Hari esok Untuk Islam

Setelah kejatuhan empayar Islam Othmaniah, kita telah melihat beberapa siri penindasan dan kekejaman yang telah menimpa umat Islam sehingga hari ini. Umat Islam seolah-olah telah hilang taringnya yang tidak mampu melawan kekuatan musuh. Islam telah kehilangan rijal-rijal yang akan kembali membawa kegemilangan Islam. Pukulan hebat dan penangkapan serta penyembelihan berlaku pada umat Islam apabila umat Islam mula bangun cuba untuk menegakkan Islam kembali. Umat Islam seolah-olahnya kehilangan pedoman dan panduan apabila melihat kekuatan musuh yang begitu hebat.


Ramai di kalangan muslimin menyangkakan bahawa pada akhir zaman nanti akan berlakunya al fitan dan kerosakan di muka bumi. Mereka menyangka bahawa kekufuran beleluasa, kejahatan menguasai alam. Islam berada di dalam kemunduran dan penegak kebenaran dihina dan ditindas.

Sebenarnya ini merupakan satu tasawwur yang silap yang seharusnya diperbaiki. Kegelapan yang menimpa umat Islam kini tidak akan selama-lamanya. Fajar Islam akan menyinsing tidak lama lagi. Jahiliyah pasti akan runtuh di bawah kekuatan Islam. Islam akan sekali lagi menjadi pentadbir alam ini. Maka muslimin seharusnya merasa yakin dan tidak berputus asa dengan janji Allah bahawa Islam akan muncul mentadbir alam ini walaupun orang kafir cuba untuk menghapuskannya. Firman Allah Taala.” Mereka cuba untuk memadam cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya Nya walaupun orang kafir tidak menyukai” (at Taubah: 32)

Sebenarnya sikap berputus asa dan keluh kesah terhadap suasana yang menimpa umat Islam kini merupakan sikap yang sepatutnya dikikis. Umat Islam seharusnya merasa optimis dengan kejayaan yang bakal dihadapi oleh Islam pada suatu hari nanti.

Apabila kita melihat sirah perjuangan Rasulullah s.a.w, Rasulullah sering memberikan khabar gembira kepada sahabat tentang kemenangan-kemenangan yang bakal diperolehi oleh muslimin. Di dalam peristiwa hijrah, semasa Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, baginda telah berjanji kepada Suraqah yang telah cuba untuk membunuh Nabi dengan menghadiahkan kalung Kisra raja Parsi kepada Suraqah. Walaupun pada masa itu Islam masih lagi diperingkat awal, namun Rasulullah mampu menjanjikan bahawa Islam akan mengalahkan kerajaan Parsi.

Begitu juga semasa di dalam peperangan al Ahzab, ketika mana Rasulullah cuba memecahkan batu untuk menggali Parit. Rasulullah telah menyatakan kepada para sahabat bahawa Islam akan menawan kota-kota Yaman, Rom dan Parsi. Sedangkan pada ketika ini umat Islam sedang berada di dalam kegetiran berhadapan dengan jumlah musuh yang begitu ramai, tetapi Rasulullah s.a.w. mampu menjanjikan kepada para sahabat tentang kemenangan yang bakal diperolehi oleh mereka.

Dengan keyakinan inilah para sahabat berjuang bersungguh-sungguh untuk menyebarkan Islam di muka bumi ini dan seterusnya melaksanakan janji-janji yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada mereka.

Fajar menyinsing

Tanda-tanda awal telah kita lihat pada hari ini bahawa fajar Islam akan kembali bersinar tidak lama lagi. Kita melihat kebangkitan Islam telah mula bersinar di seluruh pelosok dunia. Umat Islam telah mula kembali kepercayaan mereka terhadap Islam. Dan musuh-musuh Islam telah mula bimbang dan khuatir dengan kebangkitan ini dengan menyebarkan dakyah bahawa

golongan-golongan ini merupakan ‘terrorist’ dan ‘fundamentalist’.

Kuasa-kuasa besar dunia semakin hari semakin hilang kekuatannya. Keruntuhan kerajaan Komunis Soviet Union dan kerajaan-kerajaan komunis yang lain merupakan satu petanda bahawa kekuasaan kekuatan musuh tidak akan selama-lamanya. Amerika Syarikat pada ketika ini telah mengalami masalah dalaman negara yang begitu teruk. Golongan remajanya yang bakal menjadi teraju kepemimpinan negara telah mengalami keruntuhan moral yang amat dahsyat. Amerika Syarikat yang mendabik dada kekuatan mereka sebenarnya merupakan negara yang menunggu saat-saat kehancuran seperti mana runtuhnya kerajaan komunis.

Ini merupakan bibit-bibit awal bahawa fajar Islam akan mula menyinsing dan akan menjadi penguasa alam ini. Kesedaran Islam telah mula tercerna di dalam hati-hati umat Islam. Pemuda-pemuda Islam di seluruh pelosok alam telah mula melaungkan slogan Islam. Kebangkitan Islam telah berlaku kepada umat Islam dalam bentuk fikri, akhlak, ekonomi dan jihad. Maka kita yakin bahawa Allah pasti akan bersama-sama mereka dalam menegakkan Dinul Islam ini.

Kekuatan yang dimiliki oleh Muslimin.

Sesungguhnya Muslimin mempunyai kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Penegakan Daulah Islam yang pertama di Madinah telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati umat Islam. Gerakan dan cara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah menjadi panduan kepada Muslimin hari ini untuk menegakkan Islam kembali. Perlu diyakini bahawa marhalah dakwah dan cara yang dilakukan oleh Rasulullah itu merupakan ‘Rabbani Taujih’ (panduan dari Allah) yang diberikan kepada Rasulullah sehingga Islam tertegak dengan megahnya dimuka bumi ini. Maka dengan bekalan pengalaman ini, muslimin mengatur langkah dalam menegakkan Islam kembali di muka bumi ini.

Selain daripada itu, muslimin mempunyai kekuatan yang tidak boleh dipandang lekeh oleh manusia. Kita boleh simpulkan bahawa muslimin mempunyai tiga unsur kekuatan yang mampu menggugat kekuatan musuh.

Pertama: Kekuatan kuantiti.

Islam pada hari ini mempunyai bilangan penganut yang hampir suku penduduk dunia yang tersebar di seluruh benua di dunia. Sesungguhnya jumlah yang ramai ini merupakan antara aset utama dalam menegakkan Islam. Ianya merupakan satu nikmat yang seharusnya di syukuri. Sepertimana firman Allah swt “Ingatlah, ketika kamu masih sedikit, kemudian kamu telah menjadi banyak…”(Al A’araf: 86).

Jamaluddin Al Afghani pernah berkata kepada rakyat India: “Jika sekiranya bilangan kamu yang berjuta-juta ini semuanya menjadi lalat, nescaya kamu mampu untuk menghancurkan telinga Inggeris.”

Kedua: Hasil Bumi.

Muslimin pada hari ini menetap di negara-negara yang amat kaya dengan hasil buminya. Negara yang yang kaya dengan minyak dan bahan galian yang lain serta tanah yang subur untuk pertanian. Semuanya ini merupakan kepunyaan muslimin.

Ketiga: Manhaj Rabbani.

Inilah kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Muslimin menyeru manusia kepada satu sistem yang mampu membawa keadilan dan kebahagiaan kepada alam sejagat. Sistem ciptaan manusia yang wujud pada hari ini sebenar telah membawa kepada kerosakan dan kesengsaraan kepada manusia. Manusia yang berfikir tidak akan sekali-kali menolak sistem Allah ini.

Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa kelemahan umat Islam ini tidak akan selama-lama. Islam sekali lagi akan mencapai kejayaan dan menjadi pentadbir alam ini.

Sikap kita

Kita sebagai pejuang agama Allah ini seharusnya mempunyai sikap yang optimis dengan kejayaan yang bakal di hadapi oleh Islam. Kita tidak seharusnya bersifat putus asa dan keluh kesah dengan suasana dan penindasan musuh terhadap umat Islam. Malah kita yakin dengan janji-janji Allah bahawa Allah akan memenangkan agamanya walaupun dihalang oleh orang-orang kafir.

Dengan keyakinan ini bukan bermakna kita akan berdiam diri dan berpeluk tubuh dengan menunggunya kemenangan yang dijanjikan oleh Allah. Tetapi dengan keyakinan ini, seharusnya kita mempergandakan amalan dan usaha kita dalam menegakkan agama Allah ini.

Janganlah umat mengimpikan kemenangan muslimin terhadap Yahudi sedangkan umat masih lagi berpecah belah, berselisihan dan pergaduhan. Janganlah umat berangan-angan dengan kemenangan sedangkan umat masih lagi bermalasan dan tidak bersungguh-sungguh.

Mustahil kemenangan diberikan kepada orang yang bermalasan dalam berhadapan dengan musuh yang berjuang bersungguh-sungguh menghancurkan Islam. Mustahil kemenangan diberikan kepada umat yang hanya meluangkan cebisan waktu untuk Islam dalam berhadapan dengan musuh yang meluangkan sepenuh waktu untuk meruntuhkan Islam. Maka cepat atau lewatnya kemenangan Islam adalah di bahu kita bersama yang akan dipersoalkan oleh Allah Ta’ala nanti.

Dan ingatlah kata-kata Saidina Umar kepada sahabatnya: ” Impikanlah” Seorang pemuda berkata: ” Aku mengimpikan jika sekiranya negeri ini dipenuhi dengan emas lalu aku infakkan pada jalan Allah.” Saidina Omar berkata lagi: “Impikanlah”. Seorang pemuda berkata: “Aku mengimpikan jika negeri ini dipenuhi dengan batu permata lalu aku infakkan pada jalan Allah.” Omar berkata lagi: “Impikanlah”. Mereka berkata: “Kami tidak tahu apa yang hendak dikatakan wahai Amirul Mukminin” Omar pun berkata: “Tetapi aku mengimpikan rijal seperti Abu Ubaidah bin al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim, hamba Abu Huzaifah. Lalu aku meminta pertolongan dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah”.

Itulah sebenarnya modal utama untuk kembali memerintah dunia. Seorang pemuda lebih berharga dan bernilai dari seluruh isi dunia. Maka pemuda inilah yang akan berjuang sehingga tertegaknya Dinul Islam ini. Wallahu A’alam.

http://abupas.blogspot.com/2008/10/hari-esok-untuk-islam.html

7 Komen

  1. thanaif said,

    1 Januari 09 pada 8:59 am

    Salam Puan.

    Tidakkah pemuda juga dilahirkan?

  2. wuzara said,

    3 Januari 09 pada 8:50 am

    Assalamualaikum wbt…

    Aset paling berharga yang pada ummat Islam untuk bangkit adalah fikrah(pemikiran) yang lahir dari aqidah yang dianutinya. Saya rasa inilah yang dimaksudkan sebagai ‘minhaj rabbani’ oleh penulis. Dengan pemikiran Islam inilah kita mempunyai mempunyai potensi yang sangat besar untuk bangkit sebagai super power untuk membumikan agam Allah ini.

    Hanya saja hari ini aliran pemikiran itu pelbagai. Ada pemikiran Islam yang saya kira terlalu sederhana dan tidak mencerdaskan. Aliran ini pada pandangan saya banyak dipengaruhi oleh unsur kalam dan falsafah. Akibatnya, ummat hilang dinamika dan kecerdasan berfikir kerana pemikiran Islam mereka diserabuti idea2 dari tamadun yunani dan hindu.

    Ada juga aliran pemikiran yang pragmatik. Aliran ini menyesuaikan Islam dengan situasi semasa yang nyatanya diatur oleh ideologi kaptalisme. Golongan pragmatik ini sebahagiannya adalah pembebek pemerintah kufar dan sebilangannya yang lain adalah pejuang2 Islam yang ikhlas tetapi belum mempunyai pemikiran Islam yang jernih.

    Hanya dengan pemikiran Islam yang jernih-tidak dipengaruhi apa2 unsur luar selain Islam, tidak mengkompromi sezarah dengan sistem yang sedia ada dan hanya menggunakan Islam 100%- dapat memandu kepada kebangkitan yang benar. Kerana asas kebangkitan adalah bergantung kepada bagaimana manusia melihat hakikat penciptaan manusia, alam dan kehidupan ini. Inilah yang dikatakan minhaj rabbani yang ada pada Islam yang tidak dipunyai oleh agama dan ideologi lain.

    Kekuatan2 lain seperti hasil bumi, kuantiti, geoografi yang strategik adalah kekuatan2 tambahan yang menambah kuat ummat Islam. Apa pun selagi mana tidak digembleng dengan kecemerlangan pemikiran Islam yang jernih, maka kekuatan2 tadi umpama buih-buih di lautan. Kekuatan sebenar itu hanya akan terbukti apabila kita semua disatukan dibawah naungan khilafah ala minhaj nubuwwah.

    Wallahua’lam.

  3. ummuhanah said,

    3 Januari 09 pada 11:26 pm

    salam thanaif…

    saban hari bahkan saban waktu ada saja insan dilahirkan atas nama islam. Mereka lahir dengan status islam baqa tapi tidak mengerti apa tanggungjawab mereka di atas status islam yg dimiliki. maka islam pada mereka tinggal sekadar slogan dan istilah sahaja.

    Saidina Umar impikan rijal yang hebat dan membariskan nama-nama yang terbukti hebat dalam hal jihad utk agama mereka. Maka pengajaran yang boleh kita ambil mungkin, bukan kuantiti pemuda yang diharapkan dalam hal membela agama yang suci ini….bahkan kualitilah yang menjadi penyebab kepada kejayaan meninggikan kalimah Allah.

    salam wuzara….

    bernas pandangan anda, saya setuju…umat islam harus memiliki pemikiran islam yang jernih, yang terpandu dengan ajaran Islam yang syumul.

    Semua pasti bersetuju bahawa kekuatan sebenar umat Islam adalah pada kesatuan. sedangkan kesatuan hanya boleh terhasil jika formulanya betul. Dua kabilah besar di Madinah iaitu Aus dan Khazraj disatukan di atas formula iman dan taqwa, biarpun sebelum memeluk Islam keduanya sering bertelagah dan bersengketa, tapi iman dan taqwa menyatukan mereka, menghapuskan kepentingan diri dan kelompok masing-masing dan menjadikan matlamat hidup mereka berubah.

    Tapi pada hari ini perpecahan umat Islam cukup dashat biarpun mereka dari rumpun akidah yang sama. Ia berpunca dari perbezaan pendapat yang berlaku hampir dalam setiap perkara samada politik, sosial, ekonomi dan beribadat. Allah mengingatkan umat Islam supaya berpegang teguh pada tali Allah, tetapi mereka memilih utk bergayut pada tali-tali yang reput. Inilah yang menjadikan mereka lemah dan ‘terputus’ dari jalan Allah.

    Sekalipun perbezaan pendapat atas perkara ranting dibenarkan namun begitu lebih banyak hadis-hadis sahih dan ayat-ayat Allah yang melarang perpecahan dan perbezaan dalam masyarakat Islam. Sebagai contoh dalam surah as-syura ayat 13 ” Disyariatkan kepada kamu tentang agama apa yg disyariatkan kepada Nuh dan apa yang Kami wahyukan kepadamu dan apa yang kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa iaitu, tegakkan lah agama dan jangan kamu berpecah belah.

    Antara kejayaan besar salahuddin al Ayubi adalah menyatukan umat Islam pada masa itu yg sedang berpecah sehingga berjaya mengerahkan seluruh kekuatan umat Islam bagi menghadapi musuh. Perpaduan ini menggegarkan musuh dan melumpuhkan sama sekali kekuatan tentera salib sehingga berjaya merampas semula Baitul Maqdis dari mereka. Begitulah hasil kekuatan yang terbina dari perpaduan umat Islam seluruhnya.

    Kekuatan inilah yang ingin kita cari. Kejayaan ini terhasil kerana mereka memiliki formula yang sangat hebat yakni Islam. Jika ummat Islam dapat kembali kepada agama dan bersatu dibawah nama agama pasti kita dapat mengumpulkan semula kekuatan ummah yang pernah dilakar oleh tokoh-tokoh jihad terdahulu. Formula Islam yang dibawa oleh baginda nabi saw pasti mampu melahirkan lebih ramai lagi salahuddin al-Ayubi yang akan membawa obor Islam ke seluruh pelusuk dunia….memang menakjubkan sekali, saya berdoa impian ini bukan sekadai igauan saya ditengahari… Allahuakhbar !

  4. wuzara said,

    5 Januari 09 pada 9:15 am

    Perbezaan pandangan politik antara pelbagai pemikiran Islam hari ini tidaklah serumit untuk mengkompromikan antara syiah dan sunni. Kerana perbezaan pandangan antara syiah dan sunni melibat aspek fundamentan Islam seperti periwayatan hadith, sahabah dan perkara-perkara lain yang terjadi pada zaman khalifah2 terawal.

    Sedangkan perbezaan padangan politik antara pelbagai gerakan Islam hari ini terbagi kepada 2. Pertama perbezaan yang sememangnya dibangun atas ikhtilaf yang syar’ie. Sewajarnya kita berlapang dada dalam hal ini. Ianya persis ikhtilaf antara 4 mazhab.

    Sedangkan perbezaan pandangan kerana terpengaruh dengan idea-idea tidak Islami, ini bukan ikhtilaf yang syar’ie, tetapi tanakut(pertentangan). Tidak pelik, sebagai pihak yang kalah saat ini, ummat Islam terpengaruh dengan idea-idea si pemenang kapitalisme. Untuk itu, pengkajian yang mendalam dan penuh jujur adalah satu-satunya jalan untuk keluar dari perangkap ini. Satu pihak harus menerima kesilapannya dan satu pihak yang lain wajib terus mempertahankan Islam hatta sampai menggigit akar kayu.

    Apa pun, memandang ia hanya perbezaan fikrah politik ianya boleh diselesaikan apabila ummat mempunyai institusi politiknya, iaitu khilafah. Kaedah syara’ menyatakan amrul imam yarfa’ul khilaf. Tambahan pula, sebagai pihak yang menang pada masa itu, tiada masa untuk kita mengimport idea luar dari Islam. Betul tak…

  5. thanaif said,

    5 Januari 09 pada 12:37 pm

    Mencelah boleh?

    Parti PAS yang terketrampilan andai diperhalusi pandangan wuzara.

    Ke dua bahasa juga menonjolkan sikap dan entiti natijah berfikrah siasah lantaran warga bukan hanya sejenis kumpulan tetapi juga kumpulan yang tidak pintar berpeluang untuk dipandaikan.

    Ke tiga sikap terhadap makna Kasih Sayang terhadap golongan yang tertindas yang telah 60 tahun tidak didepani dengan penuh penghormatan oleh muslimin yakni Gazza.
    Senario kebergantungan kepada pemahaman kebertanggungjawaban sesama insan bukan semata-mata menuntut persamaan tetapi bagaimana perlaksanaan kebersamaan diproseskan. Mahu tidak mahu demokrasi yang menafikan pihak yang dilahirkan olehnya juga mencabar untuk dianuti fikrah politik.

    Tidak semua idea dari luar Islam tidakboleh dimanafaatkan.

  6. ummuhanah said,

    6 Januari 09 pada 12:37 am

    salam wuzaraa…akak setuju kebanyakan pandangan anda cuma tidak 100% pada perenggan yang akhir. ..tapi bukan pula bermakna menolak 100% …😀

    Cumanya wuzara, anda seperti sering membayangkan ‘kesempurnaan’ tanpa cela sekiranya kita di dalam khilafah … pastinya itu bukanlah gambaran yang wajar sekiranya kita mengambil kira sejarah kekhilafahan umat islam terdahulu. Selepas generasi sahabat yang unik, tiada lagi zaman yang solid utk umat islam. Setiap zaman pasti ada kecacatan dan kesilapan, termasuk keilatan dari khalifah sendiri. Namun saya sudah yakin, khilafah adalah sistem pemerintahan yang terbaik, bahkan teman-teman saya dari pas juga bersetuju utk ini.

    tak nak taksub dengan pandangan sendiri, akak cuma ingin berkongsi sesuatu yang mungkin boleh mententeramkan hati kita….InsyaAllah.

    Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu juga mengatakan: “Barangsiapa di antara kalian yang ingin meneladani, hendaklah meneladani para Shahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Karena sesungguhnya mereka adalah ummat yang paling baik hatinya, paling dalam ilmunya, paling sedikit bebannya, dan paling lurus petunjuknya, serta paling baik keadaannya. Suatu kaum yang Allah telah memilih mereka untuk menemani Nabi-Nya, untuk menegakkan agama-Nya, maka kenalilah keutamaan mereka serta ikutilah atsar-atsarnya, karena mereka berada di jalan yang lurus.” [Dikeluarkan oleh Ibnu Abdil Baar dalam kitabnya Jami’ Bayanil Ilmi wa Fadhlih II/947 no. 1810, tahqiq Abul Asybal Samir az-Zuhairy]

    Imam al-Auza’i rahimahullah (wafat th. 157 H) mengatakan: “Bersabarlah dirimu di atas Sunnah, tetaplah tegak sebagaimana para Sahabat tegak di atasnya. Katakanlah sebagaimana yang mereka katakan, tahanlah dirimu dari apa-apa yang mereka menahan diri darinya. Dan ikutilah jalan Salafus Solih, karena akan mencukupi kamu apa saja yang mencukupi mereka.” [Syarh Ushul I’tiqaad Ahlis Sunnah wal Jama’ah 1/174 no. 315]

    Beliau rahimahullah juga berkata: “Hendaklah kamu berpegang kepada atsar Salafus Solih meskipun orang-orang menolaknya dan jauhkanlah diri kamu dari pendapat orang meskipun ia hiasi pendapatnya dengan perkataannya yang indah.” [Imam al-Aajury dalam as-Syari’ah I/445 no. 127, di-shahih-kan oleh al-Albany dalam Mukhtashar al-‘Uluw lil Imam adz-Dzahaby hal. 138, Siyar A’laam an-Nubalaa’ VII/120]

  7. ummuhanah said,

    6 Januari 09 pada 12:47 am

    salam Thanaif….

    waah.. tajwid bahasa melayu anda tinggi sekali…. terkesima saya jadinya 😀

    saya tak berani nak respon….sebetulnya saya takut ‘tersalah’ pemahaman pada pandangan anda, jadi saya sangat hargai jika ia dihidang dalam olahan yang mudah. Saya ingin sangat-sangat utk memahaminya…

    Namun begitu, InsyaAllah…saya juga ada sesuatu yang ingin dikongsi dgn anda di sini.

    Ali bin Fudhail berkata kepada ayahnya, “Wahai ayahku, betapa manisnya perkataan para Sahabat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Salam.”

    Ayahnya berkata, “Wahai anakku, apakah kamu mengetahui apakah yang menyebabkan perkataan mereka menjadi manis?”

    Ali menjawab, “Tidak wahai ayahku.”

    Ayahnya berkata, “Karena dengan perkataan tersebut mereka menginginkan Allah.”

    Abdullah bin Muhammad bin Munazzil bercerita, bahwa Hamdun bin Ahmad pernah ditanya : “Kenapa perkataan salaf lebih bermanfaat daripada perkataan kita?”

    Hamdun menjawab, “Karena mereka berbicara demi kemuliaan Islam, keselamatan jiwa-jiwa dan keridhaan ar-Rahman. Sedangkan kita berbicara demi kemuliaan diri sendiri, mencari dunia dan kebenaran di hadapan manusia.”


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: