Yang dirasa dalam PERASA ..

Saya  telah menghadiri satu kursus motivasi pada 20, 21 dan 22 disember yang lepas di Pendang Lake Resort. Lokasinya lebih kurang 40 minit perjalanan dari Sg Petani. Kursus dinamakan PERASA iaitu Pembimbing Rakan Sekerja . Pihak urusetia menamakannya sebagai ‘ program titian kasih’ dan kami pula menyebutnya sebagai  kursus team building.  Namun apa saja nama yang diberikan terhadap program tersebut, objektif yang ingin dicapai  tetap sama iaitu untuk meningkatkan semangat kerjasama antara staf, memantapkan organisasi dan menjalin hubungan kerja yang positif bagi mencapai misi dan visi PPAI. .. hmm lebih kurang camtu lah yang diberitahu kepada kami semua …

Sepanjang perjalanan suasana jadi bising dan ceria dengan usik mengusik berlaku antara teman-teman saya. Ada teman yang melahirkan rasa lega mendapat title bujang sementara dgn meninggalkan suami dan lapan orang anaknya. Ada yang bercerita sudah siap masakkan makanan utk familinya bagi tempoh 3 hari peninggalannya. Dan ada juga yang menunjukkan ‘kain pelikat suami’ yang dibawa bersama sebagai penawar rindu sepanjang tempoh kursus tersebut. Katanya ‘ maap noo, yang ni aku tak leh nak  tinggai, hangpa jangan dok kata apa kat aku , buat-buat paham la no”.

Saya cuma mengekek ketawa melihat telatah member. Sesekali  saya tumpang menakalkan diri menokok usikan terutama kepada safiza yang baru mendirikan rumahtangga…ngeiih ! sori ye piza. Rata-rata member saya melahirkan rasa seronok berpeluang ‘melenggang kangkung’ ke program kursus ini dan melupakan sekejap kesibukan urusan rumahtangga serta tugas sebagai isteri dan ibu. Namun saya rasa mereka ni semuanya eksen je lebih, tak tahan daulat sebenarnya. Saya perhatikan bila ada saja masa luang pasti kedapatan kawan-kawan yang menekan hanfon menghubungi suami dan anak masing-masing. Saya sendiri entah berapa kali menghantar sms dan membuat panggilan kepada suami dan anak-anak. Saya rasa sekiranya bisa mendapat khabar dan mendengar suara, itu sudah cukup melegakan. lagipun saya ingin mereka faham bahawa mereka sentiasa dalam ingatan saya walau saya jauh dari sisi mereka …. abang, terima kasih membantu memudahkan urusan ummi dan menjaga anak-anak sepanjang ummi berkursus, semoga Allah juga memudahkan segala urusan abang nanti. Pengorbanan abang amat ummi syukuri dan sangat hargai.

Semua staf lelaki dan  wanita ditempatkan di dua dorm yang berasingan. lama tak tidur di katil double decker saya memilih katil atas sebagai tempat beradu dan melayan mimpi. Berat sungguh rasanya ketika memanjat tangga katil yang kecil itu, dulu tak seberat ini rasanya. Terketar-ketar saya melawan rasa gayat sehingga bergegar katil saya. Orang bawah mengadu seram kerana katanya terasa seperti sebuah ‘gempa bumi’ sedang berlaku..kah kah kah…nasib lah yer..

Dari posisi atas tu saya seronok melihat gelagat kawan-kawan menyelesaikan urusan pribadi mereka sebelum melelapkan mata. Ada yang sibuk menggosok pakaian, ada yang membelai wajah dgn kosmetik rawatan kulit muka, ada yang tekun membaca Al-Quran, ada yang melumur minyak angin dan mengurut tapak kaki , malah ada juga yang senaman ringan membetulkan urat-urat yang tegang….hmmmm macam-macam le depa ni …

Malam pertama di situ sukar sungguh melelapkan mata. Jam 2.30 pagi saya masih ‘hidup’ sekalipun mata telah rapat saya pejamkan. Dalam kesunyian malam banyak alunan suara yang singgah dicuping telinga saya. Suara nyamuk yang merempit di telinga, suara dengkuran keletihan teman-teman , suara terbelahak angin yang ‘dibuangkan, bunyi keriuk-keriuk katil besi bila ada yang mengubah posisi tidur semuanya begitu jelas menyusuk masuk ke telinga saya….alamak! teruk la camni. Saya kena tidur cukup lantaran esok sudah pasti banyak aktiviti yang menanti….teruk la saya nanti kalau camni. Dalam kegelisahan kerana sukar mematikan diri saya akhirnya terlelap juga bila akhirnya alarm handfon mengejutkan saya utk aktiviti qiamullail pada jam 4.30 pagi … okey la tu, dapat juga rasa nikmat ‘tertidur’ sebentar…

Memang lumrah, program motivasi selalunya menyeronokkan. Ia diisi dengan aktiviti lucu, seronok,  agak keanakan tetapi mempunyai makna dan pengajaran yg tersirat. Semua kakitangan turut terlibat, bermula dari tukang kebun sehinggalah pengetua sekolah. Itu yang menariknya bila sesuatu program dihadiri oleh peserta pelbagai pangkat, berbeza bidang kerja dan lapisan usia. Aktiviti berkumpulan  yang kami lakukan kelihatan lebih kreatif dan lucu sekali. Sayangnya saya tertinggal digital camera saya manakala hanfon saya pulak buat hal tak boleh nak snap gambo….rugi betol. kalau tidak tentu saya akan rakamkan aksi kami para muallimah ” bertomoi sakan ” cuba memecahkan belon lawan yang diikat dikaki. Begitu juga lakonan majlis pertunangan dari setiap kumpulan dimana saya menjadi ibu pihak lelaki dan pak pin tukang kebun sebagai ayah. kami menyambut rombongan peminangan dari pihak perempuan. Luarbiasa sekali dan saya terhingut-hingut menahan ketawa bila muallimah Durrah sebagai nenek tetiba buat kecoh dalam majlis yang agak klasik tu.

Saya rasa banyak yang singgah dihati saya sepanjang program tersebut. Saya terasa seperti sedang bergelut dengan pelbagai sentimen dan emosi. Hanya Allah yang tahu tentang bebanan hati. Ketika teman-teman meyampaikan tazkirah selepas subuh dan ketika program qiamullail kami, jiwa saya terasa kecil sekali. Memahami bahawa segala laku perbuatan dan kewajipan kita akan dipersoalkan oleh Allah nanti, ketakutan seperti menggigit tangkai hati. Banyak kesalahan , penyelewengan dan pengabaian yang telah saya lakukan. Tanggungjawab tidak saya pikul dengan sempurna, bahkan saya sering mengeluh kerana bebanan yg terpaksa ditanggung secara fizikal dan mental. Mungkin Allah sedang memandang saya dengan kemarahan ..Astaghfirullah. .. Ya Allah ampunkan saya..

Ucapan dari Tuan Pengerusi Lembaga Tadbir Sekolah ketika majlis perasmian terasa begitu besar ertinya. Katanya kita perlu sentiasa menyemat rasa bersyukur kerana Allah memilih kita memikul amanah pendidikan, jesteru pendidikan Islam satu-satunya benteng pertahanan akidah umat Islam. Pendidikan adalah asas kepada segala sistem kehidupan manusia. Pendidikan yang pincang akan melahirkan generasi yang materialistik yang sanggup menjual agamanya untuk merebut keuntungan dunia. Sistem kehidupan ibarat suatu tanaman sedangkan pendidikan dan keilmuan itu diumpamakan seperti akar. Jika akarnya kuat dan utuh, maka segala yang dihasilkan termasuk daun, batang, bunga dan buah akan berkembang subur dan memiliki kualiti pohon yang terbaik.

Sekarang ini kita betul-betul berada di pengakhiran zaman dan di ambang kemusnahan peradaban manusia. Gejala maksiat dan kejahatan berleluasa walaupun di kalangan umat Islam sendiri. Dashatnya bila muslim sendiri sudah kabur pandangan dalam menyusuri jalan kehidupan yang ditinggalkan oleh baginda Rasul dan para sahabat, lantaran pencabulan ke atas pendidikan Islam yang sebenar. Penjajahan menjadikan sistem pendidikan kita dalam keadaan buta dan keliru. Generasi ‘ profit oriented’ yang dihasilkan oleh pendidikan sekular ini,yakni  sistem pendidikan yang mendasarkan pada landasan materialistik  semata  membuatkan para produksi pendidikan kita bukanlah orang yang dibutuhkan oleh umat untuk menyelamatkan umat. Bahkan mereka mungkin produksi  pendidikan yang menjadi beban , mengkorupsi hak rakyat, dan menjadi pemimpin  yang menginjak-injak nasib rakyat pimpinannya dengan kezaliman dan penindasan.

Kita mengharapkan menjadi orang yang memandang jauh akan ancaman ini,  dan mengharapkan menjadi golongan yang dipilih Allah untuk membantu agamanya melalui pendidikan. Marilah sama-sama kita renungkan firman Allah swt ini ” wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia kan menolong dan menetapkan kedudukanmu ” – muhammad : 7

Semoga hasrat utk memperkasakan pendidikan Islam menjadi impian yang mampu digapai. Kita seterusnya mampu melahirkan ulama’, umara’, azkiya’ dan aghniya’ yang akan meneruskan rantai perjuangan mendaulatkan syariat Allah secara menyeluruh dimukabumi ini.

Saya tinggalkan lokasi kursus dengan suatu harapan yang cuba saya pasakkan jauh di sudut hati. Saya tidak ada kekuatan melainkan apa yang Allah izinkan untuk saya miliki. Saya berdoa Allah sentiasa memimpin saya, memberi ketabahan jiwa, mengampunkan segala dosa dan mengirimkan sahabat-sahabat yang membantu menguatkan saya. Saya mengharapkan Allah mengekalkan saya berada di dalam perjuangan agamaNya….amin.

9 komen

  1. ummusaif berkata,

    24 Disember 08 pada 6:39 pm

    Alhamdulillah danTahniah kerana selesai menamatkan kursus..balik je rumah qadha tidur sambung-sambung sampai hari selasa…jangan jealous!kami takdak anak kecik…hehehe

  2. ummuhanah berkata,

    24 Disember 08 pada 7:28 pm

    hamboiii cepatnya respon …ngeh ngeh…tak jeleslah sis, saya ada anak kecil pun boleh tidur sakan …. babanya bagi peluang … Alhamdulillah :D

    kak ummusaif saya ingin rakamkan rasa terima kasih di atas tazkirah subuh yang dititipkan utk kami semasa kursus tersebut…semoga Allah berkati, selamat berjuang utk kak ummusaif juga.

  3. Ummu Abbudey berkata,

    25 Disember 08 pada 7:39 am

    Salam…Wah, seronok n sedap sungguh PERASA depa nie….agaknya kalau jual, kalah ajinamoto kan? Memori indah bersama kakak2 yang come lote di SMAI tak dapat dilupakan w/pun hanya singgah seketika sahaja…Islah tinggal kenangan….huhuhu

  4. ummuhanah berkata,

    25 Disember 08 pada 12:13 pm

    salam ummu Abbudey …. sihat ke ?…alahai tak sempat lagi la nak pi ziarah , dah abis pantang kot…

    PERASA ni lain dari yang lain …bukan saja sedap tapi berkhasiat, memang berbeza dgn ajinomoto.

    kalau rindu balik la Islah semula … pujuk rayu skit ustaz Amri tu, kak mahani juga rasa rindu sangat dengan Aishah … kusyen bilik guru tu pun mesti lagi rindu kat aishah ni. maklumlah tempat jatuh lagi dikenang, ni kan pula tempat landing sakan …ngeh ngeh..

  5. soleh-M berkata,

    26 Disember 08 pada 9:10 pm

    salamun’alaikum…
    bestnyer mlmh2 p pendang lake resort..
    ana penah p tp waktu mlm…sbb p tgk mak ana waktu dia ade program kat sana…
    best gak tempat dia…
    rindu la kat mlmh semua….
    hehehe…

  6. ummuhanah berkata,

    27 Disember 08 pada 4:30 pm

    soleh M….apa rancangan utk cuti panjang ni ??…tak join group fasi KBM ke ?

    hmmm…seronok jugak ler pegi pendang lake tu….lepas ni bolehla kut buat program mukhayyam kat situ plak. :D

  7. nuriman berkata,

    29 Disember 08 pada 7:54 pm

    salam maal hijrah untuk ummuhnah dan semua…..semoga hari ini lebih baik dari semalam….dan semoga di berkati Allah s.w.t…….

  8. soleh-M berkata,

    30 Disember 08 pada 3:44 pm

    nak ikut jugak..
    tp setakat nie x berkesempatan..
    nnt kalau nak buat mukhaiyyam..
    bleh la ajak ana skali..
    hehe…

  9. ummuhanah berkata,

    31 Disember 08 pada 11:34 pm

    salam maal Hijrah juga untuk nuriman. Semoga Allah basahkan hati kita utk sentiasa segar dengan semangat memperjuangkan agamaNya.

    Kalau ada rezeki, mukhayyam nanti mualimah jemput solehah and de gang…boleh jadi pembantu. :D


Kirim Komen