Beberapa minggu saya biarkan blog ini sepi.
Saja saya tak updatekan dgn entri.
Memang saya bercadang untuk pencen sebelum waktu
tak pun cuti rehat beberapa minggu
Bukan saya sudah jemu
atau tak bersemangat seperti dulu
cumanya ada tuntutan lain yang perlu saya utamakan dahulu
Saya cuba usahakan satu blog khusus untuk murid-murid saya, yang akan memuatkan semua perkara berkaitan subjek sejarah yang saya ajar di sekolah…InsyaAllah.
Sungguh masa begitu menghambat kita semua. Tambahan pula persekolahan bakal melangkah ke penggal kedua. Banyak sungguh perkara yang nak kena setel. Termasuk kena lebihkan masa bersama putera sulung saya. Muaz bakal menduduki upsr pada bulan september dan saya makin terasa betapa ‘teruknya’ masa mendera saya. Tercungap-cungap saya dibuatnya.
Cerita sibuk saya adalah cerita boring dan cerita ‘perasan’….macam le saya sorang yang sibuk kat dunia ini ….eh perasan ke saya ??…Suka hati saya ler nak perasan ke nak apa…..ni blog saya …lantak saya lerrr……aahhhh bencinya, saya nak tulis apa yer….. takkan nak tulis tentang rindu dan tentang cinta ??…saya bukan blogger remaja yang teruja untuk mengecap makna cinta…saya sekadar guru sejarah yang tua yang pernah calar hatinya dan luka parah…kah kah kah...saya dengar ada yg sedang tertawakan saya….berdekah-dekah tawanya…aarrrgghhh
Hmmm…nak citer apa ya…hmm…meh kita cerita pasal sejarah…
Sekarang minggu exam di sekolah. 2 minggu lagi sekolah akan bercuti. Pesan saya pada pelajar-pelajar tingkatan 1 Redha dan 1 Taqwa “ antum carilah buku SETELAH ROBOH KOTA MELAKA tulisan Abdul Latif Talib. Ini novel airmata…tidak seperti membaca novel cinta, novel ini membuatkan muallimah sebak dan bercucuran air mata” . Saja ler saya memancing selera mereka supaya berasa teruja untuk membacanya. “Daripada antum leka buat taik mata cuti nanti, baik antum alirkan airmata membaca sejarah tentang kejatuhan Melaka. Antum pasti terasa seperti kembali ke zaman pemerintahan sultan Mahmud Syah yang lemah, zaman Melaka tersungkur di kaki penjajah.”
Menariknya kelas sejarah di tingkatan satu kerana dapat bercerita tentang sejarah Melaka. Bermula dari pengasasan Melaka oleh Parameswara, usaha-usaha membangunkan Melaka, kegemilangan Melaka dan akhirnya kepada kejatuhan Melaka di tangan kufar Portugis.
Hebatnya Melaka kerana suatu ketika dahulu pernah gemilang sebagai pusat pengembangan dan penyebaran Islam. Agama Islam yang dikatakan asalnya dibawa oleh seorang mubaligh Arab dari Makkah bernama Syeikh Abdul Aziz, akhirnya Islam tersebar ke seluruh Melaka dan menjadikan Melaka muncul sebagai pusat kegiatan dakwah. Melaka bukan saja terkenal sebagai pusat perdagangan antarabangsa, bahkan ia juga turut menjadi medan pertemuan ulama’ dan pendakwah dari Arab dan Pasai. Islam semakin subur di Melaka kemudiannya turut tersebar ke seluruh nusantara.
Mengapa Islam mudah diterima di Melaka ?? banyak faktornya dan antara sebab ketara Islam mudah berkembang di Melaka ialah kerana peranan raja Melaka itu sendiri. Baginda menyambut baik kedatangan Islam dan terlebih dahulu memeluk Islam sehingga kemudiannya dituruti oleh rakyat dan pembesar. Minat dan sokongan pemimpin Melaka terhadap agama Islam cukup tinggi. Sultan mempunyai saham yang besar dalam menyokong dan melibatkan diri ke atas usaha mengembangkan Islam di Melaka. Istana dijadikan tempat pengajian ilmu agama. Segala usaha menterjemah, menyadur dan menyimpan kita-kitab agama Islam turut dilakukan di Istana. Sultan Mansor Syah pernah menghantar pembesarnya Tun Bija Wangsa ke Pasai semata-mata bertanyakan hal-hal agama kepada ulama’ di sana. Melaka menjadi terkenal sebagai pusat pengajian ilmu tasawuf bahkan pembesar Melaka seperti Tun Perak dikatakan ahli sufi yang bijaksana dan masyur.
Di zaman Sultan Muzaffar Syah, banyak diwujudkan institusi agama seperti masjid, madrasah dan surau. Institusi ini menjadi tempat berkumpul untuk mempelajari Islam dan membaca Al-Quran. Sayangnya semua binaan ini hilang tiada terkesan dan tiada sedikit pun tinggalannya tersisa untuk tatapan generasi sekarang. Ini sejarah yang patut kita tangiskan kerana apabila menyebut Melaka, yang tergambar menjadi mercu tanda adalah Kota A Famosa yang penuh kebanggaan. Biarpun sekadar tinggalan pintu kota yang sudah usang, tapi ia masih gah tersergam dan tidak putus-putus menerima kunjungan. Ia seperti parut luka lama yang hodoh untuk dikenang tetapi ia kekal ke hari ini sebagai warisan penjajahan yang menjadi tarikan pelancongan. Sedangkan binaan Islam di Melaka, tiada sedikit pun bangunan pusaka Islam kita dibiarkan kepada kita sebagai kenangan. Semuanya dikuburkan tanpa sedikit pun bayang sebagai menjayakan misi Portugis menyebarkan krsitian di alam melayu. Ketika inilah bible sampai di Melaka dan gereja mengambil tempat masjid untuk membolehkan mubaligh kristian ‘berdakwah’ di Nusantara.Portrugis menakluki Melaka selain dari memecah monopoli perdagangan rempah oleh pedagang Islam, misinya juga mencari Prester John yang dipercayai akan meninggikan agama kristian di Timur.
Dalam karya lama berjudul ‘Sejarah Melayu’ yang dikarang pada tahun 1612, ia menyelitkan kisah keprihatinan dan sikap bertanggungjawab Sultan Alauddin Riayat Syah menangani masalah kecurian di Melaka. Baginda melakukan penyamaran sebagai rakyat biasa dan berjalan bersama Hang Isak dan Hang Siak mengelilingi Melaka. Baginda mengambil contoh khalifah Umar Abdul Aziz yang pernah menyamar untuk meninjau keadaan rakyatnya. Begitu sekali sikap sultan Melaka dalam mengadaptasi cara Islam dalam kehidupan baginda selaku pemimpin.
Melaka paling gemilang dalam lakaran sejarahnya ketika Islam utuh dan teguh dalam kehidupan masyarakatnya. Pemimpin menjadi naungan kepada rakyat dan menganggap baginda sebagai pemegang amanah Allah. Raja tidak menjadikan kuasa sebagai lorongan untuk mencapai kepentingan diri. Saya meminta murid-murid saya membaca novel ‘Setelah Roboh Kota Melaka’ supaya mereka boleh menilai dan membandingnya isi novel dengan isi dari buku teks sejarah. Apakah benar Melaka rebah dan dijajah kerana persenjataannya yang lemah atau angkatan perang portugis yang hebat ?
Melaka lemah kerana pengamalan Islam di kalangan rakyatnya yang goyah. Selain pembesar seperti Tun Mutahir yang bersikap taat setia tidak menepati syariat, sultan juga sudah dibutakan hatinya dengan kemewahan harta dan emas sehingga zalim dan termakan fitnah. Pembesar juga tidak amanah dan rasuah. Fitnah dan adu domba menular dalam masyarakat Melaka bahkan ada rakyat Melaka yang khianat dan belot membocor rahsia pertahanan Melaka kepada musuh. Tiada perpaduan dikalangan muslim di Melaka kerana hasad dan tamak menguasai mereka. Kedaulatan Melaka akhirnya diratah penjajah. Saya pernah mendengar ada armada laut dari kerajaan Turki Uthmaniah dikirim khalifah untuk membantu Melaka tetapi telah dipintas dan dimusnahkan di pertengahan jalan….wallahuallam
Kesian Sultan Mahmud. Airmatanya melimpah ketika mudik di Selat Melaka untuk meninggalkan tanah Melaka bumi bertuah. Tidak putus dia menyesali kecuaianya dalam mentadbir Melaka. Biarpun baginda mendapat Tun Fatimah yang Jelita, tapi baginda kehilangan kerajaan Melaka yang diwarisi dari nenek moyangnya. Melaka kemudiannya ditangan penjajah untuk ratusan tahun lamanya.