Letih dan sedih

Manusia adalah makhluk yang lemah dengan kemampuan yang terhad, mereka akan berhajat pada kekuatan yang paling besar yang boleh dijadikan tempat berpaut khususnya ketika menghadapi kesusahan. Tiada dinamakan kehidupan jika tiada ujian, dan tidak juga dinamakan perjuangan jika tidak diintai cabaran. Ini antara bait kata-kata yg sangat memotivasikan saya, ia terlekat dalam buku catatan dan saya menatapnya setiap kali buku catatan saya buka.

Dua hari lepas saya ke klinik Homeopathy Dr Mansor setelah lebih seminggu di serang sakit kepala. Sebolehnya saya elakkan dari mengambil Panadol dan akan cuba legakan sakit kepala dengan minyak angin atau bantuan suami untuk memicit kepala.Tapi setelah beberapa hari berlalu, bisa serta denyutnya tetap tidak hilang juga. Belakang tengkuk serta bahu terasa berat  dan sangat keletihan pada waktu malam.
Selepas di periksa, ternyata tekanan darah saya lebih tinggi dari biasa dan itu memang saya duga.Daripada simpton yang saya alami, saya tahu ada peningkatan pada tekanan darah saya. Saya pernah menghadapi masalah high blood pressure ketika mengandung anak ketiga dan keempat,Tekanan darah yg mencecah 160/110 ketika usia kandungan memasuki minggu 37 cukup merisaukan doctor, sehingga saya diminta masuk wad untuk pembedahan. Syukurlah berkat solat hajat dan doa  malam itu, tekanan darah saya telah menurun dan saya melahirkan cara normal sekali pun diinduce dan dgn bantuan ‘vacuum’. High Blood Pressure menakutkan sebenarnya.
Kata Doktor, sakit kepala  kerana  saya kurang rehat dan mungkin stress. Katanya lagi saya memang nampak keletihan  dan menasihati saya banyakkan rehat serta meminum air kosong. Mengelakkan makanan berminyak dan masin. Saya tidak banyak bertanya dan terus mendapatkan ubat sebelum kemudiannya kembali ke sekolah.
Allahuakhbar, apakah Allah sedang menegur saya? Atau Allah sedang melemparkan secebis rasa murkanya pada saya ? Terasa rahmat Allah sedang menjauhi saya jesteru urusan2 yg merupakan rutin dan tanggungjawab terasa begitu berat dan membebankan saya. Tertekan dalam timbunan kerja, sekalipun ketika waktunya menutup mata untuk berehat, fikiran masih berlegar pada baki tugas yg tidak sempat disiapkan.Saya akui bebanan tugas yg sedang menghimpit  saya, mengikuti bersamanya  tanggungjawab yg menuntut  banyak curahan tenaga fizikal jua  pemikiran saya, Bahkan beberapa hari lepas saya turut  melihat rakan setugas yg  mengeluh sehingga menitis airmatanya kerana  letih melaksanakan tugas yg tak habis-habis.

Naqib saya pernah memberitahu saya dahulu, dalam kehidupan seorang mukmin mereka adalah golongan ‘yang sentiasa bekerja’, tiada istilah ‘buang masa’ , yang ada pada mereka ialah ‘berehat’ sahaja.

“kak sal, tolong nasihati saya bagaimana nak mengekalkan rasa sabar dan tak tension” adu saya pada naqibah yg sering saya rujuk bila teringin mendapatkan nasihat. “ tension apa pulak ni mahani, nanti ajak abang rahim pi makan angin, nu Pantai Merdeka dekat je tu” kal sal mengusik  sambil melirik senyum pada saya. Saya membuka cerita “ entahlah, rasa banyak sangat kerja, lepas satu, satu yg kena siapkan…turun kerja jam 7 pagi, pukul 6 petang baru sampai ke rumah. Saban hari terpaksa begitu, Sudah berhabisan tenaga di sekolah…bila balik ke rumah, kerja di rumah juga bercambah. Kadang saya rasa sedih sangat bila diminta oleh anak2 untuk membantu kerja sekolah mereka, saya sediakan diri saya yg sudah letih dan kurang bermaya  , pernah saya semak bacaan iqra’ Raihanah dalam keadaan mamai kerana mengantuk, dan tidak berupaya juga memberikan idea ketika Muaz atau Syamil minta  saya membantu menyiapkan karangan mereka ” saya meluahkan dalam nada sedikit kecewa bercampur sebak di dada.
“Allahuakhbar, macam tu la kita ni, ada ketikanya urusan harian rasa susah nak kendalikan. Tak pa, itu semua ujian sebenarnya. Banyakkan berzikir, rasa letih itu biasa kerana keletihan itu memperlihatkan tabiat seorang manusia bahawa kita ini serba dengan sifat kurangnya, sekuat mana pun kita boleh bekerja , sampai ketikanya kita rasa letih dan tidak berdaya juga” kak sal memulakan bicara. “ apa saja kerja yang kita buat, tidak boleh terputus dari matlamat kepada Allah, dan kena selalu meminta tolong kpd Allah supaya di situ bila kita rasa penat kita tidak mudah berputus asa atau sangat kecewa.”. Kak sal terus memberikan kata nasihatnya, “Dalam melaksanakan  sesuatu amanah, manusia memang kena ada sifat sabar,  dan kita  tidak mungkin boleh bersabar tanpa bantuan Allah. Kadang2 kita kena baca dan renung kisah sahabat2 mahupun sahabiah yang dididik rasulullah saw. Fatimah pun pernah mengadu kat Rasulullah kerana letih bekerja, jadi  apa yg rasulullah ajar ialah supaya Fatimah bersabar dan berzikir pada Allah, kerana baginda tahu itu lebih baik dari merungut dan mengomel tentang kerja yang banyak.”. Kak Sal terus menasihati saya.
Saya terus mendengar beberapa nasihat yg berharga darinya kepada saya termasuk meminta saya menjaga urusan solat . “solat kena jaga, tahap kita  ni bukan sekadar kena pastikan  kita tunaikan solat sahaja, tapi kena pastikan hati  kusyuk dan solat awal waktu. Penting kita jaga urusan2 lain supaya tidak mengambil  masa solat. Maksudnya kalau sedang buat urusan lain tiba2 dengar suara azan sebolehnya tangguh dulu urusan tersebut utk beri keutamaan pada solat, kecuali kerja kita itu sangat penting dan mesti di dahulukan. Solat itu tiang agama, bagaimana nak buat urusan2 lain dengan sempurna jika yang tiangnya  itu kita bina tidak sekuat mana.” Kak sal menambah, sedang saya mendengarnya penuh rasa terharu. “ solat malam, sekurang2nya tahajud 2 rakaat dan 3 rakaat solat witir, yang itu  sebolehnya jangan tinggalkan, ia amalan para tabi’in dan salafussoleh. Inilah rahsia kekuatan. Bagi kita yang nak  bawa ‘agama Allah’ kena lebih kuat dari orang awam. Kekuatan itu ada pada solat malam maka jangan kita ambil ringan.” Kak Sal tersenyum pada saya sambil meneruskan katanya “ InsyaAllah, mahani boleh tuu…, akak tahu mahani boleh atasi , banyakkan istighfar dan berselawat” Kak Sal menepuk bahu saya ketika saya menyeka titisan yg mula tumpah di pipi dan saya berterima kasih atas ‘suapan nya’ kepada rohani saya ini.” rutinkan membaca al-quran dan ambik sedikit masa untuk mentadabbur ayat2 Alah, puasa sunat, infak….itu semua kunci pada kekuatan ruh yang akan memangkinkan kekuatan jasad.
Teringat saya pada kata2 seorang sahabat saya, “ rasa banyak kerja mungkin kerana ilmu kita semakin bertambah, iman kita juga bertambah maka kita rasa lebih komitmen kepada amanah. Semua perkara kita nak siapkan dan sempurnakan.”
Alhamdulillah, sedikit nasihat dan muhasabah , ternyata memotivasikan dan mententeramkan jiwa. Selaut kesyukuran juga saya panjatkan pada Allah, dicelah kesibukan ini suami sangat banyak membantu saya dan tidak pernah berkira tentang haknya yang kadang-kadang saya terpaksa kongsikan dgn urusan kerja saya. Semoga Allah membantu saya dalam meletakkan keutamaan dan membantu saya juga dari melakukan sebarang  pengabaian dalam kehidupan saya.
Ya Allah, ampunkan dosa2ku..ringankanlah bebananku, mudahkan urusanku, lorongkan jalan bagiku dan ilhamkan kebaikan bagiku, hadirkan  para pendamping  disisiku, mereka yang membantuku kepada agamaMU…Engkaulah sebaik-baik penolong bagiku.

Sahabat Yang Baik Penyelamat Bencana…

puteri-puteri yang dikasihi

puteri-puteri yang dikasihi

Puteri-puteri Islam Sejati! Salam sejahtera diiringi limpah kasihi Ilahi.

Di mana jua kalian berada, sentiasa ibu doakan agar sentiasa beroleh taufiq dan hidayah Allah. Sentiasa terdorong melaksanakan kebaikan  juga terhindar dari melakukan sebarang keburukan. Ibu sangat merindui dan mengasihi kalian dengan kasih sayang Islam,  supaya dengannya kita akan dikumpulkan kembali di yaumil akhir nanti.  Di sana nanti tiada lagi naungan selain naunganNya. Ini berdasarkan maksud sabda Rasulullah s.a.w  “Pada hari kiamat Allah akan berfirman: Di manakah orang-orang yang saling mencintai kerana keagunganKu? Hari ini Aku akan melindungi mereka, sebab hari ini tidak ada perlindungan selain daripada perlindunganKu.” (HR Muslim)

Puteri-puteriku yang sentiasa gigih di jalan kebenaran…,

Dengan izin dan perkenan Allah jua kita masih dipertemukan di dalam siri peringatan bekalan sepanjang hayat . Moga dengannya kita mampu menghimpun bekalan-bekalan yang akan menyelamatkan kita dari sebarang rupa keburukan yang kita khuatiri. Lebih utama yang kita harapkan, bekalan yang dikumpul akan meyampaikan kita kepada segala bentuk kebaikan. Di pertemuan kali ini kita akan dihidangkan dengan bekalan yang mempengaruhi sebahagian besar masa harian kita iaitu Sahabat Yang Baik Penyelamat Bencana”.

Ketahuilah Puteri-puteriku, Setiap diri muslim melalui perjalanan hidup yang berbagai ragam. Tidak berada di dalam suasana yang sama warnanya sepanjang masa. Ada kalanya kita mudah melakukan kebaikan. Ada kalanya kita ditimpa bencana hasutan syaitan dan perdayaan nafsu hingga menyeleweng dari keredhaan Allah. Oleh itu perkara yang berpengaruh kuat dan mampu menarik kita kembali ke jalan kebenaran adalah keteguhan persahabatan di jalan Allah. Disebabkan kekuatan luarbiasa terkandung di dalam persaudaraan Islam, maka perkara pertama yang Ar-Rasul Muhammad s.a.w laksanakan sewaktu berhijrah ke Madinah ialah mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar. Kekuatan yang dimaksudkan adalah anugerah Allah kepada setiap diri muslim yang merasai mereka telah diikat dengan keimanan. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Anfaal ayat 63 bermaksud  “Dan yang mempersatukan hati mereka(orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua kekayaan yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

Puteri-puteri Islam yang bertaqwa,

Kekuatan persaudaraan Islam yang begitu rupa akan mampu memperingatkan kalian sewaktu lemah dan leka. Seandainya kalian ditinggal bersendirian terkapai-kapai tanpa sahabat yang baik, kalian terdedah kepada kehancuran dan kebinasaan. Pada hakikatnya serigala akan menerkam kambing yang terpisah dari kumpulannya. Sudah tentu sahabat yang soleh (baik) tidak akan membiarkan kita bersendirian. Dia akan sentiasa mengingatkan kita kepada kebaikan. Seperkara lagi yang perlu diingat; setiap diri manusia merupakan cermin sahabatnya. Sekiranya sahabat yang kita pilih itu berakhlak mulia, maka kesannya kepada diri kita juga adalah kebaikan belaka. Sebaliknya andainya sahabat yang kita pilih itu berakhlak buruk, maka kita akan terdorong melakukan dosa dan kemungkaran. Ini bertepatan dengan maksud sabda Rasulullah s.a.w; Sesungguhnya sahabat yang soleh itu umpama penjual minyak wangi. Jika kita tidak membeli darinya, tetap kita akan menghidu bau wangi darinya. Sedangkan sahabat yang jahat pula, umpama tukang besi. Walaupun tidak terkena percikan api, tetap kita merasai bahang panas dan terhidu bau busuk darinya”. Dari itu sewajarnya kita perlu menentukan pilihan yang terbaik dalam bersahabat berdasarkan ketinggian iman dan taqwa.

anak-anak usrah

anak-anak usrah

Puteri-puteri Islam sejati!

Renungi secebis kisah dari sirah para sahabat Rasulullah saw  semoga dengannya terlihat jelas fungsi sahabat yang baik. Umar bin Al-Khattab mempunyai sahabat yang rapat dengannya bernama ‘Iyash bin Abi Rabi’ah. ‘Iyash memeluk Islam ketika waktu yang hampir dengan perintah berhijrah ke Madinah. Oleh itu imannya masih tipis ketika itu. Bagaimanapun ‘Iyash cuba menyertai hijrah bersama-sama Umar Al-Khattab. Di pertengahan jalan ibunya menghantar utusan untuk memujuknya pulang dengan ancaman ibunya akan terus-terusan berjemur di tengah panas tanpa beralih ataupun mandi. Hal itu membuat ‘Iyash khuatir dan hatinya berbelah bagi, bimbangkan keselamatan ibunya. Umar cuba memujuknya  “Usahlah terlalu khuatir akan ibumu. Selepas dua hari berjemur, badannya akan kotor dan dia pasti rimas . Tentunya dia akan mandi. Jika dia berjemur seharian di bawah mentari, pasti esok dia akan berteduh”. Disebabkan iman di hatinya masih lemah,  dia berkeras juga ingin pulang menemui ibunya. Umar hanya mampu memperingatkannya,  Wahai ‘Iyash, jika engkau pulang, pasti ditimpa bala’ dan cobaan”. Namun sahabat yang baik tidak tergamak membiarkan sahabatnya ditimpa kesusahan. Umar telah melakukan sesuatu yang dapat mengingatkan ‘Iyash walau dia tidak berada bersamanya. Disebabkan ‘Iyash tidak mempunyai unta, diberikanya untanya kepada ‘Iyash,Ambillah untaku ini. Semoga dengannya kau akan mengingatiku dan kembali bersama-samaku”. Sebaik-baik ‘Iyash pulang kepada keluarganya, dia telah dipukul dan disiksa. Hampir saja dia berjaya dipujuk meninggalkan Islam. Terlihat saja dia kepada unta Umar, ‘Iyash ingat kembali kepada iman dan Islam. Di situlah kekuatan erti persahabatan yang terjalin. Sahabat yang baik mampu menyelamatkannya dari bencana kufur.

Puteri-puteriku yang diharapkan membawa kebaikan kepada insan lain,

Bilamana kalian telah berjaya beroleh sahabat sejati berteraskan iman dan taqwa, perlulah diberi perhatian terhadap langkah-langkah yang menyuburkan ikatan ukhwah tersebut; * mengasihi saudara seIslam semata-mata kerana Allah * mengucapkan salam bila bertemu * sentiasa menziarahi terutama ketika sakit * sentiasa saling mendoakan * menolong ketika kesempitan * memenuhi jemputan * memberi ucapan tahniah dan takziah * saling memberi hadiah * tidak memutuskan silaturrahim dan memulaukan * bertolak ansur dan saling memaafkan * bermanis muka semasa bertemu * sentiasa jujur dan ikhlas inginkan kebaikan sesama saudara seIslam.

Puteri-puteri Islam Sejati!

Pada hakikatnya, persahabatan yang baik memerlukan perhatian dari kita untuk mengawalnya dari dirosakan oleh gejala-gejala liar sepetimana maksud sabda Rasulullah saw  “Janganlah kamu saling putus-memutus hubungan, janganlah kamu saling berpaling tadah, janganlah kamu saling benci-membenci, janganlah kamu saling berhasad dengki. Dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Dan tidaklah halal bagi seorang muslim berpaling dari saudaranya lebih dari tiga hari”. (HR Bukhari dan Muslim)

Wassalam.

Ummu Anas. Ibu yang sentiasa mendokan ketaqwaan kalian.

sumber : usrahkeluarga.blogspot.com

malu ….

Malu…. Apa makna malu ni ya ?? saya terpanggil untuk menulis tentang malu bila tiba-tiba tadi saya rasa ‘malu’ rahsia saya diketahui seseorang. Ntah…tak de ler apa sangat pun rahsia saya, cuma identiti saya di sebalik satu nickname yg saya gunakan di sebuah laman forum, sudah ada yang tahu…ngeh3…..hadoiii sukarnya nak menyamar di laman maya ini,  semuanya berkemungkinan  boleh diselongkar dan dibongkar rupanya…ngeh3….ntah, ta’taw.

Malu….. Apa makna malu ni ya ??

Malu ialah desakan perasaan seseorang supaya menghindarkan perbuatan keji dan melaksanakan perbuatan terpuji. Sumber rasa malu ini sebenarnya adalah dari kehalusan rasa hati dan jiwa yang meyakini bahawa gerak geri sentiasa ada yang memerhatikannya. Jesteru itu bila ada rasa malu, mereka akan menjadi manusia yang berhati-hati dalam bertindak. Malu juga dikaitkan dengan penjagaan maruah diri supaya tidak dipandang keji dan dihina nanti.

Katanya malu terbahagi kepada dua . Pertamanya adalah malu asli, iaitu malu yang menjadi tabiat diri semenjak dilahirkan lagi. Manakala maluyang  sejenis lagi ialah malu yang diusahakan melalui pendidikan mengenal Allah dan menginsafi diri sebagai hamba Allah. Kedua-dua jenis malu ini adalah akhlak yang baik dan menjadi perisai dari berbuat mungkar di dunia ini.

Sekiranya dipecahkan, malu manusia terbahagi kepada 3 bahagian :

1) Rasa malu kepada Allah

2) Rasa malu kepada manusia.

3) Rasa malu kepada diri sendiri.

Malu kepada Allah ertinya tunduk dan patuh pada segala perintah Allah samada patuh dalam mengerjakan suruhan ataupun patuh dalam menjauhi larangan. Orang yang memiliki sifat malu kepada Allah akan bersifat taqwa walau di mana jua dia berada. Mereka akan menjaga diri dari engkar kepada Allah sekalipun ketika bersendirian atau berada di tempat yang paling sunyi.

Teringat pada satu kisah seorang gadis yang menolak saranan ibunya supaya mencampurkan air dengan susu yang akan mereka jual nanti. Ibunya marah kerana meyakini tiada siapa yang mengetahui perbuatan mereka termasuk khalifah umar yang pastinya akan marah sekiranya perkara itu diketahuinya. Namun gadis itu dengan yakin menjawab bahawa Allah maha mengetahui sekalipun umar tidak tahu. Perbualan dua beranak itu telah didengari oleh Umar dan akhirnya gadis tersebut dijadikan menantunya.

Orang yang bersifat malu pada Allah akan menjaga keimanannya dalam apa jua situasi, sekalipun menjaga rasa malu itu menyebabkan dia menjadi rugi. Tapi hakikatnya dia tidak lah rugi bahkan dia digantikan keuntungan berlipat ganda di sisi Ilahi. Malu kepada manusia pula ialah seperti malu kepada keluarga, guru, teman-teman, dan ahli masyarakat sekeliling. malu itu tanda adanya iman, sesiapa yang tidak mepunyai perasaan malu biasanya mempunyai tingkah laku yang buruk dan perangai yang jelek. sabda Rasulullah saw ” malu itu tandanya iman, dan iman itu di dalam syurga. Kotor mulut itu dari kekasaran perangai dan kekasaran perangai itu di dalam neraka ” ( riwayat : imam Ahmad )

Islam menitik beratkan perasaan malu sesama manusia supaya dapat lahir rasa hormat menghormati dan kasih mengasihi di antara satu sama lain.

Maksud rasa malu pada diri sendiri ialah keinginan untuk menjaga maruah diri dan menjauhi perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah. Bila perasaan malu pada diri sendiri tidak ada, maka manusia cenderung untuk mengaibkan diri sendiri dengan perbuatan mungkar seperti berzina, menagih dadah, meminum arak, tidak menutup aurat, pergaulan bebas dan sebagainya. Mereka tidak kisah kehilangan maruah dan kehormatan diri. ” sesiapa yang melemparkan pakaian malu dari dirinya dan menjaga maruah diri, tiadalah umpatan orang bagi dirinya” (riwayat : imam Bukhari ).

selain itu terdapat juga malu yang dicela seperti malu berkata benar, malumenyuruh kepada kebaikan dan melarang berbuat kejahata, malu menuntut ilmu dan malu mentaati perintah Allah. Malu sedemikian dicela dan dimurka oleh Allah.

Marilah kita hiasi pribadi dengan rasa malu yang hakiki.

Remaja….anda tak selamanya muda…

Mengapa akak menangis? Seorang fasilitator bertanya kepada seorang kakak yang sudah berumur kira-kira 40an sambil beliau mengesat air matanya dengan tisu. Dia menceritakan bagaimana dia terpaksa menebalkan muka untuk pergi ke setiap rumah peneroka bagi mencukupkan kuota pelajar bagi mengikuti kem smart Exam yang diadakan. Bayaran yang dikenakan hanya rm25 untuk 3 hari 2 malam berbanding dengan kadar biasa rm320 sepanjang tempoh kem yang sama seperti itu di luar. Sambil beliau menyatakan perasaan terkejut melihat ada beberapa peserta yang tidak menghormati seorang ustaz ketika sedang memberikan kuliah subuh. Ada yang bangun tanpa meminta izin dan keluar dengan alasan belum mandi. Remuk benar hatinya melihat keadaan itu..

Mengapa ya?, motivasi sudah semakin banyak diberi, tetapi perilaku tidak juga berubah. Seolah-olah tidak memberi kesan kepada hati. Wang sudah banyak dilaburkan. Air mata sudah banyak kali mengalir keluar bila diceritakan tentang pengorbanan ibu dan ayah. Tetapi solat tetap juga culas..

ALlahu ALlah… adakah kerana hidup sudah terlalu selesa, kehendak mudah dipenuhi menjadikan diri lupa tentang erti kesusahan dan berkorban? Mungkinkah apabila mudah benar segala perkara yang dihajati dapat dinikmati menyebabkan dirimu lupa tentang kewajipan yang perlu dipenuhi?

Wahai remaja, belajarlah bersyukur. Perlukah menunggu malang datang bertimpa-timpa baru diri mahu beringat? Ibu bapamu tidak selalu berada di sisi selamanya untuk terus menyuap dan memberi selama-lamanya. Maka kerana itulah ilmu adalah harta yang paling berharga untuk masa hadapan.

Untuk mendapat kejayaan, bukan hanya dengan petikan jari. Kesenangan yang membaluti dirimu bukanlah hak milik yang perlu dibanggakan sedangkan ia adalah dari susah payah kedua orang tua. Cuba jawab di dalam hati apa yang sudah dibayar buat mengesat peluh ibu dan ayah yang membesarkan engkau selama ini hingga boleh dikenal orang sebagai remaja?

Ingatlah, getah yang ditoreh akan habis juga susunya, kelapa sawit yang dikerah semakin sedikit buahnya. Yang berkekalan dan akan membantu ibu dan ayah sehingga dikuburan adalah anak berilmu yang soleh serta solehah yang selalu mendoakan kesejahteraan menjadi amal jariah kepada mereka berdua.

Terkadang diri ini selalu juga menduga anak murid yang khusyuk mendengar celotehku,..nanti bila ayah dan ibu meninggal dunia siapakah yang akan memandikan mereka? Anda atau orang lain? Siapa pula yang akan mengkafankan mereka? Anda atau berharap pada orang lain?

Siapa pula yang akan menyolatkan mereka untuk memberikan penghormatan terakhir buat kenang-kenangan sebelum berpisah selamanya dari alam fana… Anda atau menunggu orang lain? Dan siapa pula yang akan mengusung mereka di tanah perkuburan, di tempat perpisahan yang kekal abadi.. Anda.. atau masih juga mengharapkan orang lain?..

Anak muridku berkaca juga matanya.. mungkin sedar (kuharapkan mereka benar-benar sedar). Hidup biarlah memberi makna.. agar ada sesuatu yang dapat kau jelaskan dengan yakin di hadapan ALlah nanti, bahawa dirimu sudah berusaha bersungguh-sungguh di dunia ini untuk menjadi seorang Islam yang berkualiti yang dapat membantu diri, keluarga, umat Islam dan agama-Nya ini khususnya..

http://jarumemas.blogspot.com

Watak Remaja Zaman Ini

Saya membeli buku ini pada akhir Disember tahun lalu. sebuah buku bersaiz sederhana setebal 47 halaman, dan diterbitkan bersama dengan sekeping vcd. Ia telah dijual pada harga RM15.00 sebuah. Tetapi isi kandungannya adalah lebih mahal dari itu…bahkan sangat mahal jika nak dibandingkan dengan nilai RM15.00….berapa sangat lah lima belas ringgit tu.

Ketika membaca judul buku tersebut, selera saya sudah tertawan untuk memilikinya. Sebagai guru yang saban hari bergaul dengan pelajar-pelajar remaja, buku kecil ini adalah naskah yang cukup berharga buat dikongsi dengan anak-anak murid tercinta. Januari lalu, Saya telah jadikan beberapa intipati penting dari buku ini sebagai slot muqaddimah saya sewaktu pertama kali memulakan kelas dengan pelajar tingkatan 5 .

Siti Fatimah adalah pelajar yang sederhana …..tetapi istimewa. Saya terpesona sebenarnya menyoroti perjalanan hari-hari pelajar benama Siti Fatimah ini. Dalam suasana ramai pelajar remaja yang hanyut dalam perkembangan semasa …dia kelihatan tradisional, tetapi sungguh berjaya dan membanggakan. Lihat saja bagaimana bijaknya dia menyusun waktu dengan begitu baik sekali. Ketika ramai orang lain yang mengeluh tentang kekangan masa dengan tanggungjawab yang menimbun, banyak rupanya yang mampu diusahakan oleh Siti Fatimah untuk peningkatan dan kemajuan diri sendiri. Masa yang Allah peruntukkan adalah sama saja bagi setiap manusia,  tetapi bagaimana caranya masa itu dimanipulasikan dengan baik, maka di situlah letaknya penentu kecemerlangan diri seseorang. Inilah yang Siti Fatimah lakukan dan istimewa sungguh pada pengamatan saya , remaja seperti Siti Fatimah begitu tenang menghadapi cabaran getir hidup sebagai pelajar.

Dia memilih untuk menutup harinya pada jam 12.00 malam. Cuma kadang-kadang masa itu dilajaknya sedikit sekiranya ada keperluan untuk menyiapkan tugasan. Namun yang pasti, dia bangun keesokan paginya pada jam 5.00 pagi. Seusai urusan dibilik mandi, dia akan berdiri di atas sejadah, mengadap kiblat dan ‘melepaskan’ dirinya kepada Ilahi. Cukup indah bila remaja seperti dia membuka tirai harinya dengan tiga solat sunat yang diwajibkan ke atas dirinya sendiri. Dia mendirikan solat sunat tahajud, solat taubat dan solat hajat sementara menantikan waktu subuh. Inilah rutinnya setiap hari yang dimulakan semenjak di tingkatan dua lagi. Kebiasaan ini dibentuknya sendiri sehingga dia tidak mampu meninggalkannya walau sehari. Tambahan pula bila dia sudah merasa nikmat dengannya…bagi Fatimah, solat-solat sunat ini menenangkan hatinya dan dia terasa seperti mendapat kekuatan dari Allah. Mungkin bagi yang telah melazimkan amalan solat-solat sunat ini merasa ia adalah biasa sahaja . Tapi bagi yang tak biasa melakukannya..tentulah sukar dan memerlukan daya tolakan dari dalam yang amat besar. Kata Siti Fatimah ” mula-mula kena paksa diri, lama-lama akan biasa dan jadi satu keperluan “.

Saranan saya, sesiapa yang berpeluang melihat buku ini dimana-mana, silalah memilikinya. Bacalah dan berseronoklah berkenalan dengan remaja yang memiliki watak cemerlang ini. Teladani bagaimana dia memupuk dan membajai cintanya kepada ilmu. Dia pelajar yang ‘dating sakan’ dengan buku-buku pelajaran, namun bukan bermakna sepanjang masa dia lemas dalam lubuk buku dan nota. Dia berkawan, menonton tv dan bersukan serta gigih memikul tanggungjawab kepimpinan di sekolahnya. Sebahagian malam pula digunakan untuk menghadiri kelas tusyen serta kelas tahfiz Al-Quran. Semua aktiviti disusun dan dilakukannya dalam batas keinsafan bahawa semuanya biar selaras dengan tuntutan agama.. maka semuanya kelihatan mudah baginya. Bila ditanya betapa tidak pernahkah dia merasa letih dan tertekan dalam hidupnya ? dia suka membawa kita memahami kedudukan niat dalam sesuatu amalan … niat yang ikhlas dan benar kerana Allah……saya rasa kagum dengan watak Siti Fatimah ini.

Saya sayu benar, ketika melihat anak-anak pelajar saya yang bakal menduduki peperiksaan besar tahun ini. Kelihatannya begitu tertekan dan agak keletihan dengan proses pembelajaran dan mengulangkaji yang dilakukan. Saya terkenang buku Siti Fatimah ini, dan berharap benar mereka dapat mengambil contoh dari watak remaja ini. Teladani bagaimana dia mampu menzahirkan ketenangan menghadapi tekanan pelajaran, hanya kerana hubungan istimewa yang dibinanya dengan Tuhan. Dan bagi saya pula sebagai seorang guru, apa yang utama dalam hal keberkatan seorang pelajar dan ilmu mereka, bukanlah dihitung pada banyaknya kiraan ‘A’ yang mampu diraihnya. Tetapi keberkatan adalah bila mana Allah redha dengannya, diredhai pula oleh ibubapa, guru dan teman-teman serta dia mampu beramal dengan ilmu yang dipelajarinya.

Saya doakan selamat berjuang untuk semua …. semoga Allah permudahkan.

my name is looper !

Kita terlalu tua sekiranya memiliki sifat tak larat membaca….tulisan ini untuk orang muda yang kuat seperti hamba…yang tak larat dan tua…kena patah balik la nampaknya….he..he

Siapkan kerja sekolahSemalam di kantin sekolah ada seorang guru yang marah-marah kerana ada muridnya telah lupa menyiapkan kerja sekolah yang diberikan olehnya. Bukan sorang dua yang lupa, malah 7 orang muridnya telah didenda berbaris di luar kelas, semuanya kerana mereka telah lupa membuat homework yang tak de le banyak sangat pun. Semalam saya juga turut menyinga kerana ada dua orang pelajar yang berkongsi buku rujukan, bila salah seorang telah lupa membawa bukunya..aaarrggh..ini bukannya pelik sangat , kejadian murid-murid lupa membereskan homework ataupun membawa buku nota ke kelas adalah situasi biasa bagi sebuah institusi bernama SEKOLAH..

Apa makna lupa ?? apakah semua lupa itu dianggap masalah ?? apa hikmahnya setiap manusia itu mesti ada sifat lupa ?? dalam satu cerita yang saya baca, penulis menyatakan bahawa penyakit lupa memang menimbulkan pelbagai masalah, namun ada juga lupa yang boleh mendatangkan kebaikan. Baca baki entri ini »

Cekodok Pisang & Kopi suam

Sewaktu Sarah (bukan nama sebenar) datang bertamu ke rumah saya pada suatu petang yang damai, saya sedang sibuk menyediakan juadah minum petang. resepi paling ummp kegemaran keluarga, iaitu cekodok pisang yang saya padankan dengan kopi o jenama Jantan. Ianya masih panas-panas lagi ketika saya hidangkan sejurus sahaja punggung Sarah singgah di kerusi kayu di ruang makan rumah saya .

Sebenarnya kedatangan Sarah adalah untuk membeli asam jawa kampung buatan mak mertua saya. Saya sebenarnya pengedar asam jawa terkemuka di sekolah saya. Sebagai Eksekutif Pemasaran untuk produk mak mertua, stok asam jawa memang agak banyak juga di rumah saya….itu yang Sarah suka, asam jawa kami high quality dan harga pun berpatutan pula. Tapi datangnya Sarah bukan sekadar untuk asam jawa sahaja…bukan juga datang untuk cekodok pisang dan kopi o saya…Sarah datang membawa cerita, cerita tangisan isteri yang berduka. Alahai..saya pun seorang isteri juga….saya memang alergik dengan cerita isteri dan airmata.

Sarah adalah jiran selang sebuah rumah dari rumah hamba. Sarah juga mek klate seperti saya. Dia dua tahun lebih muda tapi anaknya sudah lima. Dek kerana jelitanya dia, belumpun sempat ambil spm dah disambar putera lawa…fuyyooo kontraktor beb….poket dia ..fuuh!

Dah 17 tahun berhijrah ke sini…untungnya berkahwin pada usia muda. Seorang isteri muda seusianya sudah ada anak teruna remaja dan juga anak dara. Untuk itu saya rasakan saya sebenarnya jauh lebih ‘muda’…kerana anak-anak saya masih cumit-cumit semuanya..hee..he

Baca baki entri ini »

Menjauhi Mentaliti Dinasour

Ramai di kalangan kita yang mengenali dinasour. Ia adalah binatang yang besar tubuhnya lagi ditakuti. Ratusan ribu tahun dahulu, binatang ini menguasai dunia. Namun tiba-tiba berlaku kejadian yang menyebabkan ia pupus untuk selama-lamanya. Pakar-pakar sains tidak dapat memastikan apa sebenarnya yang berlaku, tetapi mereka pasti dinasour pupus kerana tidak dapat menangani perubahan .

Begitu juga apa yang berlaku pada burung undan di Monterey. Monterey adalah sebuah banar di California. Puluhan tahun yang lalu, pantainya dipenuhi dengan burung-burung undan. Burung-burung ini hidup dengan memakan perut dan usus ikan yang dibuang oleh para nelayan selepas ikan-ikan itu dibersihkan. Pada suatu masa, para nelayan menyedari mereka boleh mendapat keuntungan lebih jika menjual perut dan usus ikan kepaa pihak-pihak tertentu yang memerlukannya. Sejak dari tarikh itu, mereka tidak lagi membuang perut dan usus ikan kepada burung-burung undan.

Apa yang berlaku perlu dijadikan iktibar bagi diri kita. Burung-burung undan itu menjadi kurus kering dan mati satu persatu disebabkan mereka tidak berusaha mencari dan menangkap ikan. selama ini mereka hanya menanti para nelayan mencampakkan makanan. Mereka pupus hanya kerana suasana berubah, tetapi sikap mereka tidak berubah. Baca baki entri ini »