung menyelesaikan masalah. Kita mungkin puas memfitnah orang lain dalam ucapan dan tulisan kita dalam blog sebagai contohnya, akan tetapi tulisan itu akan terus kekal diingati sama seperti kekal degilnya sikap kita yang enggan memaaf dan melupakan kesalahan orang lain.

Sedangkan dalam ilmu tazkiyatunnafsi, para ulamak salaf sering menyatakan bahawa terdapat dua perkara yang perlu kita lupakan untuk menyucikan hati kita, iaitu kebaikan yang kita buat untuk orang lain dan juga kesilapan orang lain terhadap kita. Kalau kerap diulang dan ditulis, maka sampai bila-bila kesilapan orang lain itu akan diingati, maka sentiasa ‘berjagalah’ fitnah itu.

KESIMPULAN

Gejala cepat menghebahkan berita ini adalah suatu fenomena yang akan berterusan sehinggalah qiamat kelak. Berdasarkan pemerhatian, gejala ini berlaku antara lain kerana:

a. Sikap manusia yang gelojoh dalam menghebahkan maklumat.
b. Sikap manusia yang ingin menunjukkan dirinya hebat mempunya maklumat terpantas, cepat tahu dan cepat menganalisa.
c. Sifat manusia yang tamak ingin mendapatkan pengaruh dan keuntungan.
d. Sifat manusia yang sentiasa berbalah, lalu dihebahkanlah berita pihak lain untuk melemahkannya, dan dalam masa yang sama ingin menunjukkan kekuatan dirinya.
e. Sifat manusia yang tidak rasa bertuhan, tidak merasakan dirinya sentiasa diperhatikan Allah, serta tidak takut bahawa apa sahaja yang tertulis dan diucapkan, akan dibalas kelak di hari akhirat.

Sedang kita mengiktiraf terdapat beberapa jenis kemungkaran yang sekiranya nyata dan jelas kesalahannya, yang ada keperluan menghebahkannya untuk mencegahnya berulang kembali, akan tetapi perlu diingati yang bahawa berita yang masih samar atau sekadar didengari daripada pihak ketiga, perlulah diperiksa kesahihannya dan dinilai sama ada perlu dihebahkan atau sebaliknya.

Sekiranya tangan masih menggatal ingin menulis fitnah, serta lidah masih menebal untuk bercakap, apa kata kita didik tangan dan lidah kita supaya takutkan Allah. Berkatalah perkara yang baik dan pasti sahaja kebenarannya. Yang selamat, ialah berdiam sahaja. Sabda nabi Muhammad SAW seperti yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:

من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيرا او ليصمت

Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka berkata baiklah kamu atau diam sahaja.

(*) sumber asal : http://abidfana.com/
Aduhai, alangkah mudahnya ke neraka dengan menggunakan media baru untuk hebah dan fitnah. Sekali terucap dan tertulis, ribuan membacanya, maka berantai-rantailah dosanya. Tunggu sahajalah berapa ramai yang akan menuntut saman malunya di mahkamah akhirat kelak.

berpindah ke Wadi Insyirah

Sudah lebih tiga minggu saya kesibukan dalam urusan berpindah ke kediaman baru. Dari membersihkan rumah, packing barang2, mengangkutnya dan mengemas serta menyusun kembali di rumah baru ini.Letih juga rupanya urusan pindah memindah ini. Dan tidaklah ‘indah’ semuanya bila ‘masuk rumah baru’. Adat rumah baru, memang terdapat beberapa masalah teknikal yg tak dapat dielakkan atau dijangkakan.Letih juga kami suami isteri cuba menyelesaikannya. Ke sana ke mari menguruskan itu dan ini.


Malam raya kami masih bergelap di rumah ini….masalah betol lah 😀 …. Dari corong pembesar suara di masjid yang berdekatan saya mendengar takbir raya berkumandang.Suara memuji Allah itu cukup jelas kerana masjid cuma lebih kurang 200 meter saja dari rumah saya. Saya berdoa agar beroleh keberkatan ‘tinggal berdekatan masjid’ dan mendapat percikan nur hidayah Allah sepanjang saya menginap di sini.

Kemuncaknya kami mengadakan kenduri korban pada raya ketiga di kediaman baru kami dengan menjemput saudara mara, rakan taulan serta jiran tetangga. Syukur kepada Allah, ini kesempatan baik saya berkenalan dengan jiran-jiran baru.

Terima kasih untuk rohaya, rogayah, kak siti, kak chak, mak cik serta menantunya yang sudi datang membantu saya. Ramai juga teman yang tak dapat memenuhi jemputan kenduri saya kerana masing-masing juga ‘sarat’ dengan jemputan kenduri saudara mara di sana sini. Saya memahaminya.

Alhamdulillah, segala urusan berjalan lancar pada hari kenduri tersebut dan saya mengucapkan terima kasih pada tetamu yang telah sudi datang. Kediaman ini kami namakan WADI INSYIRAH.

هَذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ وَمَنْ شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ

“Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mencoba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan ni’mat-Nya). Dan barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barangsiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia”
(an-Naml :40)