gambaran kehidupan sahabat….

Sesiapa yang ingin mencontohi seseorang, maka ambillah contoh daripada mereka yang telah mati. Kerana orang yang masih hidup belum terjamin kesudahannya “
Saya menjamah beberapa kisah sekumpulan manusia agung yang pernah melalui realiti hidup bersama kekasih Allah yakni Rasulullah saw. Mereka ini adalah manusia yang sangat beruntung, ummah yang terbaik, digelar generasi Al-Quran yang unik. Mereka unik kerana generasi merekalah paling unggul dan yang satu-satunya, bahkan tidak ada lagi generasi yang lebih baik dari mereka selepasnya.
Sahabat Rasulullah umpama bintang-bintang di langit. Mereka simbol keindahan dan menjadi petunjuk dalam kegelapan. Sekiranya rajin menyusuri sejarah kehidupan para sahabat, kita pasti menemukan keajaiban dalam hal sikap dan kepribadian mereka yang mungkin tidak tergambarkan oleh kita. Tapi itulah realitinya.
Kisah kehebatan iman mereka terhadap Allah dan rasulnya bukan cerita khayalan atau gambaran ilusi yang sengaja direka. Ia adalah realiti dan penuh pengajaran untuk dikutip sebagai madu penawar bagi penyakit jiwa yang kosong.
Memang benarlah, kisah sahabat yang sarat dengan cerita iman dan perjuangan, mampu membangunkan kembali jiwa yang letih dan longlai. Ia juga melahirkan rasa insaf tentang kecilnya dugaan yang ditempuh jika kita cuba nisbahkan dengan ujian utk para sahabat dulukala. Ia mampu menyedarkan kita bahawa ujian adalah untuk mendekatkan kita kepada Allah dan kembali berpegang teguh pada taliNya. Kisah mereka penuh motivasi bahawa yang dinamakan perjuangan itu bukan dalam suasana tenang dan senang lenang.
Buku 65 Gambaran Kehidupan Sahabat oleh Dr. Abdul Rahman Ra’at Al-Basha telah saya soroti ketika masa lapang petang tadi. Sambil menemani puteri kecil saya tidur saya membaca beberapa kisah yang sungguh hebat bahkan boleh menggetarkan jiwa. Cukup tersentuh dengan getirnya perjalanan Salman Al-Farisi dalam mencari agamaNya. Malah saya terpalit rasa sayu yang amat sangat menyelami kehebatan perasaan beliau ketika pertama kali bertemu dan memeluk baginda Rasul…masyaAllah.
Buku ini menjadi sebahagian dari teks usrah di sekolah dan saya memiliki jilid 1 dan 2. Memang indah dan mengujakan kisah-kisah sahabat yang termuat di dalamnya.
Mungkin anda pernah mendengar nama Abu Sufyan bin al-harits. Beliau mempunyai perkaitan yang sangat rapat dengan baginda Rasulullah saw. Bapanya, al-Harits adalah saudara kandung kepada Abdullah bin Abdul Mutalib, yakni bapa nabi. Maka beliau adalah sepupu nabi, dilahirkan pada zaman yang sama dan membesar dalam satu keluarga. Rakan sepermainan yang sangat rapat dgn baginda bahkan keduanya disusui oleh Halimah as sa’diyah.
Abu Sufyan dikatakan ahli keluarga yang paling mirip dengan nabi. Memiliki hubungan serapat itu sepatutnya beliau menjadi orang paling cepat dan paling hadapan beriman pada Rasulullah saw. Namun sejarah tidak pula dilakarkan sebegitu.Tatkala baginda rasul zahirkan dakwahnya, api kebencian dan kemarahan Abu Sufyan telah menukarkan persaudaraan dan persahabatan kepada permusuhan. Beliau memerangi Rasululah dan muslimin, mengenakan siksaan, mencela dan menghina Rasulullah dalam syairnya. Jika ada saja ruang untuk mengenakan Rasulullah dan muslimin, beliau pasti melakukannya.
Permusuhan terhadap nabi selama 20 tahun itu diisi dengan segala bentuk kejahatan dari Abu Sufyan demi menggagalkan dakwah baginda.Kejahatan dan keburukan Abu sufyan terhadap nabi memang sangat hebat dan diketahui umum. Namun begitu, kesudahan hidup manusia tiada siapa yang mampu menelahnya. Tidak lama sebelum pembukaan kota mekah, beliau telah memilih utk meninggalkan kehidupan kufurnya dan beriman kepada Allah dan Rasulnya. Biarpun diawal pengislamannya dikisahkan baginda telah berpaling muka darinya lantaran terguris dengan sikap buruknya terhadap dakwah baginda, namun akhirnya baginda kembali meredhainya, dan Abu Sufyan telah mengecapi penerimaan baik dari Rasulullah sejak peristiwa peperangan Hunain.
Abu Sufyan telah menghabiskan sisa hidupnya menyesali detik hitam ketika jahiliah dan menghabiskan siang malamnya dengan al-Quran. Beliau tidak mampu mengangkat muka memandang Rasul lantaran malu dengan dosanya dulu, sedangkan sejak pengislamannya, dia langsung tidak terlibat dengan kesalahan.Bahkan baginda Rasulullah saw pernah berkata ” Abu Sufyan bin Al-harits adalah penghulu pemuda syurga…”…
MasyaAllah, lihatlah bagaimana cahaya islam meyelamatkan Abu Sufyan, malah cahaya Islam juga telah menyelamatkan beberapa lagi manusia yang dulunya begitu hebat menentang perjuangan islam. Bukan calang-calang penentangan yang dikenakan oleh mereka. Siksaan kejam, kezaliman, penghinaan dan pembunuhan yang dilakukan kepada muslimin biar bagaimana dashat sekalipun tetapi akhirnya cahaya islam telah dapat meyelamatkan mereka. Kisah Washi dan Hindun yang berpakat membunuh saidina Hamzah, kisah Ikrimah Bin Abu Jahal yang hebat memerangi nabi , kisah Khalid Al-Walid dan beberapa kisah individu lain lagi yang mempunyai sejarah hitam memerangi muslimin dan dakwah nabi, namun akhirnya Islam telah memuliakan kesudahan hidup mereka didunia ini. Mereka tetap dijanjikan syurga dengan keimanan mereka itu.

Inilah yang dikatakan keindahan hidayah Allah dan diberikan kepada siapa saja yang diinginiNya. Cahaya Rasulullah telah meyelamatkan mereka dari api neraka. Mereka akhirnya beriman kepada Allah di atas jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Hati manusia mungkin lebih keras dari batu, tetapi cahaya Allah pasti mampu mencairkannya. Ketika cahaya Allah sampai tiada manusia yang mampu menahannya. Sejahat mana pun manusia dan sekuat mana pun penentangan mereka terhadap agama Allah, namun jika Allah berkehendakkan kebaikan ke atas mereka, nescaya Allah akan meyempurnakan cahaya iman itu kepada mereka.
Semoga kita menjadi pilihan Allah untuk disempurnakan keimanan dan mampu melihat kehidupan ini dengan lebih bermakna. ..Amin

12 Komen

  1. wuzara said,

    19 Disember 08 pada 2:30 pm

    Assalamualaikum wbt…

    Membaca kehidupan para sahabat, seringkali menimbulkan rasa bersalah dalam diri. Siapakah kita untuk tidak berjuang paling tidak seperti mereka?

    Abdul Rahman Al Auf yang berjihad dan berkorban apa saja untuk Islam dikhuatiri Nabi meniti titian Siroth dengan merangkak. Waduh, bukan mudah menggapai jannah.

  2. ummuhanah said,

    23 Disember 08 pada 3:31 pm

    Wa’alaikum salam wbt…..

    Berjuanglah semampu yang boleh itu jauh lebih baik dari menjadi pemerhati sahaja.

    Sahabat adalah golongan yang beruntung. Mereka sudah berhasil menempa tempat di sisi baginda di syurga. Bayangkanlah ‘keberuntungan Abu Sufyan’. Biarpun sebahagian usianya dihabiskan utk menzalimi agama Allah tapi Allah telah memilih utk memberi kesudahan yang baik baginya. Sedangkan diri kita, sekalipun secara realitinya kita memasuki agama Allah seawal mula lahir ke dunia, mengerjakan solat lima waktu ketika masih muda, sentiasa berusaha utk memperjuangkan agama Allah, tidak pernah menyimpan permusuhan terhadap agama yang suci ini …. masih kita tidak tahu nasib yang bakal menimpa kita nanti. Kita cuma ada bekalan doa dan rasa baik sangka kita pada Allah bahawa Dia juga akan memberi kesudahan yang baik utk kita…InsyaAllah.

    Saya pernah mendengar bahawa amalan yang baik walau bagaimana banyak sekalipun tidak mampu membayar tiket utk ke jannah. Hanya rahmat Allah yang mampu membawa kita ke syurgaNya. amalan yang dilakukan hanyalah sebagai pembuktian rasa patuh dan keikhlasan kita dalam cinta kepada pencipta.

    Semoga kita menjadi hamba Allah yang mukhlisin, kerana sifat ikhlas saja yang mampu menjadikan segala amalan baik disukai Allah dan menjadikan godaan syaitan lemah .

  3. pak ndak said,

    2 Januari 09 pada 8:26 am

    nampaknya ummuhannah meminati sirah RasulAllah S.A.W. Saya juga meminati sirah Rasul sbb byk pengajaran yang kita dapat ambil dari kisah Rasul dan sahabatnya. Tadi sy baca kisah Rasul dalam kitab ‘Al Raheeq Al Makhtum’ oleh Sheikh Sofiy Al Rahman Al Mubarakfuri’. Sy tertarik dengan kisah perang Uhud yang mana para Sahabat sedaya upaya melindungi RasulAllah. Sy hampir menitiskan air mata apabila bagaimana Talhah bin Abdullah melindungi Rasulullah. Dia seorang melawan 9org musyrik mengagumkan demi menjaga Rasulullah dari disakiti. Al Tarmizi meriwayatkan, Rasulullah S.A.W bersabda: “siapa ingin melihat seorang syahid sedang berjalan di muka bumi ini, tengoklah Talhah bin Abdullah”.
    Beza sungguh para Sahabat berbanding dengan kita. Kalau ummuhannah berkesempatan bacalah buku nie. Kitab sirah terbaik, sedap buku nie. Buku kuliah sy banyak yang doktor rujuk dari kitab nie. Jadi sy ada exam utk mada sirah 15jan nie. Sy harap ummuhannah doakan kejayaan sy. Amin ya Rabb

  4. ummuhanah said,

    3 Januari 09 pada 11:46 pm

    salam Pak Ndak…semoga berjaya dalam exam nanti.

    Sejarah Islam mengandungi banyak khazanah pengajaran bagi umat Islam.
    Sewaktu di persekolahan menengah saya sudah mengenali nama washi dan Hindun yang menjadi penyebab utama dalam kisah pembunuhan ke atas saidina Hamzah. Saya juga membaca betapa berdukanya Rasulullah saw dengan kesyahidan bapa saudaranya itu. saya juga menjamah hidangan kisah tentang Hindun yang bertindak kejam ke atas Jenazah saidina Hamzah dengan merobek dada dan memamah hatinya kemudian memuntahkan semula. saya kira muslim mana yang membaca kisah penghulu syuhada dari perang Uhud itu pasti meluap-luar rasa kemarahan kepada Washi dan Hindun, dan mungkin membayangkan mereka bakal dilaknat Allah dan menjadi penghuni neraka diatas perbuatan mereka itu…
    Namun terkemudiannya saya membaca kisah yang cukup menarik tentang mereka. Islam akhirnya menjadikan mereka mulia dan menghapuskan kesalahan yg pernah dilakukan. Sejarah mengkisahkan bahawa keduanya mati dalam keadaan berpegang pada aqidah yang dibawa oleh rasulullah. Bahkan washi yang pernah membunuh manusia yang terbaik yakni hamzah juga merupakan pembunuh kepada manusia yang terburuk yakni Musailamah.

    Begitulah cahaya Islam merubah ‘rupa’ seorang insan. Jika manusia yg sarat dengan kesalahan sekalipun datang dan berteduh dibawah limpahan cahayanya, pasti mereka jua tetap mendapat jaminan keselamatan kehidupan ketika bertemu Rabb nanti. Maka lupuslah nilai kejahatan sebelum ini.

  5. pakoz said,

    29 Januari 09 pada 4:09 pm

    salamz… sori menyampokkan diri sikit.. kalau kita renung2 d sisi yang lain… Zaman rasulullah saww adalah zamannya penerusan Agama allah bermula dari Adam as. Muhammad al musytofa adalah Rasul yang terakhir yg Allah utuskan untuk menyampaikan RisalahNya melalui kalamullah..iaitu Al-Quran. Dan kalau kita renung2kan balik.. para sahabat bukanlah apa2 bagi Rasulullah kerna Nabi dan Rasul itu berada setiap hari dengan mereka. Dan umat yang lebih utama yang kita terdengarkan ialah d zaman selepas wafatnya Rasul saww sampailah kepada kita hari ini.. kerna kita beriman dengan sepenuhnya walaupon kita tak pernah melihat Nabi dan Rasul saww. macam mana? Setuju tak? sori.. menyampok jew…

  6. ummuhanah said,

    31 Januari 09 pada 9:39 pm

    memang benar umat muhammad adalah umat terbaik bahkan ‘kita’pernah mendapat pengakuan kasih sayang dari baginda Rasul jesteru keimanan kita kepada baginda sekalipun tidak pernah menatap wajah apatah lagi hidup bersama baginda. Tapi jangan kita lupa akan kata-kata baginda bila dibuat perbandingan keimanan sahabat dengan keimanan kita.Bukankah Baginda pernah mengatakan bahwa jika ditimbang keimanan penduduk dunia dan dibandingkan dgn timbangan keimanan Abu Bakar nescaya timbangan iman Abu bakar lebih berat.Begitu juga keimanan Bilal Bin Rabah yang cuma baru menerima beberapa potong ayat Al-Quran dari Rasulullah saw, berbanding kita yang mendapat 6666 ayat A-Quran serta beribu-ribu hadis baginda saw, di mana keimanan kita berbanding saidina bilal ?….

  7. 6 Mei 09 pada 7:12 pm

    Kalau antum lihat, Musa as meninggalkn kaum beliau as selama 40 hari untuk ke Tursina, dan mereka mula menyembah berhala kembali… Umat manusia yg tidak mahu mengikuti Noh as yg hanya 70 org yg tinggal d dalam Perahunya Noh as, serta berapa ramai yang mengikuti Firaun walaupon Musa as menunjukkan mukjizat kenabiannya dgn kuasa Allah ‘Azzawajalla.. Apakah kita ini masih d landasannya al-Quran dan Sunnah nabi @ kita sudah mengikuti org2 terdahulu yang mengikuti agama-agama nenek moyang kita? Bagaimana Shiffin boleh terjadi? Jamal boleh terungkap? apakah pembantaian al hussain d karbala itu tidak benar? sedangkan beberapa para sahabat Rasulullah saww maseh lagi ada.. Kita d landasan yang mana? Kalau umat terdahulu mengubah kitab2 Allah, kita apa kurangnya mengubah hadis2 Nabi, kalau umat terdahulu membunuh para Nabi Allah, apa kurangnya umat Muhammad membunuh putra2 Nabi… Dan tak mustahil Kalau umat terdahulu tak mahu mengikuti Nabi2 Allah, kita juga ada ciri2 seperti tersebut… Renung2kan…

  8. 6 Mei 09 pada 7:47 pm

    Apakah para pemimpin Ilahi itu berakhir pada nabi Muhammad saww sahaja? Bagaimana dengan ayat ini?

    Dan (ingatlah) ketika Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu ia menunaikannya (dengan baik). Allah berfirman, “Sesungguhnya Aku menjadikanmu imam bagi seluruh manusia.” Ibrahim berkata, “Dan dari keturunanku (juga)?” Allah berfirman, “Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang-orang yang zalim.”-al Baqarah 124

    Apakah Nabi kita bukan dari keturunan Ibrahim as? Dan apakah Nabi Muhammad saww itu tiada keluarga? lihatlah ayat d atas , Allah ingin jadikan Ibrahim as sebagai imam untuk ‘seluruh umat manusia’ setelah baginda as dilantik menjadi Nabi dan Rasul. 3 jawatan d dalam kepimpinan Ilahi, Nabi, Rasul dan juga Imam.

    Apakah Allah tidak mengisyaratkan sesiapa bakal pengganti Rasul saww yg akan membimbing umat baginda? Apakah hujjah2 Allah telah terputuz ke atas para hamba-Nya?

    “Wahai Orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah, dan taatlah kepada Rasul dan Ulil Amri di kalangan kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Qur’an) dan rasul, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. ” (An-Nisa;59).

    Ini adalah perkabaran Allah dan rasulNya agar para hambaNya mengikuti ulul amri yang dibariskan bersama, Allah dan RasulNya… apakah ulul amri yg kita tafsirkan sebagai pemimpin2 kita ini bersamaan dengan Allah dan RasulNya? Yang ada kalanya keimanannya ada pasang surutnya dan terkadang membuat kesalahan? dimanakah kesucian kalamullah tersebut yang Allah letakkan sebaris dengan perkataan Allah dan rasulNya. Dan layakkan mereka ini memimpin Agama Allah? Bagaimana dengan ayat 33 surah al ahzab? Siapakah ahlul bayt yg Allah maksudkan? Kenapa mereka disucikan dosa dan dipelihara sebagaimana Allah memelihara para Nabi dan rasulNya dari sebarang hawa nafsu. Sebab, mereka adalah ahlul bayt Rasulullah saww, yg berketurunan dari Ibrahim as pada ayat 124 al baqarah d atas.. Merekalah yang dimaksudkan d dalam ayat an nisa 59 dan al ahzab 33 tersebut.

    Dan Allah menegaskan;-

    “Sesungguhnya wali kalian hanyalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman yang menunaikan zakat dalam keadaan rukuk.” (al-Maidah: 55)

    Inilah yang Allah maksudkan sebagai ulul amri serta wali umat Muhammad, hanya Allah Rasul dan org2 beriman yg memberikan zakat di dalam rukuk. Siapa yg telah memberikan zakat di dalam rukuk? Lihat Asbabun nuzul pada ayat 55 ini. boleh rujuk Tafsir ibnu katsir juga.

    Dan Allah mengisyaratkan ttg org yg rukuk tersebut d dalam ayat ini..

    “Dan dirikanlah salat, tunaikanlah zakat, dan rukuklah beserta orang-orang yang rukuk.” (al-Baqarah: 43)

    Dan Allah menyatakan dan memberikan perkabaran gembira buat yg mengikuti pemimpin Allah dan Rasul-Nya ini dalam ayat tersebut.

    “Dan barang siapa mengambil Allah, rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman menjadi pemimpinnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.” (al-Maidah: 56)

    Inilah nasz2 yg menunjukkan ada pengemban wasiat rasulullah saww d dalam nasz2 Allah sehingga tibanya imam mehdi afs, hujjah Allah ini tidak akan pernah terputus dan menzalimi umat manusia… dengan meninggalkan umat Muhammad (kekaseh-Nya) terumbang ambing tanpa bimbingan para wali2 Allah yg terpilih! iaitu ahlul bayt Rasulullah saww..

    “Siapa yang ingin hidup seperti hidupku dan wafat seperti wafatku serta masuk ke surga yang telah dijanjikan kepadaku oleh Tuhanku yaitu Jannatul Khuld, maka hendaklah ia berwilayah (berpemimpin) kepada Ali dan keturunan sesudahnya, karena sesungguhnya mereka tidak akan mengeluarkan kamu dari pintu petunjuk dan tidak akan memasukkan kamu ke pintu kesesatan.” (Shahih Bukhari, jilid 5, hal. 65, cet. Darul Fikr)

    Shahibu Yanabi’ al-Mawaddah telah meriwayatkan dalam kitabnya, dia berkata, “Seorang Yahudi disebut al-A’tal datang kepada Nabi Muhammad saww, dan ia berkata, “Hai Muhammad, saya menayakan kepadamu perkara-perkara yang telah terdetak dalam dadaku semenjak beberapa waktu, jika engkau dapat menjawabnya niscaya saya akan menyatakan masuk Islam di tanganmu.’Beliau menjawab, ‘Tanyalah! hai Aba Ammarah, maka ia menanyakan beberapa perkara yang sijawab oleh Nabi saww dan ia membenarkan, kemudian ia menanyakan, ‘Beritahukanlah padaku tentang penerimaan wasiatmu, siapakah ia itu? karena tidak seorang Nabi pun kecuali ia mempunyai seorang penerima wasiat, dan sesungguhnya Nabi kami Musa bin Imran telah berwasiat kepada Yusa’ bin Nun.’ Maka beliau bersabda, ‘Sesungguhnya penerima wasiatku adalah ‘Ali bin Abi Thalib dan setelahnya adalah kedua cucuku al-Hasan dan al-Husein kemudian beliau menyebutkan sembilan Imam dari tulang sulbi al-Husein. ‘Lalu ia berkata, ‘Ya Muhammad, sebutkanlah nama-nama mereka kepadaku!’ Beliau bersabda, “Bila al-Husein telah berlalu maka diganti oleh anaknya “Ali, bila ‘Ali telah berlalu maka diganti anaknya Muhammad, bila Muhammad berlalu maka diganti anaknya Ja’far, Musa, ‘Ali, Muhammad, ‘Ali, Hasan, al Hujjah Muhammad al-Mahdi as, maka itu semuanya adalah dua belas orang Imam.’ Kemudian orang Yahudi itu pun masuk Islam dan ia memuji Allah SWT karena petunjuk-Nya.”

    “Kemudian kami mewariskan kitab pada orang-orang yang telah kami pilih dari antara hamba-hamba Kami.” (QS.Fathir:32)

    Singkaplah kebenaran di dalam beragama kepada DIA, ini adalah agama-Nya, dan DIA yg menentukan segala-galanya.

  9. mUsLiYaNa said,

    14 Julai 09 pada 7:02 pm

    assalamualaikum w.b.t…..

    apabila terbaca sahaja tentang kisah2 para sahabat,hati saya melahirkan rasa bangga terhadap mereka….

    perasaan BANGGA juga menerjah dalam hati ini kerana mengenangkan betapa setianya mereka terhadap Rasullullah S.A.W.

  10. ummuhanah said,

    15 Julai 09 pada 12:55 am

    salam musliyana,

    itu tanda jiwa anda hidup dalam sorotan kenangan sahabat bersama baginda saw.Sungguh mereka adalah generasi yang beruntung.

    sahabat bukan sekadar setia…baginda gambarkan sahabat sebagai ‘cahaya’…

  11. Sabur said,

    24 Julai 10 pada 7:52 am

    Mohon ijin untuk saya bagikan di facebook

  12. ummuhanah said,

    25 Julai 10 pada 3:47 pm

    silakan….semoga mendapat manfaat bersama.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: