nasihat untuk da’ie (1)..

Al Syeikh Maulana Abul Hasan Ali al- Nadwi dalam risalahnya ‘Uridu an atahaddatha ila al ikhwan ( Aku ingin bicara dengan Al Ikhwan Al muslimin ). Beliau ini pernah menasihati Jamaah Al Ikhwan dengan nasihat ini ” wahai Ikwan Muslimin yang mulia ! Sasaran  dakwah ad deen dan tajdid Islami (pembaharuan Islam) itu bukanlah mudah. Bukanlah tujuan dan tumpuannya untuk menukar kerajaan semata. Tidak jua untuk mengubah satu suasana politik kepada suasana politik yang lain. Tidak  untuk menyebarkan pengetahuan dan ilmu, atau menghadapi buta huruf dan kejahilan, atau memerangi pengangguran, atau mengubati kecacatan masyarakat dan akhlak atau seumpamanya seperti yang diperjuangkan oleh para pejuang di Barat dan di Timur. Sebaliknya ia adalah seruan Islam yang merangkumi akidah dan akhlak, amalan dan siasah, ibadah jua kepribadian diri dan masyarakat. Ia meliputi akal dan jiwa, roh dan jasad. Ia bergantung kepada perubahan mendalam dalam hati dan jiwa, akidah dan akal. ia terpancar dari hati sanubari sebelum terbit dari pena, atau helaian buku, atau mimbar syarahan. Ia terlaksana dalam tubuh pendakwah dan kehidupannya sebelum dia menuntut dilaksanakan dalam masyarakat keseluruhannya.

Istimewa dakwah dan kesungguhan para nabi adalah ketulusan mereka dari memikirkan kepentingan kebendaan, hasil yang segera. Mereka tidak mencari dengan dakwah dan jihad mereka melainkan keredhaan Allah. Melaksanakan perintahNya dan menunaikan risalahNya. Akal dan pemikiran mereka tulus daripada amalan untuk dunia, mendapat kedudukan, menghasilkan kekuatan untuk keluarga dan pengikut, memperolehi kerajaan. Bahkan itu semua tidak pernah terlintas di fikiran mereka.

Adapun kerajaan yang tertegak untuk mereka dan kekuatan yang diperolehi pada masa itu hanyalah hadiah daripada  Allah. Ia sebagai jalan untuk sampai kepada matlamat agama, melaksanakan hukum hakamnya, mengubah masyarakat dan mengarahkan kehidupan.

Kata Abul hasan lagi : ” bukan sama sekali kerajaan yang diperolehi itu salah satu dari matlamat mereka. Bukan jua salah satu dari tujuan mereka, tidak jua daripada tajuk perbicaraan  mereka atau salah satu dari mimpi mereka. Hanya ia adalah hasil semulajadi dari kesuburan pokok dan kesungguhan pembajaannya.

Katanya : “wahai tuan-tuan, besar perbezaan antara matlamat yang dituju dan natijah yang muncul. Perbezaan ini akan zahir dalam jiwa yang bekerja untuk itu. Maka yang bertujuan mendapatkan kerajaan akan hilang kesungguhan dan diam apabila tidak memperolehinya. Dia akan berhenti daripada dakwah. Dia juga akan melampau jika berjaya. Bahaya bagi setiap jemaah yang pemikiran mereka dibentuk atas cinta ( mendapatkan) kerajaan (kuasa) dan bekerja untuk itu. Kerana ia akan menyebabkan mereka meninggalkan jihad di jalan dakwah atau telah terpaling dan terseleweng tujuan mereka. Sebabnya, uslub(cara) untuk mendapatkan kerajaan adalah berbeza dengan uslub dakwah. wajib bagi kita membersihkan akal dan jiwa kita semata-mata untuk dakwah. hanya dakwah, khidmat, pengorbanan, mengutamakan saudara muslim, mengeluarkan manusia dari segala kegelapan kepada cahaya, dari jahiliyah kepada Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasannya.

Daripada kekejaman agama-agama yang sesat, sistem-sistem yang zalim, mazhab-mazhab yang tidak menentu, kepada keadilan Islam dan lembayungnya. Faktor yang membawa kita kepada amal dan jihad hanyalah untuk menunaikan perintah Allah dan kemenangan pada hari akhirat, jua kerana apa yang Allah sediakan untuk hamba-hambaNya daripada ganjaran dan pahala. Kemudian faktor lain ialah simpati kepada makhluk, kasihan kepada insan yang terseksa, dan keinginan kepada keselamatan manusia.

Jika pada satu peringkat dakwah atau pada satu-satu masa – ( setelah prinsip-prinsip dakwah dan akidah kukuh dalam jiwa pendakwah) – tujuan dakwah tidak akan tercapai melainkan dengan kerajaan, maka kita akan berusaha untuk mendapatkannya.

Demi kemaslahatan dakwah, dengan jiwa yang luhur dan bersih, benar dan amanah, khusyuk dan tulus, sepertimana kita bersungguh dalam tanggungjawab dan rukun agama, jua ibadat-ibadat yang lain. Tiada beza bagi seorang mukmin antara kerajaan dan ibadat yang lain dengan ikhlas dan betul niatnya. Semua itu dalam redha Allah, kesemua pada jalan Allah. Kesemua ibadat yang mendekatkan diri pada Allah.

““““““““““““““““““““““““““““““““““““““`

tulisan ini adalah yang termuat dalam akhbar Fikrah (20-23 safar 1430) yang lepas. Ia terdapat dalam jawapan temubual penolong pengarang harakahdaily dengan bekas mufti perlis Dr Asri Zainal Abidin. Saya akui kekadang cukup terkesan dengan pandangan kritis beliau dalam beberapa hal termasuk isu politik negara. Agak menarik bila beliau titipkan nasihat dari Abul Hasan ini untuk difahami dan diamati oleh mujahid yang begitu ghairah dan bersemangat sekali bergerak dalam lapangan politik negara. Saya menilai ia mutiara nasihat yang sungguh mahal maka saya simpankan di blog saya ini dengan harapan ia boleh dirujuk dan diulang baca kemudian hari. Yang penting apa saja pandangan dan nasihat yang baik dan berguna, boleh kita renung dan kita resapkan dalam semua kerja buat kita khususnya dilapangan dakwah dan siasah ini. Semoga kita mempunyai pandangan yang jernih dan matlamat yang suci dalam berpolitik, disandarkan di atas aqidah yang benar serta hala tuju dan amal kerja yang diredhai….InsyaAllah

– ummuhanah –

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: