tabahlah wahai sahabat

Semuanya kehendak Allah, akak terima saja. Kalau ditentukan akak akan sembuh akak bersyukur. Tapi kalau Dia tentukan sampai di sini saja kehidupan akak ..pun akak redha.” kata-kata yang diucapkannya masih terngiang di telinga saya. Saya masih terbayangkan pandangannya yang sayu dan lemah sekali ketika menuturkan kata-kata ini kepada saya beberapa hari yang lalu.”cuma kalau akak ada apa-apa kesalahan pada enti, akak minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki, minta tolong doakan Allah jadikan akak sabar menghadapi semua ini sehingga ke akhir” satu persatu dia menyusun kata kepada saya sedangkan nafasnya turun naik kepenatan menahan sakit kanser ususnya. Dalam situasinya yang lemah serta rasa keterpaksaan menjalani rawatan kimo yang tidak dapat dia elakkan, dia masih cuba berbicara dengan saya dan berkali-kali memohon maaf sekiranya saya tidak selesa dengan bau najis dan darah yang mengalir dari rongga dibahagian abdomennya.

Tangannya saya genggam dan kucup dalam deraian airmata yang tumpah tanpa dapat saya tahan.. Tiada sepatah pun perkataan yang mampu keluar dari bibir saya bagi membalasi kata-katanya yang menyentuh hati, hanya kepala yang saya gelengkan sebagai menjawab bahawa dia tiada kesalahan apa-apa terhadap saya dan dia tidak perlu memohon maaf dengan saya.


Saya tidak tahu apa yang boleh saya tuturkan bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh sahabat saya ini. Sepertinya tiada lagi perkataan ….tiada lagi perkataan yang muncul difikiran saya bagi dilafazkan untuk memberi kekuatan kepadanya.Dia kelihatan sungguh menderita kesakitan. Sebelum ini ketika menziarahinya di rumah maupun di hospital saya sering menasihatinya bersabar dan sentiasa menyebut nama Allah.Tapi ziarah saya kali ini saya hanya mampu membisu dan berkali-kali mengucup tangannya yang saya genggam erat itu, sedang airmata ini terus mengalir laju. Tidak layak rasanya untuk saya memintanya ‘bersabar’ kerana jelas dia memang sedang mempertahankan kesabaran dengan segala kudrat yang ada padanya. Dia memang sangat sabar dan seandainya saya ditempatnya, tidak pasti saya beupaya untuk setabah maupun sesabar dirinya.Maka Jesteru itu, saya jadinya ‘terdiam’ sahaja. Cuma sewaktu mencium pipinya untuk meminta diri, saya sempat berbisik “kak, Allah ada dan sangat dekat dengan kita “.

Beberapa kali saya dan teman-teman yang lain berkesempatan menziarahi sahabat kami ini. Rakan guru yang Allah uji dengan ujian kanser usus yang dideritainya lebih setahun yang lalu. Dari seorang yang ceria dan cukup aktif di sekolah, dia sekarang semakin kurus, cengkung dan pucat dimamah kuman kanser yang tiada mengenal belas dan kasihan. Kami sekadar mampu berdoa dan bermohon pada Allah agar beliau sabar mengharungi segalanya dan InsyaAllah akan pulih semula.

Semalam bila saya menziarahinya untuk kesekian kali, dia lebih ceria dan agak manja. Dia meminta seorang dari kami menyuapkan kuetiaw goreng untuknya. Kami ada juga melarang kerana bimbang akan mendatang mudarat padanya, tapi dia merengek memintanya juga. Dalam derai tawa melihat gelagatnya, hasratnya itu kami tunaikan jua. Terasa lucu pula bila saya berseloroh ‘mempelawanya’ aiskerim, terus dia bulatkan matanya dan merengek ‘nak, nak…nak jugak”...katanya. Terpaksalah saya turun mendapatkan aiskerim untuknya. Kami sebenarnya senang bila dia meminta ‘untuk makan’ dan sebolehnya cuba memenuhi keinginannya.Ini kerana badannya kurus benar kerana selera yang hilang dek penangan kimoterapi yang cukup ‘menyiksakan’. Saya seronok melihat dia berselera menikmati aiskerim biarpun hati sangat sebak melihat apa saja yang masuk ke dalam mulutnya, sebentar kemudiannya akan meleleh keluar semula dari rongga luka di tepi pusatnya. Yang sangat pilu dan menyedihkan kami semua, bahagian perutnya melecet teruk kesan dari cecair darah dan najis yang sentiasa merembes keluar.

Pujian harus diberikan kepada pelajar banat yang setakat ini bergilir-gilir menjaganya di hospital. Semuanya susunan Allah, saya terharu dengan kebaktian yang ditunjukkan oleh sue, solehah, khaulah, wan nur, syuhada dan teman-teman mereka yang lain. Layanan yang mereka tunjukkan pada guru yang terlantar uzur sangat-sangat menyentuh hati. Tanpa merasa jijik atau mengeluh letih, mereka kelihatan sabar menguruskan guru yang sudah banyak kehilangan keupayaan diri. Hampir setahun lebih sahabat kami ini keluar masuk hospital beliau dijaga oleh anak-anak murid yang sentiasa melapangkan diri untuk mengurus guru mereka yang sakit. Ya Allah, kau rahmatilah murid-murid kami ini dan balasilah kebaktian mereka kepada kami dengan balasn syurgamu. Jadikanlah mereka pelajar kami yang sentiasa mendapar rahmat dan petunjuk dariMu.

Ya Allah, tabahkanlah hati sahabat kami yang mendapat musibahMu ini. Kau mudahkanlah baginya melalui detik getir menanggung peritnya kesakitan duniawi. Kurniakanlah kepadanya nikmatMu yang tidak terperi sekiranya ditakdir dia mengadapmu nanti. Ya Allah, Engkaulah yang memiliki alam ini dan kesemua isinya . Engkaulah yang memiliki kami dan menentukan setiap inci kejadian dalam kehidupan kami, kepadaMu kami bakal kembali, maka jadikanlah kami orang-orang yang berserah diri dan mendapat keampunan.

4 Komen

  1. alsyarqawi said,

    30 Mac 09 pada 11:55 am

    amiin Ya Rabbal ‘alamin

    assalamualaikum mlmh.

    sedih ana baca tulisan mlmh ni.hari tu datang islah pun mlmh ada cerita sikit.ana tumpang simpati sgt2.Allahu Rabbi,kadang-kadang ujian org disebelah kita lagi hebat daripada ujian yg menimpa kita.ujian yg sebenarnya menguji pendirian diri.

    hebat sungguh pelajar mlmh.moga doa mlmh dimakbulkan..moga Allah memberi kelapangan dan kemudahan urusan kita…

  2. ummuhanah said,

    31 Mac 09 pada 12:27 am

    amin….semoga doa anda dikabulkan….

    hebat ke pelajar mlh ?….adakah sehebat ana dalam cerita ‘keroncong utk ana tu ?….tapi rasanya ‘ana’ tu pun murid muallimah…😀

  3. rahman said,

    5 April 09 pada 5:19 pm

    assalamualaikum…….
    innalillahiwainna ilaihirajiun……..
    dari ALLAH kita datang,,,kepada ALLAH jualah kita pasti pulang…..
    takziah diucapkan…..semoga sahabat kakcik tu dikurniakan rahmat dan redha dari ALLAH….
    barsabarlah dengan ujian ALLAH….
    daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa seorang perempuan telah mengadu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai penyakit yang dideritainya. Menurut hadis tersebut, perempuan itu akhirnya memilih untuk bersabar sahaja dengan keadaanya agar dia memperolehi ganjaran yang lebih besar dengan bersabar. Perempuan itu berkata,“Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar menyembuhkanku.”
    Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika engkau mahu, aku akan berdoa kepada Allah bagimu, maka Allah akan menyembuhkanmu. Dan jika engkau mahu, maka bersabarlah dan (semoga) tiada hisab ke atasmu.”
    Perempuan itu pun berkata: “Pasti aku akan (memilih untuk) bersabar dan (semoga) tiada hisab ke atasku.”
    (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

    ketika abdullah ibn mas’ud menziarahi RASULULLAH sedangkan pada ketika itu RASULULLAH SAW sedang menahan sakit kerana demam….abdullah ibn mas’ud berkata,”Wahai Rasulullah, sungguh engkau kelihatan sedang menahan rasa sakit yang berat?” Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam berkata: ”Benar, sesungguhnya saya sedang menahan sakit sebagaimana dua orang di antara kalian.”
    Abdullah berkata: Saya berkata: ”Hal itu karena engkau mendapatkan dua pahala.” Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam menjawab: ”Benar”, kemudian beliau melanjutkan:
    ”Tidak ada seorang muslim tertimpa musibah baik itu sakit atau lainnya kecuali Allah menghapus kesalahan-kesalahnnya sebagaimana pohon menjatuhkan daunnya.” (HR. Bukhari-Muslim)

    maka bergembiralah wahai insan yang ditimpa musibah….apabila kita redha dan bersabar dengan ujian dari ALLAH….dosa2 kita akan diampunkan oleh ALLAH sepertimana yang telah di Sabda kan oleh RASULULLAH SAW, “Seorang muslim itu tidak ditimpa sesesuatu dari keletihan, penyakit, masalah (kebingungan), kesedihan (kerana kehilangan sesuatu), kesengsaraan dan duka cita sehinggakan (kepada) duri yang menusuknya (menyakitinya), kecuali Allah menghapuskan (mengampunkan) dengan semua itu daripada dosa-dosanya.”
    (Hadis riwayat al-Bukhari)

    wallahua’lam………

  4. ummuhanah said,

    6 April 09 pada 10:59 pm

    terima kasih Rahman untuk perkongsian ini. Kita berdoa dan mengharapkan sahabat kak cik itu akan tetap teguh dgn kesabaran di atas ujian Allah yang hebat ini. Jesteru kesabaran itu adalah sesuatu yang ringan diperkatakan tetapi amat berat untuk dipertahankan kecuali bagi orang yang benar keimanannya kepada Allah.

    terima kasih untuk tulisan rahman itu.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: