mek ja ( shaliza)

Tak mampu menahan airmata, saya terkejut dan tak tertanggung rasa sebak di dada . Mek ja dah tak ada rupanya.

Ketika menyusuri teman-teman lama melalui facebook saya, baru saya ketahui seorang teman sekampus dulu sudah tiga tahun pergi meninggalkan kami semua. Dalam usia muda dia pergi membawa bersama bayi 6 bulan yg dikandungnya…

Ya Allah…ya Allah…mek ja sudah tak ada rupanya … dia sudah mendahului saya bertemu Allah yang esa. Dia yang cantik dan ceria itu rupanya sudah tidak ada. “sudah tiga tahun, sakit kanser paru-paru, mengandung 6 bulan. Syurgalah tempatnya. Saya tak de contact no awak masa tu ” . Mek zu meninggalkan mesej di facebook saya.

Gentarnya hati saya ….. bila berita kehilangan kawan-kawan datang menjengah saya . Selain mek ja entah siapa lagi yang sudah tidak bersama kita semua di dunia yg fana. oh Ja, Mek ja…mek ja….masa tamrin masak gulai di letak gula. Bila di tegur ‘pelik’ oleh kawan-kawan yg lainnya ,selamba katanya, tak dok gula mano nok sedapnyo, tok sedap weh masin sajo…. saya pasti rindu padanya. Sikap rilex dan selambanya pasti menujah kenangan sesiapa saja yg pernah bersahabat dengannya.

Ya Allah, rahmatilah ke atas roh sahabatku ini. Muliakan dia dengan keampunanMu. Balasinya dengan nikmatMu. Berkati segala kebaikannya semasa didunia dan maafi segala kelemahannya. Dengan sifat belasMu, redhailah ke atasnya dan berilah ketabahan kepada ahli keluarganya.

Giliran siapa pula ??..dunia adalah lokasi sementara perjalanan hidup seorang manusia.Tiada siapa yang abadi didunia, jasad akan binasa dan roh akan datang juga kepada penciptanya. Dalam keadaan gembira atau tidak suka, kematian adalah tulisan Allah untuk semua manusia.

Dan Kami tidak menjadikan hidup abadi bagi seorang manusia sebelum engkau (Muhammad), maka jika engkau wafat apakah mereka akan kekal ? Setiap yang bernyawa akan merasa mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami ” Al-Anbiya’ 34-35

Ya Allah, ampunilah kami….pimpinlah perjalanan kami dengan petunjukMu, pandangi kami dengan rahmatMu, muliakan kami dengan keteguhan iman dan taqwa kepadaMu, jadikanlah kami orang-orang yang mengambil pelajaran dari sebuah kematian

walimatul urus

Musim cuti sekolah juga adalah musim orang menikah. Musim majlis orang menikah ni menjadikan hujung minggu saya lebih meriah . Berderet jemputan makan percuma dgn menu nasi minyak dan lauk pauk yang beranika namanya…ditambah pula pencuci mulutnya dengan hidangan bubur kacang atau pun laksa .Mau tak kenyang ternganga kita dibuatnya….pastu dikirim pula beg kertas yang sarat berisi kuih kerepek yg siap dipack dan telur rebus yg digantung kat bunga… fuhh hebatnya kenduri kawin kat Malaysia. Tetamu yang hadir memang seronok tak terkira. :D

antara kad undangan kenduri kawin yang saya terima sepanjang cuti sekolah...masyaAllah

Mengadakan kenduri kahwin itu sunat, bertujuan memaklumkan kepada orang ramai tentang sebuah perkahwinan.Tetamu yang hadir menjadi saksi bahawa pasangan tersebut telah diperakui sah sebagai suami isteri. Jesteru memenuhi jemputan walimatul urus ini adalah wajib.

Selain mengembirakan pasangan pengantin, menghadiri majlis perkahwinan juga adalah ruang dan peluang yang baik untuk berkunjungan dan bertemu mengeratkan silaturrahim. Biasanya di majlis perkahwinan kita juga sering berkesempatan bertemu saudara mara serta rakan baru dan lama.Tentu seronok dapat bersalam, berpelukan dan saling bertanya khabar.

Pun begitu, dalam menganjurkan majlis perkahwinan ini hendaklah diperhatikan agar ia benar-benar menepati inspirasi tuntutan ajaran Islam. Majlis yang dianjurkan itu hendaklah menitik-beratkan persoalan halal haram serta menjaga pantang larang agama. Semua pantang larang itu dijaga bagi menjamin keberkatan dan rahmat Allah SWT. Mudah-mudahan majlis yang dianjurkan itu benar-benar meraih pahala yang banyak dan melimpahkan keberkatan kepada pasangan yang baru dinikahkan serta ahli keluarga mereka.

Antara garis panduan yang sangat wajar diutamakan ialah :

Mengadakan majlis yang sederhana, tidak membawa kepada pembaziran sehingga terpaksa berhutang atau bergolok gadai. Sebaiknya mengikut kemampuan . Apa yang penting ia tetap perlu dilakukan walau hanya dengan seekor kambing sahaja . Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya ‘Buatlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.

Mengadakan dengan niat yg ikhlas kerana Allah supaya ia menjadi ibadah dan mendapat pahala .Tidak menimbulkan sifat riyak dan bangga diri dan ingin menunjuk-nunjuk.

Tidak mengandungi unsur-unsur maksiat seperti percampuran antara lelaki perempuan, bersalaman antara jemputan lelaki dan perempuan yang bukan mahram, tidak menutup aurat dengan sempurna serta wujud hiburan yang melalaikan dalam majlis berkenaan. Jika terdapat perkara maksiat dalam majlis kenduri tersebut , maka gugur kewajiban kita dari menghadirinya.

Tiada majlis persandingan atau majlis mempertontonkan pengantin khususnya pengantin perempuan kepada orang ramai. Majlis persandingan merupakan cetusan daripada ajaran agama Hindu dan amalannya menyimpang dari kehendak agama Islam.

Tidak mengandungi unsur-unsur maksiat dan khurafat seperti mengadakan upacara tepung tawar untuk menolak bala. Penggunaan beras kunyit semasa upacara persandingan untuk memberi semangat kepada pengantin.Ia adalah syirik jika dilakukan dengan tujuan menambah semangat dan menghalau roh jahat.

Berandam: Perbuatan andaman yang berbentuk “li tadlis” mengabui/merubah kecantikan yang sebenar adalah haram. “Allah melaknat wanita yang mencucuk tangan dan menaruh warna (tattoo) dan yang meminta berbuat demikian; wanita-wanita yang menghilangkan bulu kening di muka, wanita yang mengikir gigi dan menjarangkannya supaya kelihatan cantik yang merubah kejadian Allah.”( HR Muslim-Muslim dari Abdullah Ibn Mas’ud )

Berhias untuk dipamerkan (tabarruj): Berhias dengan tujuan untuk dipamerkan kepada orang ramai adalah dilarang. Firman Allah (maksudnya), “Janganlah kamu bertabarruj seperti kelakuan orang zaman jahiliah dahulu.” (Al-Ahzab: 33).

Jemputan hendaklah terdiri drp semua lapisan masyarakat tidak terkhusus hanya satu golongan sahaja.Nabi Muhammad s.a.w. bersabda maksudnya “Makanan yang paling buruk adalah makanan walimah apabila orang yang perlu makan (si miskin) tidak diundang malah orang yang tidak perlu (orang kaya) diundang.” riwayat Muslim daripada Abu Hurairah.

Perkahwinan adalah saat paling bahagia bagi pasangan yang bersetuju untuk hidup bersama. Ia detik bersejarah yang akan dikenang dalam senyum kegembiraan setiap kali terpalit kenangan tentangnya. Majlis perkahwinan juga menjadi tanda kegembiraan pasangan pengantin yang turut dikongsi dengan keluarga dan orang ramai. Namun jagalah keberkatan majlis ini agar ia berlangsung atas keredhan Ilahi. Semoga semua pihak turut terpalit keberkatan dan rahmat dari majlis yang dianjurkan nanti.

mudahnya ke neraka

Di dalam khutbah wuquf di Arafah yang saya dengar secara langsung dari Masjid Nimrah tengahari tadi, antara perkara yang ditekankan oleh khatib ialah bahaya menggunakan media baru untuk menyebarkan berita yang masih belum pasti kebenarannya ke pengetahuan umum. Khatib menyebut bahawa antara media yang kerap digunakan ialah internet.

Penyebaran sesuatu berita tanpa menyelidik terlebih dahulu kebenaran perkara tersebut adalah satu fenomena yang semakin menjadi-jadi pada masa ini. Akan tetapi, ianya bukan suatu perkara baru. Semasa zaman Rasulullah dan para sahabat, fenomena ini biasanya dijuarai oleh munafiqin di Madinah pimpinan Abdullah bin Ubai bin Salul. Sekiranya membaca keseluruhan tafsir surah al-Taubah, kita akan dapat potret gambaran yang jelas kerja-kerja kumpulan munafiqin dalam merosakkan imej Rasulullah dengan menyebarkan berita yang belum disahkan kebenarannya.

Zaman sekarang, penyebaran maklumat seupama ini berlaku pantas dengan berkembangnya pelbagai aplikasi internet seperti website, weblog dan Facebook serta laman interaksi sosial yang lain.

Zaman dahulu, penyebaran itu berlaku secara lisan. Proses sebegini biasanya lambat, akan tetapi dipercepatkan dengan hawa nafsu manusia yang suka melapor dan mendengar berita sensasi, apatah lagi yang membabitkan aib orang lain.

Kalau tidak percaya, bagi mereka yang mempunyai blog, cuba masukkan entri dengan tajuk yang panas seperti wanita melayu berbogel, sejadah sujud, ulamak rasuah atau ahli parlimen berkhalwat, nescaya blog anda akan panas dengan hit yang tinggi.

Ada sesetengah manusia suka menyebarkan berita dengan segera kerana sengaja ingin memburukkan imej orang lain. Lantas, terjebaklah mereka dengan pelbagai jenis dosa seperti mengumpat, memfitnah, mengadu domba dan seumpamanya. Tidak kurang juga, untuk menambahkan lagi rencah dan perisa, maka ditokok tambah berita yang sedia ada, lalu berlakulah pembohongan.

Ada yang membuat kerja sebegini kerana mereka merasakan perbuatan itu amatlah makruf. Rasa terhormat dan mulia dengan tindakan mereka itu, lalu diprojekkan diri mereka dengan imej yang baik dan intelek, dengan menyatakan contohnya Saidina Umar yang ditegur dengan wanita dengan amaran pedangnya secara terbuka. Di dalam Islam, kita dilarang menyapu ‘habuk di bawah karpet’. Di dalam Islam, perlu ada check and balance. Di dalam Islam, perlu ada amar makruf dan nahi munkar. Maka, absahlah kerja-kerja mereka.

Walau apa pun juga pegangan kita di dalam fenomena hebah-hebah ini, satu perkara yang dipersetujui oleh semua, akan tetapi bukan semua menginsafinya, iaitulah apa jua yang kita ucapkan dan kita tulis, akan dicatat oleh Allah SWT sebagai bahan bukti mahkamah akhirat kelak. Firman Allah dalam surah Qaf ayat 18:

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلاَّ لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (merekodnya).

Al-Quran sebenarnya telah menyentuh akan fenomena ini. Berfirman Allah SWT di dalam surah al-Nisa’ ayat 83:

وَإِذَا جَآءَهُمْ أَمْرٌ مِّنَ ٱلأَمْنِ أَوِ ٱلْخَوْفِ أَذَاعُواْ بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى ٱلرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُوْلِي ٱلأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ ٱلَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ وَلَوْلاَ فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لاَتَّبَعْتُمُ ٱلشَّيْطَانَ إِلاَّ قَلِيل

Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu)

Di dalam semua kitab tafsir muktabar, diperjelaskan bahawa ayat ini menceritakan akan perihal manusia ketika mendengar berita yang menyenangkan atau kurang menyenangkan. Dalam konteks ketika penurunan wahyu ini, perkara yang menyenangkan (الامن) itu diterangkan sebagai berita kemenangan tentera Muhammad, sementara berita yang tidak menyenangkan (الخوف) itu merujuk kepada berita kekalahan umat Islam.

Ketika tibanya khabar angin seumpama itu, maka orang munafiq hakiki, dan juga mukmin yang terpalit dengan sifat al-nifaq akan bersegera untuk menghebahkannya kepada orang lain tanpa langsung ada sikap untuk memeriksa kebenarannya. Tujuannya, pelbagai. Diterangkan dalam kitab tafsir, sebahagiannya bertujuan untuk menunjukkan dirinya sebagai manusia hebat kerana sering mendapat berita dan maklumat terkini lagi sensasi.

Selain itu, ada juga yang menghebahkannya untuk tujuan memburukkan imej Rasulullah, contohnya semasa peristiwa khabar ifki. Ada yang bertujuan untuk melemahkan psikologi umat Islam yang lain. Ada yang bertujuan untuk mempermainkan emosi Rasulullah. Dan tidak kurang juga yang melakukannya sebagai perang saraf untuk melemahkan semangat umat Islam ketika itu.

Watak yang memainkan kisah itu semasa zaman Rasulullah dan juga para sahabat adalah ramai. Yang termasyhur ialah Abdullah bin Ubai bin Salul. Walaupun dalam satu riwayat disebut bahawa jenazah beliau disembahyangi dan dikafankan dengan jubah Rasulullah (kerana politik pintar nabi dan juga rasa hormat kepada permintaan anak beliau yang Muslim) sehingga membangkitkan bantahan Umar, akan tetapi Rasulullah berkata yang jubah baginda tidak dapat menghalang perbuatan Abdullah bin Ubai yang ketika hidupnya suka menjadi tukang hebah dan wartawan sensasi, daripada dibaham api neraka. Di dalam ayat di atas, kumpulan ini disifatkan sebagai mereka yang mengikut jejak langkah syaitan.

Itu kumpulan pertama, yang apabila dapat berita atau khabar angin, terus menghebahkannya kepada massa. Akan tetapi, di sana ada kumpulan kedua, yang mana ketika didatangi dengan maklumat sama ada yang sejuk atau yang panas, maka sikap mereka ialah merujuk kepada Allah, Rasul, dan juga orang-orang yang berautoriti di kalangan mereka. Ulil amri saya terjemahkan sebagai orang yang berautoriti, supaya kita tidak sempit memahaminya sebagai semata-mata pemimpin negara sahaja. Ia boleh jadi sebagai naqib, pengerusi persatuan, bapa, cikgu dan seumpamanya, bergantung kepada siapa kita dan bentuk berita dan maklumat yang sampai. Ini kerana orang-oang yang berautoritilah mampu untuk memberikan pengesahan dan penjelasan sebenar terhadap maklumat tersebut.

Akan tetapi, Allah memberitahu kita bahawa kumpulan kedua ini hanyalah sedikit sahaja. Mereka ini ialah golongan minoriti di dalam masyarakat. Justeru, golongan minoriti seumpama ini biasanya sukar untuk memperbetulkan yang salah dan meluruskan yang bengkok.

Menjadi mangsa fitnah atau berita mengenai diri dihebah tanpa kebenaran di media baru, adalah satu perkara yang perju dijangka oleh para pendakwah. Pun demikian, sehebat mana sekalipun pendakwah itu, perasaan kecil di dalam hatinya akan tersentuh juga apabila berhadapan dengan fitnah seumpama ini. Apatah lagi sekiranya fitnah itu datang daripada orang-orang yang hampir dengannya, seperti sahabat karib, pembantu peribadi dan juga rakan setugas.

Sama seperti semua orang, saya juga pernah mengharungi fitnah seumpama ini. Memang sedih juga sekiranya fitnah ini datang daripada orang-orang yang berada di sekeliling kita. Kadang-kadang gaya percakapan kita disalahertikan lantara perbezaan budaya bahkan dialek, lalu dihebahkanlah ‘kebiadaban’ kita. Lantas disimpanlah perasaan benci yang membuak-buak selama bertahun-tahun tak berkesudahan. Pantang nampak , habis dibelasahnya.

Pantang bersuara, walaupun menerusi institusi musyawarah, habis dibantahnya dengan fitnah yang ditokok-tambah. Nak nampak baik, maka dihiasilah dengan al-Quran dan al-Hadith. Lalu ditaburlah onar serta duri dalam perjalanan dan pergerakan kita. Memang jijik juga kadang-kadang, apatah lagi saya pernah mendengar rakaman langsung sesetengah sahabat karib yang melakukan pembohongan terang-terangan ke atas diri saya untuk kepentingan serta kepuasan dirinya.

Sekiranya kita berhadapan dengan fitnah seumpama ini, jalan terbaik yang perlu kita ambil ialah bersabar sahaja. Walaupun kadang-kadang sampai tahap dituduh sebagai munafiq, atau ada ciri-ciri orang munafiq, biarlah si tukang fitnah ini memuaskan hati dan melepaskan geramnya. Dalam bersabar, perlu rasa simpati dengan mereka kerana begitu mudah mendapat dosa.

Kita akan jadi mulia sekiranya kita terus memberikan kemaafan kepada mereka, dan walaupun tanpa sebab, kita memohon ampun kepada mereka. Dalam kehidupan berdakwah, kita perlu kenal siapa musuh kita. Perlu menghalusi apa kerja kita. Bukanlah rakan-rakan sekeliling kita itu perlu dijadikan musuh. Dan bukanlah membalas kesilapan kawan dengan kejahatan yang lain itu merupakan kerja kita. Musuh kita ramai di luar sana, dan kerja kita juga amat banyak belum terlaksana.

Tukang penyebar fitnah seumpama ini, sekiranya mereka betul-betul musuh dan munafiq hakiki, maka itu adalah kerja mereka. Berhadapan dengan mereka perlu meniru politik pintar nabi ketika berhadapan dengan munafiq di Madinah. Tetapi sekiranya ia datang daripada orang dalam dan orang sekeliling yang terdiri daripada orang-orang Mukmin, maka mereka perlu insaf dan sedar. Dalam perbahasa mengenain beriman kepada Rasul, bukankah kita sepatutnya beri’tiqad bahawa hanya Rasulullah sahaja insan yang ma’sum dan sempurna?

Ini bermakna yang manusia lain, walaupun bertaraf presiden, perdana menteri, ustaz atau tuan guru, tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Apabila rakan muslimnya melakukan kesilapan, maka kita perlu bersedia untuk menerimanya dan memaafkannya. Itu tanda iman. Kalau betul-betul salah dan munkar, maka tegurlah dengan cara yang sepatutnya, berhadapan atau melalui orang-orang yang berautoriti seperti dalam firman Allah dan sabda Nabi. Sekiranya kita terus marah, lalu menghebahkannya kepada massa, itu merupakan tanda yang iman kita terhadap ketidakma’suman orang lain selain Rasulullah, sedikit bermasalah, lantaran kita menonjolkan sendiri sikap kita untuk tidak menerima kesilapan manusia biasa.

Bagi yang diuji dengan fenomena hebah dan fitnah ini, antara cara yang turut dicadangkan oleh nabi Muhammad SAW ialah duduk diam sahaja. Ini berdasarkan sepotong hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim seperti berikut:

انها ستكون فتنة القاعد فيها خير من القائم و القائم خير من الماشي و الماشي خير من الساعي

Sesungguhnya akan terjadi fitnah, orang yang duduk (diam) adalah lebih baik daripada yang berdiri. Orang yang berdiri adalah lebih baik daripada orang yang berjalan. Dan orang yang berjalan adalah lebih baik daripada orang yang berlari.

Ketika berlakunya gejala fitnah, khususnya selepas pembunuhan Saidina Uthman, ramai para sahabat yang mengambil sikap berdiam diri sahaja tanpa menyebelahi mana-mana pihak bagi mengelakkan diri daripada terjebak dalam gejala fitnah. Ini termasulah Zubair bin al-Awwam serta Abdullah bin Khabab. Ini merupakan tindakan yang betul.

Dalam masa yang sama, ada juga yang terpaksa mengharungi dan berhadapan dengan fitnah tersebut, seperti yang dilakukan oleh Saidina al-Hasan. Tindakan beliau bukannya salah, kerana beliau tidak membalas fitnah dengan fitnah, akan tetapi dengan hikmah, walaupun akhirnya diri beliau yang terpaksa menjadi korban.

Sekiranya kita menjadi mangsa fitnah, lalu kita membalas dendam dengan melakukan fitnah yang serupa, percayalah bahawa tindakan itu adalah satu kesilapan besar dan tidak langsung menyelesaikan masalah. Kita mungkin puas memfitnah orang lain dalam ucapan dan tulisan kita dalam blog sebagai contohnya, akan tetapi tulisan itu akan terus kekal diingati sama seperti kekal degilnya sikap kita yang enggan memaaf dan melupakan kesalahan orang lain.

Sedangkan dalam ilmu tazkiyatunnafsi, para ulamak salaf sering menyatakan bahawa terdapat dua perkara yang perlu kita lupakan untuk menyucikan hati kita, iaitu kebaikan yang kita buat untuk orang lain dan juga kesilapan orang lain terhadap kita. Kalau kerap diulang dan ditulis, maka sampai bila-bila kesilapan orang lain itu akan diingati, maka sentiasa ‘berjagalah’ fitnah itu.

KESIMPULAN

Gejala cepat menghebahkan berita ini adalah suatu fenomena yang akan berterusan sehinggalah qiamat kelak. Berdasarkan pemerhatian, gejala ini berlaku antara lain kerana:

a. Sikap manusia yang gelojoh dalam menghebahkan maklumat.
b. Sikap manusia yang ingin menunjukkan dirinya hebat mempunya maklumat terpantas, cepat tahu dan cepat menganalisa.
c. Sifat manusia yang tamak ingin mendapatkan pengaruh dan keuntungan.
d. Sifat manusia yang sentiasa berbalah, lalu dihebahkanlah berita pihak lain untuk melemahkannya, dan dalam masa yang sama ingin menunjukkan kekuatan dirinya.
e. Sifat manusia yang tidak rasa bertuhan, tidak merasakan dirinya sentiasa diperhatikan Allah, serta tidak takut bahawa apa sahaja yang tertulis dan diucapkan, akan dibalas kelak di hari akhirat.

Sedang kita mengiktiraf terdapat beberapa jenis kemungkaran yang sekiranya nyata dan jelas kesalahannya, yang ada keperluan menghebahkannya untuk mencegahnya berulang kembali, akan tetapi perlu diingati yang bahawa berita yang masih samar atau sekadar didengari daripada pihak ketiga, perlulah diperiksa kesahihannya dan dinilai sama ada perlu dihebahkan atau sebaliknya.

Sekiranya tangan masih menggatal ingin menulis fitnah, serta lidah masih menebal untuk bercakap, apa kata kita didik tangan dan lidah kita supaya takutkan Allah. Berkatalah perkara yang baik dan pasti sahaja kebenarannya. Yang selamat, ialah berdiam sahaja. Sabda nabi Muhammad SAW seperti yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:

من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيرا او ليصمت

Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka berkata baiklah kamu atau diam sahaja.

(*) sumber asal : http://abidfana.com/
Aduhai, alangkah mudahnya ke neraka dengan menggunakan media baru untuk hebah dan fitnah. Sekali terucap dan tertulis, ribuan membacanya, maka berantai-rantailah dosanya. Tunggu sahajalah berapa ramai yang akan menuntut saman malunya di mahkamah akhirat kelak.

berpindah ke Wadi Insyirah

Sudah lebih tiga minggu saya kesibukan dalam urusan berpindah ke kediaman baru. Dari membersihkan rumah, packing barang2, mengangkutnya dan mengemas serta menyusun kembali di rumah baru ini.Letih juga rupanya urusan pindah memindah ini. Dan tidaklah ‘indah’ semuanya bila ‘masuk rumah baru’. Adat rumah baru, memang terdapat beberapa masalah teknikal yg tak dapat dielakkan atau dijangkakan.Letih juga kami suami isteri cuba menyelesaikannya. Ke sana ke mari menguruskan itu dan ini.


Malam raya kami masih bergelap di rumah ini….masalah betol lah :D …. Dari corong pembesar suara di masjid yang berdekatan saya mendengar takbir raya berkumandang.Suara memuji Allah itu cukup jelas kerana masjid cuma lebih kurang 200 meter saja dari rumah saya. Saya berdoa agar beroleh keberkatan ‘tinggal berdekatan masjid’ dan mendapat percikan nur hidayah Allah sepanjang saya menginap di sini.

Kemuncaknya kami mengadakan kenduri korban pada raya ketiga di kediaman baru kami dengan menjemput saudara mara, rakan taulan serta jiran tetangga. Syukur kepada Allah, ini kesempatan baik saya berkenalan dengan jiran-jiran baru.

Terima kasih untuk rohaya, rogayah, kak siti, kak chak, mak cik serta menantunya yang sudi datang membantu saya. Ramai juga teman yang tak dapat memenuhi jemputan kenduri saya kerana masing-masing juga ’sarat’ dengan jemputan kenduri saudara mara di sana sini. Saya memahaminya.

Alhamdulillah, segala urusan berjalan lancar pada hari kenduri tersebut dan saya mengucapkan terima kasih pada tetamu yang telah sudi datang. Kediaman ini kami namakan WADI INSYIRAH.

هَذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ وَمَنْ شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ

“Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mencoba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan ni’mat-Nya). Dan barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barangsiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia”
(an-Naml :40)

tempat ketiga…ishh okey laa..

Baru-baru ni telah diadakan satu pertandingan memasak antara group usrah tingkatan tiga. Program ini adalah utk mengisi masa terluang bagi pelajar-pelajar yang baru selesai menduduki peperiksaan PMR. Seramai 9 buah kumpulan usrah yang telah menyahut cabaran ini….he he he… 6 kumpulan banat dan 3 kumpulan banin. Setiap kumpulan telah dibantu oleh mak usrah atau naqib/naqibah masing-masing.

masak usrah09

banat tekun membuat persediaan

Menu yang dipertandingkan ialah masakan maggi, ayam bakar dan jus buah…..fuh memang dasyat suasana pertandingan hari tu. Berdentum dentam bunyi periuk belanga berperang dengan sudip. Tambahan pula kak nora telah membawa sudip tembaga pusaka dari keluarganya, kak faizah membawa tudung saji dari kuala Berang…maka saya telah mencabar mereka dengan periuk non stick yang baru dibeli dari langkawi…nawal pula menampilkan tapak memanggang ayam hadiah mak ciknya, yang kemudiannya telah dijadikan barang lelongan olehnya….fullamak sengit sekali saingan yg telah diberi oleh mereka ini.

kak nora

ewwaah...kak nora dengan periuk nasi barianinya....anak-anak baninnya dijamu terlebih dahulu sebelum dikerah bekerja....baguih la kak nora

kah kah kah kah ….anak usrah yang masuk bertanding, mak-mak usrah pulak yang lencun peluh dalam keterujaan mereka berentap mengetengahkan resepi masing-masing. Resepi istimewa mlh syikin ialah maggi silat melayu…kak nora pula maggi kasih sayang, mlm wadi dengan maggie patayyanya….huh saya cabar mereka semua dengan maggi goreng Italiano Semberono..humang aiihh !!!

100_5799

ni meja masak group kak faizah...tengok tudung sajinya...isshh saya jeles sekali...kot tudung saji tu yang bagi markah tinggi..

100_5807

proses memasak maggi goreng Italiano semberono...he he he....periuk dari langkawi saya 'rasmikan' bagi menyahut cabaran memasak maggi ni... :D

Ayam panggang percik dari kak faizah seperti menarik tumpuan ramai, kak nora telah menepisnya dengan ayam bakar kasih sayang….saya cuba pintas pula dengan ayam panggang ala carte…kami bersaing hebat dgn ayam bakar masing-masing sehingga akhirnya mlh noraini dengan selambernya mengecewakan kami bila beliau mencuri simpati pengadil dgn ayam panggang rendam asam jawanya …he he he…sori kak ani, saya mengutuk kat sini…er errr ayam panggang aritu sapa yang menang ya ?? lupa lah….

100_5821

persembahan dari group saya....haiyyaa daun pisang maa... :D :D

100_5816

persembahan dari group Kak Faizah

Untuk jus buah pula….chewwaah, nampaknya saya menang bergaya dengan jus kegemaran saya, sweet corn and coconut shake in vanilla flavour…fullamak memang boleh masuk hotel jus saya ni.Kalau warung atau gerai tepi jalan rasanya tak berapa sesuai sebab namanya glamer dan panjang pula….ada tak hotel yang nak beli resepi jus saya ni ??

100_5826

ehem...juri-juri yang kekenyangan....nak bangkit pun sukar sekali..ngeh..ngeh ngeh

hmmmmm….Bila keputusan diumumkan….utk keputusan keseluruhan, saya dapat tempat ketiga…tak aci tak aci tak aci ….pengadil tak aci…. rasanya group kami resepi yang best sekali…camana tak boleh dapat kedudukan paling tinggi…tak aci tak aci tak aci….saya tak puas hati waaaaa…huwaaaaa…huwaaaaa……kak faizah dapat nombor satu sebab tarikan tudung saji….hu hu hu…pengadil tak aci le camni…

ngeh…ngeh…ngeh… …acah je tu..

apin, demo tunjuk skill ke demo tunjuk piyuk hok baghu ni ....... kah kah kah

tempat ketiga…. ishh..okey la, yang penting semua seronok dan dapat enjoy masak serta kenyang makan sama-sama…
Tahniah utk kumpulan yang menang, dan terima kasih utk juri yang sudi memberikan mata. Harapan saya anak-anak usrah dapat pula mencuba kat rumah resepi masakan dan minuman yang dipertandingkan

masakweh2

tempat ketiga...isshhh okey laa..

sebagai tanda kegembiraan, saya sertakan resepi jus yang telah group usrah kami menangi.

sweet corn and coconut shake in vanilla flavour

1 gelas air kelapa muda
3 sudu isi kelapa muda
1/2 cawan susu pekat manis
3 sudu sweet corn creamer (dlm tin)
3 sudu ais kerim vanilla
1 gelas ketul ais

blend je le…samada jadikan ais blended atau dituang ke dalam gelas berisi ketulan ais….sedaaap !

sekadar lakonan….

Sibuk ?…eh sibuk sangat ke saya ? mana ada orang tak sibuk kat dunia ni sebab di dunia memang tempat orang sibuk. Tempat berehat dan sunyi dari sibuk hanyalah di akhirat saja yakni di syurga….itu adalah sebaik-baik tempat istirehat dan bersuka ria.

Saya berhasrat nak menyapu ’sawang’ di laman blog saya ni dan kembali menyerikannya dgn tulisan saya pada november nanti…hmmm memandangkan november bakal menjengah beberapa hari saja lagi…tak pa le saya ‘masuk ofis’ awal sikit. Ada yg nak dikongsi di sini. Sebenarnya tulisan ini adalah hasil dari lontaran pandangan saya dgn seseorang di sebuah laman forum.Elok juga saya ‘tempek’ pandangan saya itu di sini.

Saya mula menyedari trend drama TV dan filem masa kini menunjukkan kecenderungan kepada cerita berunsurkan agama atau bercorak Islamik. Watak pelakon wanita bertudung dan lelaki yang soleh dengan akhlak yang mulus sekali telah dipaparkan untuk dijadikan bahan tontonan kepada peminat drama. Bukan saja drama tempatan, bahkan drama dari seberang juga turut membawa ‘warna’ yg sama. Maka kedengaranlah suara pujian di sana sini kerana ini dikatakan sebagai perkembangan yang baik dalam dunia drama dan artis lakonan masakini.

saya pula tak tenteram hati. Seperti juga drama komedi lawak bodoh, filem seram dan tahyul, cerita merempit motosikal, saya merasakan drama Islamik juga sekadar memenuhi trend semasa dan sekadar mencari untung semata-mata. Ia sebenarnya langsung tidak berpijak di alam nyata.Jika drama Islamik ini diakui mereka ini sebagai sebahagian cara mempromosikan agama, maka drama-drama ini bolehlah dikatakan sebagai program promosi agama yang tak mungkin akan berjaya.

Memang ‘hebat ‘cerita-cerita di tv ni mentarbiyyah masyarakat. Artis seksi pun sanggup menutup aurat walaupun hanya sekejap semata-mata nak ‘hidupkan’ watak. Bila dah habis acting nanti mereka akan kembali kepada kehidupan dedah aurat dan selamba aje buat maksiat. Inilah dashatnya bila agama dijual murah…..ia sekadar jadi bahan lakonan dan penipuan golongan yang memakai topeng agama di depan lensa kamera tetapi jelas dalam kehidupan biasa bermaksiat pada Allah. Baik drama tempatan atau drama dari seberang semuanya sekadar ‘berbohong’ dan tidak mampu mendidik org awam.

Biarpun begitu banyak drama /filem berunsur agama ditayangkan kepada org awam namun ia tetap tidak mampu membawa perubahan atau benar-benar menginsafkan kerana ‘pendakwahnya’ sendiri tiada kesedaran untuk kembali kepada Islam.

sesungguhnya….agama dan menghidupkan agama dalam diri itu bukanlah lakonan !

Artis dan pelakon ni……mereka diupah dan dibayar untuk memakai tudung, menjadi ustaz, menutup aurat, berakhlak baik dan melaksanakan kepatuhan pada Allah. Amal baik yang mereka laksanakan sekadar memenuhi tuntutan cerita atau drama yang mereka lakonkan. Semuanya atas faktor bayaran dan habuan…sedangkan mereka pendusta dalam amalan baik mereka. Zahirnya saja bertopengkan amalan soleh dan mulia sedangkan hakikatnya mereka banyak melakukan nifa’ dan dosa terhadap Allah.

Cuba bayangkan artis yang berlakon dalam pakaian yang bertudung litup, menghiasi diri dengan sahsiah muslimah yang solehah, mempamerkan cara hidup yang baik tetapi di dada-dada akhbar dengan bangganya mereka mangaku bahawa ‘itu sekadar lakonan sahaja sedang hakikatnya mereka tidak begitu.Bahkan mereka turut bangga mengakui pemakaian tudung mereka hanya karana lakonan sedangkan dlm kehidupan seharian mereka lebih selesa mendedahkan tubuh badan.” Alangkah bodohnya kita mengagumi artis yang sebegini. Mereka menjadikan kemuliaan ajaran Islam hanya layak sebagai lakonan sahaja. Maka kita terpesona dengan lakonan mereka dan mengaku terkesan dengan dakwah mereka. Mana mungkin orang yang tidak melaksanakan kebaikan mampu menarik org lain berbuat kebaikan.

Saya disinis sekiranya seorang penagih dadah datang memberikan nasihat takkan kita kena tolak semata-mata kerana dia tu penagih dadah. Sepatutnya nasihatnya diterima, soal siapa dia dan apa latar belakangnya itu lain cerita…hmmm macam betol je pendapat ini.

Namun bagi saya, sama ada penagih dadah atau artis dedah…kedua-duanya jelas bermaksiat kepada Allah dan menyimpang jauh dari kehendak Islam.

Tentu saja mereka ini boleh turut berdakwah atau menasihati masyarakat kepada kebaikan, jesteru kebaikan itu sebenarnya berasal dari agama. Hak memperkatakan dan menunjukkan kebaikan adalah hak semua orang dan hak kita semua.Tapi soalnya di manakah ‘kefahaman dan penghayatan’? Bayangkan seorang penagih dadah yang lalok datang menasihati kita supaya menjauhi dadah. Atau artis wanita yang seksi menjolok mata selamba je menyeru kita supaya menutup aurat…

Adakah ianya munasabah ?
Adakah anda rasa ia sebahagian dari cara berdakwah ?
Adakah anda rasa ia mampu mentarbiyyah ?
Seandainya kita diizinkan untuk mengajak orang lain berbuat kebaikan sedangkan diri sendiri kita dorongkan kepada maksiat, maka apa ertinya amaran Allah dalam surah as saff “ wahai orang-orang yang beriman, mengapakah kamu memperkatakan sesuatu yang tidak kamu perbuat ? Amat besar kemurkaan Allah jika kamu memperkatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan”

Pendapat saya ditempelak kerana selaku penonton kononnya kita sepatutnya pilih yang baik dan tolak yg tidak baik. Menurutnya, Hasan al-Basri pernah ditanya, “Siapa yang mendidik dirimu hingga menjadi baik?” Hasan Al Bashri mengatakan, “ Diriku sendiri.” “Bagaimana begitu?” tanya orang itu kepadanya. Ia mengatakan, “Jika aku melihat kebaikan yang dilakukan orang lain. Aku akan menirunya. Jika aku melihat keburukannya. Aku berusaha menjauhi perilakunya itu”.

Pada saya, inilah kebenarannya. Hasan Al Basri mengaku akan meniru kebaikan yang dilakukan orang lain, bukan kebaikan yang dilakonkan orang lain..
saya tidak menyalahkan ‘kebaikan’ yang disampaikan tapi saya salahkan ‘bagaimana’ kebaikan itu disampaikan.

Memang boleh artis ni nak menunjukkan contoh-contoh yg baik , tapi penghayatannya di mana jika ia sekadar lakonan tanpa penerusan dalam kehidupan harian ? tidakkan kita rasakan artis yang kita sokong lakonan baik mereka ini telah mempersendakan syiar dan amalan islam ? mereka melakonkan nilai-nilai baik untuk diambil pengiktibaran tapi mereka sendiri tidak pula mengambil iktibar. Mereka yakinkan masyarakat bahawa yang baik itu mendatangkan kebaikan tetapi mereka sendiri hidup dalam kejahatan.

Kalau semua penonton pandai memilih nilai baik ditiru dan nilai buruk untuk ditolak, Alhamdulillah. Tapi alangkah malangnya bagi penonton yang agak ‘longgar’ dan tidak mampu nak mengasingkan mana yang batil dan mana yang benar kerana yang batil dan benar itu bersatu di dalam satu acuan.

“katakanlah, tidak sama yang buruk dan yang baik walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu berjaya ( al maidah : 100)

Makanya pada saya ini, tidak salah melakonkan kebaikan. Yang salah menjadikan kebaikan sebagai lakonan.Sebagai artis beragama islam, aktiviti ‘keartisan’ mereka juga harus berjalan di atas prinsip2 agama yang murni ini supaya mereka juga menjadi muslim yang baik dan menjadi contoh kepada orang lain.

Sebagai penonton , kita juga kena hati-hati …
jadilah mukmin yang halus meneliti, jangan kita mudah tertipu dan aksi lakonan yang nampak suci murni….namun ‘hakikatnya’ lompong dan kosong tak berisi, bahkan disisi Allah ia tetap dikeji.

Ramadhan Kareem

Saya temui lagi Ramadhan kali ini,
Apa lagi yang lebih baik utk saya ucap berkali-kali,
selain lafaz syukur dan pujian kepada Ilahi,
berapa ramai teman yg sudah pergi tidak kembali,
sedang saya disaat ini masih meniti hari di Ramadhan yang mulia ini.

Terima Kasih Tuhan
saya yang banyak dosa dan keaiban
masih diberi kesempatan
bertemu Ramadhan.
Yang Engkau janjikan rahmat, keampunan dan keselamatan dari siksaan
neraka yang tiada kenal belas kasihan.

Terima Kasih Tuhan
atas hamparan Ramadhan
utk saya susuri,
dan sandarkan harapan ini,
saya tiada bekal kebaikan
selain dari kejahatan nafsu utk dicuci
dan lambakan dosa yg tidak tertanggung lagi.

Izinkan Ramadhan utk saya ini
meluruhkan hiba bebanan hati
memikul mazmumah separuh mati

izinkan ramadhan utk saya ini
meraih redha dalam rahmat Ilahi
pengampunan segala kelemahan diri
keteguhan iman walau bertubi diuji

Pengalaman Demonstrasi

Ini bukan tulisan terakhir saya. Tapi InsyaAllah saya akan bercuti seketika mungkin sehingga November.Jadi catatan pengalaman ini saya paparkan di sini supaya saya sendiri boleh membaca dan tidak melupakannya. Ia sungguh istimewa.

Alhamdulillah, Allah kabulkan hasrat saya utk turut serta ribuan lagi umat manusia yg turun berdemonstrasi membantah ISA Semalam. Ia pengalaman yang mahal yang akan saya kenang sampai bila-bila. Sehingga hari ini saya masih menanggung rasa kebencian kepada kerajaan BN, pihak polis dan FRU. Tergambar wajah bengis mereka serta tindakan mereka yang tiada belas. Apatah lagi belakang saya masih sakit dan berbekas lebam terkena tembakan peluru getah. Alangkah terdesaknya mereka memprovokasi kami utk ‘bertempur’ dalam keadaan mereka lengkap bersenjata sedangkan kami cuma datang membawa garam , air mineral, tuala putih, serta hasrat yg tinggi iaitu mendesak supaya kerajaan MANSUHKAN ISA.

Saya bersama rombongan bertolak ke KL jam 12.00 malam ( Jumaat 31 Julai). Selain rombongan kami saya mendapat tahu ada 3 lagi bas dari Kedah yg turut ke KL atas tujuan yang sama. Sebenarnya ketika di KL saya sempat berkenalan dgn beberapa ahli rombongan dari Perak, Melaka, Kuantan dan Terengganu. Saya yakin terdapat banyak lagi rombongan yg datang dari seluruh negeri dan segenap tempat yang turun ke kolumpo untuk tujuan ini.

Selesai solat subuh di tempat rehat Ulu Bernam, kami menyambung perjalanan sehingga ke Rawang. Di situ bas berhenti dan kami menaiki komuter ke stesen komuter bank negara. Terkejut juga bila sampai di stesen tersebut kelihatan sekumpulan polis sudah siap ‘berjaga’. Tanpa menghiraukan kehadiran polis kami berjalan sehingga ke kompleks Sogo dan saya perasan terdapat seseorang yang sedang mengambil gambar2 kami. Dia berada di lokasi yang agak jauh dan berpura-pura membaca suratkhabar bila saya menoleh kpdnya.

Di Sogo beberapa kenderaan polis seperti trak dan jip sudah tersedia di situ. Dan sekumpulan polis kelihatan mundar mandir serta berdiri di sekitar Sogo…amboiiii pagi-pagi lagi dah turun kerja ya, kitaorang nak sarapan dulu la weh !

Maka kami merayap le di kedai-kedai sekitar kwsn itu. Saya kemudiannya memasuki komplek sogo dan jamu mata je ler.Teringin nak shopping baju anak-anak sebab ada potongan harga yg hebat. Tapi duit bawa sikiiit je sebab dipesan jangan bawa lebih dari RM100.Kerana lenguh berjalan dan dah tak larat menemani kawan saya berjamu mata…saya keluar mencari tangga Sogo untuk lepak…lenguuhh asyik jalan je. Saya terdengar percakapan seorang polis wanita yang meminta rakan polisnya (lelaki)menangkap sesiapa saja yang memakai lambang perhimpunan dan berbaju hitam.Menyedari saya mendengar perbualannya, polis tersebut menghalau saya masuk ke dalam…KURANG ASAM polis ni.

Lebih kurang jam 1 tghari, keadaan sekitar makin di penuhi orang ramai. Saya bergegas keluar bila mendapat tahu polis akan menutup pintu-pintu kompleks tersebut. Di luar sudah ada tangkapan dibuat.Saya dapat mendengar jeritan reformasi dari seorang pemuda yang ditangkap bersama rakan2 yg lain. Dada saya berdebar-debar bila polis asyik membunyikan wisel dan menghalau kami. Belum pun mencapai jam dua petang beberapa individu sudah ditangkap dan dibawa ke balai polis. saya mendapat berita bahawa Kak Laila dan anaknya juga turut disumbat ke dlm trak polis dan dibawa pergi.

kami semua cuma bergerak dan beralih tempat bila dihalau polis, tetapi tidak kami tinggalkan lokasi tersebut. FRU mula mengetuk perisai mereka dengan kayu belantan. Bunyinya senada tapi bingit membuatkan kami berdebar-debar. Sehinggalah jam 2.00 petang bila ada saja suara jeritan reformasi dan Allahuakhbar dilaungkan, kami memaut tangan masing-masing dan berlari memasuki kumpulan orang ramai. Dengan laungan takbir kami merapatkan diri diantara satu sama lain dan bergerak kepada kumpulan yang lain.

Dalam keadaan bersesak-sesak itu tidak henti-henti kami laungkan takbir dan hapuskan ISA. saya merasa bersemangat sekali dan melaungkan Allahuakhbar sedaya yang boleh. Kepada Allah saya gantungkan harap agar diberi kekuatan pada perjuangan kami utk meruntuhkan kezaliman ISA. Kepada Allah saya berharap agar penyatuan suara kami ini mampu menggerunkan pemimpin yang zalim itu dari terus mengguna pakai ISA utk berkuasa ke atas kami.

Allahuakhbar! Allahuakhbar! Allahuakhbar !
Saya terus menjerit kalimah yang tinggi ini bila tetiba saja Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang melintas di celah-celah perkumpulan kami. Semoga jeritan itu sedikit sebanyak mendentam pada dada org kuat DAP itu utk turut terasa betapa hebatnya kuasa kalimat tersebut.Dan semoga dadanya itu juga akan berisi dengan keimanan pada Allah suatu hari nanti.

Dalam perhimpunan kami yang semakin ramai dan percubaan kami utk bergerak ke kawasan yang lain ,tiba-tiba semburan air gatal dan gas pemedih mata mula menghujani kami. Kami bertempiaran lari. Dalam keadaan hidung yang sakit dimasuki gas, mata juga pedih , dengan kulit muka terasa panas saya terdengar suara mengarahkan kami mengunyah garam. saya menggigit plastik garam dan mengunyahnya.

Bila terasa lega sedikit kami kembali memaut lengan masing-masing dan berkumpul semula. Cepat-cepat kami memasuki kumpulan orang ramai, bertakbir dan bergerak ke arah yang lain pula. Sekali lagi kami di sembur dan di tembak dengan gas pemedih mata dari pasukan FRU yg sudah bersedia. Kami lari bertempiaran menyelamatkan diri. Saya lari ke bahagian belakang bangunan iaitu kawasan parking kereta. ramai yg lain turut berlari bersama saya. kali ini semburan tersebut lebih menyeksakan. Nafas terasa sesak sedang airmata saya berjurai-jurai menahan pedih. Terasa seperti mahu pitam dan saya tak putus-putus memohon pada Allah agar menguatkan saya. Bimbang saya tersungkur di situ tentu ia lebih merumitkan. Syukur sorang muslimin menghulurkan sebotol air dan meminta saya menjirus ke mata yang amat pedih itu. Saya kemudiannya berehat dan cuba bertenang. Menarik nafas dan beberapa kali beristighfar. Dasyat sungguh rupanya gas pemedih mata. Ini kali pertama saya menikmatinya. Demonstrasi dulu-dulu tak kena tembak dan sembur camni.

Menyedari saya sudah terpisah dari rakan-rakan, saya menggunakan handfon menghubungi mereka. Rupanya mereka masih di kws berdekatan sogo dan bersembunyi di dalam kedai. saya berjanji akan ke sana sebentar lagi. Bila keadaan sudah agak tenang saya bergerak semula melalui kawasan parking kereta di belakang bangunan. Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman tembakan yang bertalu-talu entah dari mana arahnya. Sekali lagi saya menghidu asap yang menyakitkan itu dan sekali lagi saya berlari menyelamatkan diri. Ketika itulah satu peluru getah singgah di belakang saya dan hampir tersungkur saya dibuatnya…Ya Allah sakitnya.

Dalam kepenatan, nafas yang sesak serta mata yang kembali pedih saya meminta pertolongan seorang pemuda yang kemudian membawa saya ke tempat lebih selamat. Alhamdulillah seorang muslimat turut berada di situ yang menolong menggosok belakang saya dan petugas unit amal menghulurkan air mineral kepada saya. Badan terasa lemah dan dipapah menyandarkan diri ke dinding bangunan. Kemudian teman-teman saya datang dan memapah saya untuk berehat di kawasan yang jauh sedikit..

Tidak lama masa diambil utk berehat kami beredar pula ke Pejabat Agong Pas. Di sana sudah ramai yang berkumpul dan mendengar ucapan pimpinan. Saya tak dapat melihatnya dengan jelas kerana orang terlalun ramai. Selesai saja ucapan tersebut kami semua diminta bersurai. saya berjalan semula ke sogo untuk ke stesen komuter. Sangka saya ‘cerita’ hari itu sudah berakhir.

Rupa-rupanya pihak polis sudah menunggu di segenap tempat.Trak FRU berbaris merentasi jalan dan polis mengepong dari segenap arah. Semburan diteruskan dan orang awam bertempiaran lari menyelamatkan diri. saya melihat seorang wanita mendukung anaknya dan berlari ketakutan. Kami bersembunyi di sebuah pusat membeli belah ( Maju Junction). Polis menguncinya dan menengking orang ramai di kawasan itu. Hati saya geram dan benci dgn polis yang berlagak berani itu sedang saya tahu hakikat seorang pengecut yang ada dlm dirinya. Sifat sebenar tersembunyi di sebalik Uniform dan senjata yang ada padanya .Headband dan button ISA yang dipakai oleh kanak-kanak direntap dgn kasar dan dia menunjukkan airmukanya yang paling bengis. Dengan kanak-kanak pun nak tunjuk pondan ke ??

Setelah dapat melepaskan diri saya menaiki komuter ke masjid negara. Memang trak polis dan FRU berderet-deret kat situ. kami berehat dan membersihkan diri utk jamak jakdim bila masuk waktu maghrib nanti. Tiada seorang pun polis yang menyahut seruan azan. Mereka masih lepak-lepak diluar masjid. semuanya buat solat jamak takyah dan jamak toksah. Mereka lebih patuhkan najib berbanding Allah. Ini semestinya kerana jika mereka patuh pada Allah nescaya mereka takkan ada keupayaan utk berlaku zalim pada rakyat yang tak berdosa.

Ketika kami beredar meninggalkan masjid negara, kesemua anggota polis di situ berkumpul, bersorak dan bertepuk tangan meraikan kemenangan mereka membantai rakyat. Jelas mereka rasa gembira.Sedikit kami tidak berduka, merasa lemah atau dukacita. Allah saksi segalanya dan pasti usaha kami ini tidak sia-sia.

Ya Allah, ampunkan kami dan terimalah amalan kami. Perteguhkan kami ke atas musuh-musuhMu yang zalim itu.

lambakan kisah ‘cinta’…

Saya singgah di sebuah kedai buku di Seberang Jaya. Sementara menanti suami dan anak-anak lelaki saya selesai solat jumaat saya ‘jamu mata’ di kedai buku tersebut. Seperti biasa Raihanah cukup happy membelek ‘colouring books’ yg terdapat gambar kartun barbies, mickey mouse, upin ipin dan memacam lagi. Saya terpandang satu sudut yang terdapat beberapa rak yang dipenuhi buku dan menjadi tumpuan ramai pengunjung kedai itu. Kebanyakannya remaja perempuan.Rupa-rupanya itu sudut buku-buku novel yang hampir kesemua novel di situ bertemakan cinta….banyaknya !!!

hmmm…singgah le mana-mana kedai buku, anda akan dapati lambakan novel cinta dalam pelbagai bahasa. Memanglah remaja seronok membacanya kerana ia agak ringan dan boleh berangan.Tambahan pula ia terbit dari rekaan dan peristiwa yang diada adakan. Mungkin ada sedikit terselit kebenaran pengalaman tapi ia tetap diberi sentuhan tambahan untuk lebih memberi kesan.

Pada saya lambakan novel cinta adalah satu ancaman hebat terhadap remaja masakini apatah lagi kepada remaja muslim. Pembinaan kepribadian dan jatidiri boleh terbantut jika kerap tenggelam dalam bacaan novel-novel cinta. Dengan gaya bahasa yang indah, khayalan cerita cinta yang asyik serta olahan watak yang ’sempurna’ dan hebat boleh mendorong pembaca untuk hidup dalam khayalan cerita berkenaan.

Pembaca akan ‘berangan’ sakan ketika membaca novel itu dan perasaan jadi terbuai-buai. Kebanyakan novel cinta remaja lebih mendorong pelajar untuk berkhayal dan mendambakan ‘peristiwa’ cinta yang sama berlaku kepada mereka.Lebih parah ia juga boleh mengujakan perasaan dan merangsang remaja untuk bercinta kerana kisah cinta orang bercinta selalunya bahagia biarpun lahiriahnya mereka kelihatan derita dicabar dengan halangan dan dugaan.

Biarpun ramai yang merasakan dalam sebuah novel cinta khususnya novel cinta remaja banyak terselit pengajaran dan nilai-nilai murni yang boleh diambil panduan, tapi saya yakin kesannya tidaklah begitu dominan berbanding hasrat komersil utk mengaut keuntungan dari karya yg dihasilkan.Novel cinta yang tidak diselitkan dengan unsur romantis, keghairahan perasaan lelaki perempuan, atau bahasa-bahasa yang membungakan perasaan tidak mungkin akan mendapatkan sambutan.Ramai yang membaca kisah cinta dari novel adalah untuk menikmati dan menyelami ‘keindahan rasa’ watak teruna dara yang bercinta dalam novel tersebut bukannya kerana mereka mengharapkan dapat meningkatkan kualiti pribadi dan memperkukuhkan diri sebagai individu dlm masyarakat.

Wahai remaja,
bakal pemimpin masa hadapan.

Saya tidak mungkin boleh menghalang kamu dari ‘malayan’ novel cinta. Sama seperti saya tidak boleh melarang kamu untuk bercinta.
Tapi dunia ini nanti bakal diwariskan kepada kamu untuk ditadbirkan. Takkan pewaris kepimpinan dunia akan datang memenuhi usia remajanya dgn membaca novel cinta semata ? keampuhan jiwa yang bagaimana dapat kamu harapkan dari keseronokan ‘bercinta’ sebelum masanya?

Kehidupan adalah jauh lebih ‘besar’ dari sebuah novel. Perjuangan menjadi individu muslim yang sebenar jauh lebih hebat utk dilakarkan dlm cuma sebuah novel. Plot cerita novel adalah khayalan manusia yang berlangsung atas kehendak pencerita.Sedangkan takdir sebuah kehidupan sebenar adalah rahsia. Ia dalam pengetahuan tuhan semata dan langsung tidak terdaya diduga manusia. Jadi saya kira cerita sebuah novel cinta tidaklah begitu bermakna dan berharga. Ia hiburan dan sekadar cerita sahaja.

Kepentingan memilih bahan bacaan yang baik dan kesungguhan memupuk sifat cinta kepada ilmu adalah antara pra syarat kepada pembinaan fikrah dan pribadi yang mulia.Sedangkan pribadi dan akhlak yang tinggi pula adalah asas kepada perubahan yang bermakna. Tidakkah kamu terfikir untuk menebus segala penghinaan terhadap umat Islam suatu hari nanti ? Tidakkah kamu bercita-cita untuk menggantikan segala kejahatan dengan kebenaran Islam ?

Jadi saringlah apa yang kamu santapi sebagai sumber ilmu. Hanya ilmu yang benar dan bermanfaat dapat memimpin kamu kepada fitrah. Carilah ilmu yang bermanfaat untuk melahirkan jiwa bertadabbur dan berkemampuan dalam interaksi dgn kehidupan dan zaman.Jadilah remaja yang boleh disandarkan harapan kerana kamu calon pemimpin masa hadapan.

Pengajaran buat kita semua.

KUALA NERUS – Ketua Dewan Ulama’ PAS, Dato’ Ustaz Harun Taib, menafikan kenyataan beliau berkaitan memasang lilin ditujukan kepada sesuatu peristiwa khusus atau kepada seseorang.

Katanya, beliau memberikan panduan secara umum sebagaimana menurut ajaran Islam berdasarkan hadis RasuluLlah SAW.

Beliau berkata demikian dalam satu Majlis Dailog di Kampung Bukit Tunggal, dekat sini, petang tadi.

”Islam tidak membuat hukum untuk satu-satu orang, Islam membuat garis panduan untuk semua orang, kita ada dua (pilihan) sebagaimana dalam hadis Rasulullah,

”ada (keadaan) yang ragu ada yang subahat, orang yang membersihkan dari subahat dia membersihkan imannya, agamanya dan maruahnya, orang yang subahat ini umpama langkah sempadan,

”saya tak tujukan kepada dia (Nizar), tapi kaedah umum, ada subahat, ada tak subahat, saya kata secara umum, dia (media tersebut) yang tafsir, sepatutnya Nizar tak pergi,”katanya ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar media perdana hari ini berkaitan perkara tersebut

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Astaghfirullah, beristighfar saya.
Saya sungguh merasa dukacita dgn perkembangan ini. Kalau benarlah ianya berlaku demikian saya harap akan ada penjelasan utk perbuatan ini. Pandangan pribadi saya Datuk Nizar tidak wajar berbuat demikian. Walau apa pun alasan yang dikeluarkannya saya tetap merasakan ia suatu kesalahan dan boleh mendatangkan fitnah kepada agama. Saya juga bimbang tindakan itu dijadikan ‘panduan’ untuk mereka yang cetek ilmunya untk terlibat dalam upucara-upucara lain yang hampir sama selepas ini. Keadaan ini pasti mengancam kesucian akidah umat Islam. Jangan sampai kita dalam keadaan alpa telah membuka jalan kepada orang bawahan/pengikut untuk memasuki ruang-ruang amalan yang biasa lagi dipopularkan oleh agama lain.

Sebenarnya saya juga tidak jelas maksud disebalik upucara tersebut. Adakah ia ritual agama atau satu perbuatan umum utk melahirkan protes atau tidak berpuashati terhadap sesuatu. Pun demikian saya benar-benar berharap pimpinan pas tidak mengambil mudah dalam melibatkan diri dgn perkara-perkara begini kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan, keresahan dan salah faham kepada orang ramai.

Usaha Pas untuk meruntuhkan benteng dgn non muslim dan melebarkan bukaan pintu untuk mereka ini lebih mengenali Islam adalah sangat terpuji. Islamophobia yang telah dibina oleh UMNO dikalangan non muslim terhadap Islam hendaklah dihapuskan dan non muslim perlu dibawa lebih dekat dengan ajaran Islam yang sebenar serta mempamerkan kepada mereka dasar keadilan serta keselamatan yang ditawarkan agama ini untuk mereka.

Tapi hasrat murni ini tidaklah boleh dighairahkan dengan sikap toleransi serta lunak kita yang melepasi sempadan agama. Perkara yang memang jelas dalam agama hendaklah benar-benar dipegang sedang yang samar hendaklah ditinggalkan kerana bimbang ia menghampiri keharaman. Ketegasan ini penting kerana untung dan rugi kita dalam memperjuangkan islam tidak boleh ditegakkan atas strategi semata. Ada hak agama yang lebih besar kedudukannya mendepani kita

Saya doakan Allah memimpin kita dan semoga kita yang bersungguh untuk mendokong Islam ini lebih prihatin dan cermat dgn apa saja tindakan dan amalan yang hendak dilakukan di masa hadapan . Jangan tinggalkan perkara ’sumbang’ untuk diwarisi generasi mendatang.

« Older entries